Kemajuan sesebuah masyarakat berkait dengan pembangunan intelek, yang akan didokong oleh para intelektual sebagai tunjang bentuk masyarakat.

Perkara ini tidak dapat dinafikan kerana dalam setiap era kegemilangan sesebuah masyarakat dunia, pasti akan naik tokoh yang dikatakan menjadi pemangkin mentaliti masyarakat, memberi pengaruh besar terhadap sistem sosial, ekonomi, pendidikan dan akhirnya kemajuan tamadun masyarakat itu sendiri.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun disebabkan oleh faktor itu jugalah, golongan intelektual sering menjadi mangsa apabila berlakunya revolusi atau peralihan kuasa, ekoran ketakutan pihak lawan terhadap pengaruh yang mereka miliki.

Salah satu peristiwa bersejarah dan berdarah yang berlaku mengakibatkan kematian golongan intelek adalah perang saudara di antara Pakistan dan Pakistan Timur, yang seterusnya membawa kepada pembentukan negara baru yang kita kenali sebagai Bangladesh.

Pembentukan tidak rasmi Pakistan Timur

kehidupan masyarakat bangladesh satu masa dahulu

Ekoran daripada pergolakan kuasa yang berlaku di antara ahli politik serta banyak masalah pentadbiran kerajaan di Pakistan yang merdeka sejak tahun 1947, Pakistan akhirnya diperintah oleh seorang jeneral tentera bernama Ayub Khan bermula tahun 1958 selepas rampasan kuasa.

Bagaimanapun konflik mereka tidak berakhir.

Persengketaan di antara kerajaan pemerintah yang rata-ratanya datang dari Pakistan Barat dengan kumpulan pembangkang di bahagian Pakistan Timur, membawa kepada kebangkitan pemimpin Pakistan Timur.

Antara faktor utama yang diketengahkan pimpinan bahagian Timur berkait dengan pembahagian bajet kewangan yang tidak seimbang. Pakistan Timur yang mempunyai populasi lebih besar menerima peruntukan jauh lebih rendah, sedangkan bahagian Barat yang menempatkan hanya 35% jumlah populasi Pakistan menerima dua kali ganda pembahagiannya.

Kebergantungan ekonomi Pakistan kepada produk eksport keluaran pengeluar di sebelah timur juga dilihat menjadi salah satu sebab utama kenapa banyak pihak di situ tidak berpuas hati dengan pembahagian pai ekonomi negara mereka.

Penduduk di bahagian timur juga sering berhadapan tindakan keras pihak tentera yang mempertahankan pemerintah, tidak segan silu menggunakan taktik ganas terhadap etnik Bengali, yang mewakili sebahagian besar penduduk bahagian Timur.

sheikh mujibur rahman

Akhirnya, ketidakseimbangan antara bahagian Timur dan Barat ini dilihat sebagai diskriminasi yang sengaja diamalkan.

6 usul sebagai hujah rundingan cuba dibawa barisan pemimpin Pakistan Timur diketuai oleh Sheikh Mujibur Rahman dan partinya Liga Awami, diharapkan dapat menyeimbangkan ketidakadilan yang berlaku - seterusnya memberikan lebih autonomi buat Pakistan Timur untuk mentadbir.

Kerajaan pusat Pakistan melihat tindakan itu sebagai satu usaha awal gerakan pemisahan wilayah.

Ini kerana gelombang kebangkitan yang cuba dibawa gerakan Mujibur sudah mula mendapat sokongan etnik Bengali serta komuniti Hindu, yang semakin lantang mahukan autonomi sendiri. Perkara ini perlu dikekang.

Konspirasi terancang membunuh pemisah

ibu pejabat liga awami bangladesh

Pada awal tahun 1968, Sheikh Mujibur Rahman serta 34 lagi individu dikenalpasti terlibat dalam Liga Awami serta pertubuhan pro-Pakistan Timur ditahan. 

Kesemuanya didakwa terlibat dalam konspirasi yang didakwa sudah dimulakan pada tahun 1967, selepas Liga Awami cuba mendapatkan bantuan kerajaan India bagi membolehkan revolusi bersenjata dimulakan melalui satu pertemuan sulit di Agartala, India.

Rancangan yang dimulakan Mujibur Rahman sendiri serta seorang lagi pemimpin masyarakat bernama Muhammad Ali Reza ini bagaimanapun berjaya dihidu pasukan risikan tentera yang berpengkalan di Pakistan Timur.  34 orang ditahan didakwa terlibat dalam konspirasi ini dengan lebih 1,500 lagi disoal siasat.

Tindakan ini mendapat reaksi besar-besaran masyarakat Pakistan Timur, apatah lagi selepas dakwaan bahawa Mujibur Rahman adalah seorang perisik kerajaan India, ditugaskan memecah belahkan Pakistan mula digembar-gemburkan kerajaan Pakistan.

Kesemua 34 pemimpin ditahan lalu dipenjarakan sambil menunggu perbicaraan.

