Oleh pada 14 Jul 2020 kategori

masjid besar cordoba bsn91Kontroversi berkenaan pengembalian status masjid kepada binaan bersejarah Masjid Aya Sofya atau Hagia Sophia yang terletak di ibu negara Turki, Istanbul pasti akan terus kedengaran untuk tempoh beberapa bulan selepas ini.

Masyarakat antarabangsa khasnya komuniti pemimpin barat sudah pastilah melihat apa yang telah dilakukan kerajaan Turki, di bawah pimpinan Reccep Tayyip Erdogan sebagai satu jalan mudah untuk menaikkan imej kerajaannya.

Banyak pihak menentang pertukaran ini kerana merasakan status muzium lebih sesuai dengan sejarahnya. Tetapi mereka seakan lupa bahawa perkara sama sebenarnya telah berlaku banyak kali, melibatkan masjid yang ditukarkan kepada gereja. Berikut adalah lima gereja yang dahulunya sebenarnya sebuah masjid.

1. Masjid-Gereja Cordoba, Sepanyol

masjid besar cordoba

Salah sebuah lokasi warisan sejarah dunia, Masjid-Gereja Cordoba atau nama rasminya mengikut penganut Kristian; Cathedral of Our Lady of the Assumption adalah bangunan bekas Masjid Besar Cordoba, yang dibina semasa kerajaan Islam menguasai Sepanyol khasnya wilayah Cordoba.

Tapak asal binaan itu pada awalnya merupakan sebuah gereja orang Visigoth yang dibeli oleh Abdul Rahman I selepas dia dan tenteranya menguasai Cordoba. Berikutan pertukaran hak milik, kawasan itu mula dikongsi penganut ajaran Kristian dan orang Islam Cordoba dengan pembukaan masjid kecil.

Disebabkan pertambahan bilangan masyarakat Muslim di wilayah tersebut, binaan baru mula didirikan sekitar penghujung abad ke 8 oleh Abdul Rahman I bagi membesarkan bahagian masjid, dengan pembelian tanah yang menempatkan gereja.

Pembinaan dan pembesar Masjid Cordoba berlaku dalam beberapa fasa yang berlanjutan sehinggalah abad ke 10.

Selepas kejatuhan kerajaan Islam oleh gerakan Raja Ferdinand III, Masjid Besar Cordoba jatuh ke tangan orang Kristian yang menukarkannya menjadi gereja sehingga ke hari ini.

Beberapa insiden pergaduhan serta kekasaran melibatkan individu Muslim yang cuba bersolat di situ, telah pun berlaku. Kempen agar binaan tersebut membenarkan penggunaan penganut untuk beribadah Islam di situ terus berjalan, agar sistem yang diamalkan Abdul Rahman I dapat dikembalikan.

2. Gereja Prophet Elijia, Thessaloniki, Greece

the church of elijah the prophet

Dikenali sebagai Masjid Sarayli semasa era kerajaan Uthmaniyah satu masa dulu, kini bekas masjid ini digelarkan sebagai The Church of Profitis Elias yang juga merupakan salah satu tapak warisan dunia, di bawah UNESCO.

Sejarah binaan ini pada mulanya cuba didiamkan dan hanya pada 1864, barulah rahsia sebenar binaan ini dibongkarkan. Gereja Prophet Elijia sebenarnya merupakan sebuah masjid yang dinamakan sebagai Sarayli Camii, yang bermakna 'Masjid Istana' dalam bahasa Greek.

Beberapa kekeliruan tentang istilah 'Sarayli Camii' yang disangkakan merujuk kepada 'Santo Elie' semasa era kerajaan Byzantine menyebabkan penganut Kristian menamakan gereja mereka sempena Santo Elias, semasa pertukarannya kepada gereja sekitar abad ke 15, semasa Greece diperintah Empayar Uthmaniyah.

3. Sveti Sedmochislenitsi Church of Sofia, Bulgaria

sveti sedmochislenitsi church of sofia

Kini sebuah gereja penganut Kristian ortodoks yang terletak di ibu negara Bulgaria, Sofia - dahulunya dikenali oleh penduduk setempat dengan nama gelaran Chema Dzhamiya yang bermakna 'Masjid Hitam', disebabkan oleh batu granit yang digunakan dalam pembinaannya.

