anggota gulag

Anggota Gulag

Sekiranya anda kerap membaca artikel mengenai Soviet Union dan Perang Dunia Kedua, anda pastinya pernah menemui perkataan "Gulag". GULAG merupakan sebuah akronim berbahasa Russia bagi "Glavnoye Upravleniye Ispravitelno-trudovykh Lagerey" yang membawa maksud Ketua Pentadbiran Kem Buruh dan Koloni Polis Rahsia Soviet.

Sistem GULAG diperkenalkan untuk mengasingkan dan menyingkirkan unsur-unsur asing yang berbahaya, mengganggu, mencurigakan dan tentangan terhadap pemimpin tertinggi Soviet Union. Sepanjang kewujudan kem ini, dikatakan 18 juta orang telah ditahan dan diseksa di kem-kem tahanan Soviet Union. 

Walaupun perkataan GULAG itu merujuk kepada agensi Soviet Union yang menjalankan tugas-tugas penahanan ini, perkataan "gulag" itu sendiri secara umumnya banyak digunakan untuk merujuk kem-kem tahanan yang wujud di Soviet Union termasuklah selepas era Joseph Stalin.

Sejarah permulaan sistem Gulag

lokasi kem gulag

Lokasi kem Gulag

Selepas Revolusi Rusia 1917, Vladimir Lenin, pengasas Parti Komunis Rusia, menguasai Kesatuan Soviet. Apabila Lenin meninggal dunia akibat stroke pada tahun 1924, Joseph Stalin mengambil alih kuasa dan menjadi diktator.

Sistem ini mulanya diperkenalkan oleh Vladimir Lenin pada tahun 1919 dan menjelang 1921, terdapat kira-kira 84 kem tahanan di seluruh wilayah Soviet. Namun, ianya mencapai zaman kemuncaknya pada pemerintah berikutnya iaitu Joseph Stalin daripada tahun 1930 hingga awal 1950-an.

Dari tahun 1930 sehingga kematian Stalin, sistem Gulag telah melalui tempoh perkembangan pesat. Stalin melihat kem-kem sebagai cara yang efisien untuk meningkatkan perindustrian di Kesatuan Soviet dan mengakses sumber-sumber semula jadi berharga seperti kayu, arang batu dan mineral lain.

joseph stalin 911

Pada peringkat awal, tahanan hanya terdiri daripada kulak. Kulak adalah golongan rakyat biasa, kebiasaannya petani yang menentang pengutipan cukai pertanian oleh pihak pemerintah. Apa Joseph Stalin mengambil alih pucuk pimpinan, tahanan politik turut disumbat ke dalam kem tahanan ini.

Tahanan politik yang dimaksudkan ini biasanya terdiri daripada pihak pembangkang Parti Komunis, pegawai tentera dan pegawai kerajaan yang tidak sehaluan dengan pihak pemerintah. Tujuannya adalah untuk mengukuhkan cengkaman dan pengamalan sistem pemerintahan kuku besi.

Lama-kelamaan, orang awam seperti doktor, penulis, intelektual, pelajar, saintis dan sebagainya turut disumbat masuk ke dalam tahanan. Sesiapa sahaja yang disyaki mempunyai perkaitan dengan gerakan anti-Joseph Stalin akan ditangkap dan disumbat masuk, termasuklah wanita dan kanak-kanak.

Kehidupan sebagai seorang tahanan Gulag

tahanan gulag

Projek pembinaan Terusan Laut Putih - Baltic

Jarang kedengaran tahanan yang sudah masuk ke kem-kem tahanan ini akan pulang kembali. Setiap kem tahanan biasanya menempatkan 2,000 ke 10,000 orang tahanan setiap satunya.

Keadaan di kem-kem tahanan ini sangat teruk dan menyayat hati. Tahanan biasanya dikerah bekerja sehingga 14 jam sehari termasuklah dalam keadaan ekstrim seperti ketika musim sejuk. Tahanan wanita juga bernasib malang apabila menjadi mangsa kerakusan pengawal dan tahanan lelaki yang lain.