Malang tidak berbau, kes kematian salah seorang daripada 34 tahanan pada 15 Februari 1969 melibatkan seorang Koperal Polis bernama Zahurul Haq yang  mati ditembak semasa dalam tahanan, menjadi permulaan kepada kebangkitan warga Pakistan Timur.

Mereka mula merusuh dan membakar bangunan-bangunan milik kerajaan serta bertindak menyerang mahkamah.

Bimbang situasi menjadi lebih buruk, kerajaan Pakistan menarik balik dakwaan pada 22 Februari 1969, namun semuanya tampak sudah terlambat.

Percikan kecil sudah menjadi terlalu marak; Mujibur dan kumpulannya yang dibebaskan dari tahanan disambut meriah penduduk Pakistan Timur.

Kerajaan Pakistan berdepan krisis kepimpinan

jeneral ayub khan

Dalam masa yang sama, kerajaan tentera yang memerintah juga mula goyah ekoran situasi rusuhan yang semakin meruncing di seluruh negara ekoran masalah kenaikan harga barang.

Jeneral Ayub Khan mengalami masalah sakit jantung serta angin ahmar, mengakibatkan dia tidak lagi mampu memimpin, lalu digantikan Jeneral Yahya Khan. 

Ekoran daripada situasi tersebut, majoriti pemimpin Pakistan baik di bahagian kerajaan mahupun pembangkang bersetuju berdasarkan situasi semasa, adalah lebih baik pilihanraya umum diadakan bagi memilih kerajaan baru untuk menggantikan kerajaan tentera sedia ada.

Peluang ini dimanfaatkan sepenuhnya Mujibur dan Liga Awami ekoran tahap sokongan terhadap mereka ketika itu yang semakin meningkat.

Mujibur mendeklarasikan impian mahu menubuhkan sebuah negara bernama 'Bangladesh' sebagai visi gerakan politik mereka, yang bakal menjadi fokus utama kempen beliau dan partinya apabila berhadapan pilihanraya umum pertama Pakistan. 

Pada tahun 1970, Pakistan melalui usaha Jeneral Yahya Khan mula merencanakan pilihanraya umum mereka yang pertama dengan dua matlamat; memilih kerajaan Pakistan yang baru serta mengetahui respon masyarakat terhadap gerakan kemerdekaan Pakistan Timur atau 'Bangladesh.'

Berdepan pilihanraya penting dalam sejarah

mujibur rahman pilihanraya pertama

Sentimen mahu melindungi identiti masyarakat Bengal serta kegagalan kerajaan Pakistan melindunginya, menjadi senjata yang sangat efektif Mujibur Rahman dan Liga Awami sepanjang kempen. 

Liga Awami memenangi 167 kerusi yang mereka tandingi daripada 300 kerusi keseluruhannya dalam pilihanraya umum bertarikh 7 Disember 1970; mendapat 39.2% jumlah undi popular berbanding pencabar terdekat mereka yang hanya menang 81 kerusi dengan peratusan undi popular 18.6%.

Kemenangan majoriti mudah ini sepatutnya melayakkan Liga Awami membentuk kabinet sendiri. Sepatutnya!

Namun Jeneral Yahya Khan selaku Presiden Pakistan enggan mengiktiraf kemenangan besar Liga Awami serta pembentukan kerajaan berorientasikan pimpinan belah timur. Perbuatan itu dilihat satu tamparan besar terhadap keputusan pilihanraya yang diperolehi.

Liga Awami diketuai Mujibur Rahman memulakan siri tunjuk perasaan yang ada masanya bertukar menjadi rusuhan besar-besaran, bagi mendesak undian orang ramai dihormati. Pergelutan ini berterusan untuk beberapa bulan sebelum memuncak pada bulan Mac tahun berikutnya.

Melihat hanya kekerasan mampu menjadi solusi peralihan kuasa, kerajaan tentera Pakistan yang sepatutnya menyerahkan kuasa mengeluarkan arahan agar operasi mencari dan membunuh individu-individu berstatus pemimpin dan intelektual di kalangan ahli masyarakat Pakistan Timur dimulakan, pada 25 Mac tahun 1971 melalui operasi ketenteraan dan pasukan militia.

Mujibur Rahman mengisytiharkan kemerdekaan Bangladesh pada 26 Mac 2971 sebagai tindak balas mereka terhadap apa yang berlaku.

Oleh kerana amaran tidak diendahkan, tentera Pakistan bertindak agresif menyerang Universiti Dhaka yang menjadi kubu kuat gerakan pembebasan Bangladesh, membunuh ratusan orang pelajar serta menembak mati 10 orang profesor.

Insiden inilah menandakan bermulanya perang saudara yang dikenali dengan nama Perang Pembebasan Bangladesh.

Selain merencatkan gerakan pembebasan, banyak pihak berpendapat kerajaan Pakistan merasakan perlu mengambil tindakan sekejam itu sebagai langkah awal untuk membendung dan melambatkan pembangunan komuniti Bangladesh sekiranya mereka tidak lagi dapat dihalang daripada mencapai kemerdekaan.