Nama rasminya adalah Koca Mehmed Pasha Mosque.

Dibina pada tahun 1528 oleh Raja Sulaiman semasa era pemerintahan Empayar Uthmaniyah, bagi mereka yang tidak tahu sejarah binaan ini pasti akan terkejut jika mereka mengetahui bangunan asalnya adalah sebuah masjid.

Bangunan masjid itu ditinggalkan selepas berlakunya revolusi di Bulgaria pada penghujung abad ke 19. Berikutan kosong, masjid itgu mula digunakan sebagai gudang simpanan senjata dan penjara.

Seorang arkitek Russia bernama Alexander Pomerantsev mencadangkan agar masjid tersebut ditukarkan menjadi sebuah gereja Kristian pada tahun 1901.

Bermula pada bulan Mei tahun yang sama, kerja-kerja menambah baik dan mengubah masjid tersebut menjadi gereja dimulakan dan selesai pada bulan Mei tahun berikutnya.

4. Gereja Nossa Senhora da Anunciação, Portugal

igreja mertola

Tahukah anda dari mana datangnya perkataan 'gereja'? Perkataan 'gereja' sebenarnya diambil daripada perkataan 'igreja' dalam bahasa Portugis.

Di Portugis, terdapat sebuah gereja yang dinamakan Igreja Nossa Senhora da Anunciação yang terletak di daerah Mertola, Alentejo. Gereja ini dulunya merupakan sebuah masjid yang dibina sekitar abad ke 12, dikenali dengan nama Masjid Mertola.

Masjid Mertola bertukar menjadi gereja atau 'Igreja' pada abad ke 13.

Binaan asal yang masih bercirikan Islam itu kekal sehinggalah abad ke 16, sebelum komuniti penganut Kristian di situ mula menukarkan rekaannya. Binaan tiang-tiang minaretnya yang sebelum itu digunakan sebagai tempat melaungkan azan, dipasang dengan loceng.

Berikutan kerosakan yang berlaku ke atas binaan asalnya, apa yang tinggal daripada struktur asal Masjid Mertola hanyalah dinding luarannya serta beberapa pintu yang masih digunakan.

5. Khan al-Ahmar, Israel

ahmar mosque israel

Kami tahu artikel ini menceritakan tentang masjid yang ditukar kepada gereja, namun Khan al-Ahmar yang terletak di Israel agak berbeza perubahannya.

Dahulunya Khan al-Ahmar merupakan sebuah masjid dinamakan sebagai Masjid al-Ahmar, merupakan salah satu lokasi yang menyimpan sejarah panjang rakyat Palestin. Dibina pada abad ke 13, Masjid al-Ahmar atau 'Masjid Merah' yang terletak di Safad, telah ditukarkan menjadi sebuah kelab malam.

Sejarah perubahan masjid ini agak panjang. Selepas peristiwa penghijrahan masyarakat Yahudi beramai-ramai ke Palestin, Masjid al-Ahmar digunakan bagi menempatkan pelarian sebelum ditukar menjadi sekolah bagi mendidik anak-anak etnik Yahudi.

khan al ahmar kelab malam israel

Keperluan untuk mempunyai pusat kempen menjadikan Masjid al-Ahmar ditukar kepada pusat operasi parti Likud, di bawah kendalian Ariel Sharon. Selepas tidak lagi digunakan, fungsi masjid itu digunakan sebagai gudang sebelum majlis perbandaran Safad membenarkan pembukaan kelab malam di situ.

Usaha beberapa badan yang diketuai komuniti Muslim bagi mengembalikan pemilikan masjid tersebut kepada mereka, tidak dihiraukan sebelum perasmian kelab malam itu dibuka untuk kunjungan warga Israel sejak bulan April 2019.

Pengunjung tidak dibenarkan bersolat di dalamnya.



Hakcipta iluminasi.com (2017)