Banduan di kem Gulag dipaksa bekerja dalam pelbagai sektor antaranya pembinaan, perlombongan dan industri berskala besar. Jenis industri ini bergantung kepada lokasi kem dan keperluan kawasan. Antara projek mega yang disiapkan menggunakan tenaga kerja golongan Gulag ini termasuklah pembinaan Terusan Moscow-Volga, Terusan Laut Putih - Baltic dan Lebuh Raya Kolyma.

buruh paksa gulag

Kebiasaannya,  banduan hanya diberikan alatan asas dan tiada sebarang kelengkapan keselamatan. Sesetengah pekerja menghabiskan hari mereka memotong pokok atau menggali di tanah beku dengan tangan dan cangkul. Catuan makanan dikenakan pada setiap banduan dan sekiranya mereka tidak menyiapkan kerja mengikut arahan, makanan mereka akan dikurangkan.

Keganasan dan pergaduhan adalah perkara biasa antara tahanan. Sekiranya terdesak, tahanan juga tidak teragak-agak mencuri makanan dari banduan lain. Ramai pekerja mati akibat keletihan, sementara yang lain diserang secara fizikal atau ditembak oleh pengawal kem. Ahli sejarah menganggarkan bahawa sekurang-kurangnya 10 peratus daripada keseluruhan jumlah tahanan Gulag dibunuh setiap tahun.

Kebenaran keluar dari kem Gulag

keadaan kem gulag

Keadaan di kem tahanan di Sakhalin, sebuah pulau terpencil

Setiap tahanan diberikan denda dan tempoh tertentu sebelum mereka dilepaskan. Sebagai contoh, ahli keluarga mereka yang disyaki pengkhianat kerajaan akan menerima hukuman minimum lima hingga lapan tahun menjadi buruh.

Jika seseorang tahanan bekerja keras dan melepasi kuota kerja mereka mereka, terdapat kemungkinan tahanan tersebut akan dilepaskan lebih awal. Antara tahun 1934 dan 1953, kira-kira 150,000 hingga 500,000 orang dibebaskan dari kem Gulag setiap tahun.

Pengakhiran zaman kem Gulag

tahanan kem gulag 733

Sistem  Gulag semakin lemah dan mengalami zaman pengakhiran sebaik sahaja kematian Joseph Stalin pada tahun 1953. Dalam beberapa hari, berjuta-juta banduan telah dibebaskan. Hal ini disebabkan penggantinya, Nikita Khrushchev adalah antara orang yang mengkritik kewujudan sistem Gulag serta polisi-polisi Joseph Stalin.

Walau bagaimanapun, itu tidak bermakna kesemua kem tahanan dihapuskan. Sebahagian daripadanya telah distrukturkan semula sebagai penjara bagi penjenayah, aktivis dan nasionalis anti-Soviet antara tahun 1970-an hingga 1980-an.

Sehinggalah pada tahun 1987, apabila pemerintah Soviet pada ketika itu Mikhail Gorbachev, cucu kepada salah seorang mangsa sistem Gulag secara rasminya mengarahkan penutupan kem-kem tahanan ini.

kisah gulag tahan buruh soviet stalin

Walaupun sistem Gulag menyediakan bekalan buruh murah, kebanyakan ahli sejarah bersetuju bahawa kem-kem ini sebenarnya tidak memberikan sumbangan yang signifikan kepada ekonomi Soviet. Ramai pakar percaya bahawa tanpa makanan dan bekalan yang mencukupi, para pekerja tidak dapat memberikan hasil yang produktif.

Sejarah gelap Gulag telah menyebabkan banyak generasi orang Russia masih terluka dan dibelenggu zaman lampau mereka. Malah pada hari ini, beberapa mangsa sistem ini masih terlalu takut untuk menceritakan pengalaman mereka yang dipercayai sangat mengerikan.

Kredit:

  1. History
  2. Wikipedia
  3. Britannica Encyclopaedia


Hakcipta iluminasi.com (2017)