Kerajaan tentera Pakistan turut cuba meredakan situasi dengan melantik Nurul Amin, seorang ahli politik berpengaruh bekas Ketua Menteri Pakistan Timur beretnik Bengal sebagai Perdana Menteri pertama Pakistan pada 7 Disember 1971.

Langkah ini diharapkan dapat memulakan perbincangan antara kerajaan ketika itu dengan Liga Awami dalam isu pembahagian kuasa.

Dalam beberapa operasi tentera yang dijalankan, beberapa kawasan yang dikenalpasti sebagai kubu kuat Pakistan Timur ditutup semua laluan aksesnya. Mujibur Rahman dan penyokong kuatnya ditahan.

Situasi itu berlanjutan menerusi beberapa operasi yang dirancang bagi melemahkan gerakan yang semakin kuat itu, sehinggalah hari kemuncaknya pada 14 Disember 1971.

9 Bulan yang menarik Bangladesh ke belakang

bangladesh genocide east pakistan

Dalam lebih 9 bulan berperang, tentera Pakistan terus menerima arahan untuk menjalankan operasi mencari dan membunuh individu berpengaruh dari kalangan warga Pakistan Timur yang berjawatan guru, jurnalis, peguam,doktor, seniman, jurutera dan beberapa profesion lain, sebagai sasaran utama.

Pada 14 Disember 1971, malam kemuncak operasi cari dan bunuh tentera Pakistan - lebih 200 orang individu diculik daripada rumah mereka untuk dibawa ke pusat-pusat tahanan. Mereka kemudiannya diseksa sebelum dibunuh beramai-ramai.

Mayat mereka dicampak ke dalam sungai atau parit, biasanya ditemui dalam keadaan tangan diikat di belakang dengan kesan tikaman bayonet ditemui di seluruh badan. Peluru memenuhi tubuh mereka.

Bagi yang terselamat, mereka menyembunyikan diri ke kawasan-kawasan terpencil, meninggalkan kediaman masing-masing. 

Hanya pada 16 Disember 1971, operasi ketenteraan itu tamat selepas kerajaan Pakistan menyerah kalah kepada kumpulan bersenjata Bangladesh yang dibantu tentera India ekoran kehadiran ramai pelarian perang ke negara itu, bersetuju untuk mengiktiraf penubuhan negara merdeka Bangladesh dan menghormati keputusan pilihanraya yang telah dijalankan.

Siasatan yang dijalankan selepas itu oleh wakil Bangladesh mendapati wujud rekod dan bukti jelas menunjukkan tentera Pakistan secara sistematik dan terancang mensasar dan membunuh individu tertentu dari kalangan masyarakat Bangladesh, dengan sokongan kerajaan sendiri.

Penemuan senarai individu yang perlu dibunuh diwartakan oleh tentera Pakistan serta disahkan oleh pemimpin-pemimpin tertinggi kerajaan tentera, serta bukti penglibatan kumpulan militia pro kerajaan yang diupah sebagai penggerak utama operasi cari dan bunuh mula dilaporkan.

Dalam operasi yang dijalankan sejak 25 Mac 1971 sehinggalah 16 Disember 1971, dianggarkan lebih 991 orang guru, 13 orang jurnalis, 49 doktor perubatan, 42 orang peguam, 16 penulis, belasan orang seniman dan jurutera diculik dan dibunuh berdasarkan kepada jumlah mayat yang ditemui. Angka sebenar masih diperdebatkan sehingga kini.

Di kalangan masyarakat biasa, lebih 200,000 nyawa penduduk Pakistan Timur terkorban semasa perang saudara,  400,000 wanita Bangladesh menjadi mangsa rogol tentera Pakistan dan lebih 30 juta penduduk hilang tempat tinggal. 

Sambutan Hari Kematian Syahid Intellektual Bangladesh

pelarian bangladesh tempat perlindungan

Sehingga kini Bangladesh meraikan hari kemerdekaan mereka pada tanggal 26 Mac, memperingati usaha Sheikh Mujibur Rahman membebaskan mereka dan identiti mereka untuk membentuk sebuah negara bebas.

Manakala pada 14 Disember setiap tahun, warga Bangladesh akan memperingati peristiwa berdarah yang mereka namakan sebagai Shaheed Buddhijibi DibĂ´sh atau 'Hari Kematian Syahid Intellektual Bangladesh'. sempena perginya individu-individu yang sepatutnya menjadi tulang belakang masyarakat mereka dalam membangunkan sebuah negara yang baru bertatih hendak bermula langkahnya.

Kesan peristiwa ini terus dirasai sehingga kini, sehinggakan rakyat mereka perlu merantau jauh ke serata ceruk dunia bagi mencari sesuap nasi demi meneruskan kehidupan mereka.

Begitulah kisahnya bagaimana perang, politik dan ketidakadilan menyebabkan orang Bangladesh ketinggalan dalam pelbagai aspek kehidupan, sehingga perlu bermula dari bawah untuk membangunkan semula masyarakat mereka. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)