Kasut tumit tinggi adalah lebih daripada hanya sekadar kasut. Ia telah lama menjadi simbol kuasa, sama ada untuk lelaki mahupun wanita. Kira-kira 72 peratus wanita pernah memakai kasut tumit tinggi pada satu ketika dalam kehidupan mereka.
Walaupun kasut ini menjadi sesuatu yang sangat sinonim bagi wanita, anda mungkin terkejut apabila mengetahui bahawa kasut bertumit ini sebenarnya tidak bermula sebagai trend untuk wanita sama sekali.
BESARKAN TEKS A- A+
Menurut fakta, lelaki terlebih dahulu menggunakan kasut bertumit ini selama beratus-ratus tahun lamanya. Pada zaman dahulu, wanita yang menggunakan kasut tumit tinggi ini hanyalah di kalangan gundik dan pelacur sahaja. Jadi, bagaimanakah kasut tumit tinggi itu kini menjadi sesuatu yang begitu sinonim dengan wanita?
Sejarah kasut tumit tinggi : Mesir Purba
Lukisan dari zaman Mesir purba telah menggambarkan lelaki dan wanita bangsawan sahaja yang memakai kasut bertumit ini. Ia bertujuan bagi membuatkan pemakainya sedikit lebih tinggi berbanding mereka dari golongan kelas rendah, yang lazimnya tidak berkasut.
Namun, bukanlah semua penggunaan kasut bertumit pada zaman ini berkaitan dengan berbezaan sosial. Dalam sesetengah situasi, ia adalah keperluan yang lebih praktikal.
Sebagai contoh, tukang sembelih pada zaman itu menggunakan kasut bertumit bagi tujuan mengelakkan kaki mereka daripada bersentuhan dengan bangkai haiwan berdarah.
Yunani dan Rom Purba
Kasut bertumit 'buskin' semasa zaman Rom dan Yunani purba
Semasa zaman Rom kuno, sandal bertumit gabus yang disebut sebagai 'buskin' digunakan dalam bidang produksi teater. Sama dengan orang Mesir kuno, kasut bertumit ini biasanya dipakai oleh pelakon untuk membezakan kelas antara pelakon dan penonton.
Selain itu, kasut bertumit buskin ini juga digunakan oleh para pelacur sebagai pengenalan diri mereka. Oleh itu, kasut tumit tinggi pada zaman Yunani dan Rom purba ini sering dikaitkan dengan teater dan pelacuran dalam masyarakat mereka.
Zaman Renaissance
Raja Louis XIV Perancis
Menjelang abad ke-15, kasut bertumit menjadi popular di kalangan penunggang kuda Parsi. Elizabeth Semmelhack yang merupakan kurator Muzium Kasut Bata berkata, kasut bertumit itu membantu penunggang kuda mendapatkan kedudukan yang lebih selesa dan kukuh bagi menembak anak panah ketika menunggang.
Apabila orang Parsi tiba di Eropah, orang awam di sana sangat gemarkan gaya kasut bertumit yang dipakai mereka. Bukan sahaja kasut bertumit itu membantu dalam perperangan, malah kasut bertumit mengelakkan pemakainya dari mengotori kasut mereka ketika berjalan dalam bandar.
Kasut bertumit ini juga menjadi popular di kalangan lelaki elit Eropah, ini kerana kebanyakan mereka menyukai sukan ekuestrian dan ia amat berguna ketika menunggang kuda. Selain itu, kasut bertumit membuatkan mereka kelihatan lebih bergaya.
Lukisan pelacur di Itali pada kurun ke-16
Para gundik, pelacur dan wanita bangsawan sering berhubungan dengan golongan lelaki elit dan mereka juga suka menggayakan kasut bertumit ini. Ia juga merupakan salah satu tanda bagi pelacur untuk memberitahu para pelanggan bahawa mereka menyediakan perkhidmatan pelacuran. Lama-kelamaan, kasut bertumit mula menjadi simbol bagi wanita agar kelihatan lebih menawan dan menggoda.
Aksesori kasut tumit tinggi ini menjadi begitu popular di kalangan gundik pada kurun ke-16 dan ke-17. Pemakaiannya telah menaikkan status wanita biasa dan memberikan mereka banyak keistimewaan yang sama seperti lelaki elit, seperti keistimewaan untuk memasuki perpustakaan pada zaman itu.
Kasut Chopine kurun ke-16
Dari masa ke semasa, wanita-wanita ini telah mengubah kasut bertumit mereka kepada yang lebih tinggi. Kasut bertumit yang mereka gelar 'chopine' ini boleh menjadi sehingga 18 inci tinggi. Kebanyakan kasut mereka ini diperbuat daripada kayu dan gabus, malah ada juga yang dipakaikan dengan logam boleh lentur.
Kadang-kala kasut chopine mereka ini kelihatan mustahil digunakan untuk berjalan. Oleh sebab itu mereka biasanya memakai dengan diiringi lelaki, supaya mereka boleh berpaut pada lelaki-lelaki mereka untuk mengimbangi badan.
Sejarah kasut tumit tinggi : Menuju kemodenan
Menjelang abad ke-18, populariti kasut tumit tinggi telah mula menurun. Ketika era bergolak dan berleluasa dengan revolusi politik ini, perbezaan kelas dianggap sebagai sesuatu yang buruk. Sejarawan Jennifer Wright berkata, ketika itu Revolusi Perancis sedang berlaku dan ia adalah masa di mana status sosial dianggap tidak penting dan juga berbahaya pada masa yang sama.
Ketika zaman Victoria dan Edward pula, lelaki mula mengganggap kasut bertumit sebagai "tidak praktikal" lagi. Ini kerana kasut bertumit begitu sinonim dengan wanita. Pada masa itu, wanita dianggap sebagai lemah dari segi fizikal, emosi dan dalam membuat keputusan. Tidak lama selepas itu kaum lelaki mula meninggalkan fesyen kasut bertumit ini.
Kasut tumit tinggi 1900-an
Pada penghujung abad ke-19, kasut bertumit untuk wanita semakin berkembang dengan pembukaan syarikat pembuatan kasut tumit tinggi yang pertama di New York pada tahun 1888. Namun, selama beberapa dekad mendatang fesyen ini masih dianggap "tidak praktikal" terutamanya ketika perang dunia berlaku
Penggunaan kasut tumit tinggi ini hanya popular di kalangan wanita kaya sahaja bagi melambangkan simbol status dan kelas mereka. Ketika abad ke-20, barulah kasut tumit tinggi ini mempengaruhi idea tentang ciri-ciri seorang wanita ideal. Selepas Perang Dunia Kedua, kasut tumit tinggi menjadi simbol dan banyak digunakan dalam bidang pornografi, wanita bekerjaya dan juga untuk kegunaan biasa.
Malah, majalah-majalah dan filem-filem Hollywood juga mula menggambarkan kasut tumit tinggi sebagai sesuatu yang harus dimiliki oleh setiap wanita yang ingin kelihatan menawan dan cantik. Model seperti Marilyn Monroe sering menggayakan kasut tumit tinggi dan populariti kasut bertumit mula melonjak semula.
Marilyn Monroe
Tahun 1960-an memperlihatkan pelbagai rekaan kasut tumit tinggi mula dihasilkan. Salah satunya kasut seperti "kitten heel" yang bukan sahaja menawan tetapi sesuai dipakai walaupun untuk melakukan tugasan seperti mengemas, memasak dan membasuh baju.
1970-an pula menyaksikan kasut bertumit yang lebih seksi, sedikit besar dan bersesuaian dengan zaman disko yang semakin popular. Selain membuat pemakainya kelihatan menawan, ia juga sesuai digunakan untuk menari dalam jangka masa yang panjang.
1980-an dan 1990-an pula menyaksikan rekaan kasut tumit tinggi dikaitkan dengan kekuasaan feminis (disesuaikan dengan fesyen rambut kembang dan sut dengan pelapik bahu). Ia banyak digunakan oleh wanita bekerja dan mereka kelihatan lebih elegan apabila mengenakannya.
Bagi zaman milenium dan ke atas, penggunaan kasut tapak rata dilihat mula menjadi perhatian. Namun, ia tidak mengurangkan populariti penggunaan kasut tumit tinggi. Begitulah sedikit sebanyak tentang sejarah kasut tumit tinggi ini. Mungkin pada masa hadapan, penggunaan kasut bertumit ini akan kembali menjadi popular semula di kalangan lelaki.