Wajah raja-raja dalam pek standard daun terup mungkin kelihatan direka secara rawak atau 'anonymous'. Namun, menurut Persatuan Permainan Kad Antarabangsa di Perancis, wajah-wajah monarki yang dilukis pada daun terup pada suatu masa dahulu pernah menggambarkan beberapa pemerintah paling terkenal dalam sejarah.
Permainan daun terup ini telah melalui banyak perubahan reka bentuk selama ratusan tahun yang lalu sejak ia mula diperkenalkan. Pada kurun ke-17, empat raja yang terdapat dalam dek daun terup itu diberi nama dan identiti yang mencerminkan kepentingan dan kemegahan monarki Perancis ketika itu.
BESARKAN TEKS A- A+
Raja-raja Perancis ketika itu mahu menonjolkan diri mereka sebagai pewaris kepada raja-raja kuno yang terkenal pada masa dahulu. Sebagai hasilnya, raja-raja yang terdapat dalam set daun terup itu mewakili beberapa pemimpin yang paling ikonik dalam sejarah iaitu Charlemagne, David, Caesar dan Alexander.
Charlemagne
Charlemagne yang juga dikenali sebagai Charles the Great atau Charles I merupakan King of Frank dari tahun 768, King of the Lombard dari tahun 774 dan Maharaja Rom daripada tahun 800. Dia telah menyatukan kebanyakan wilayah Eropah barat dan Eropah tengah semasa Awal Zaman Pertengahan .
Manakala David pula digambarkan dalam kitab Injil sebagai raja kedua kerajaan Israel dan Judah selepas Saul dan Ish-bosheth. Dalam Islam pula, kita percaya David adalah Nabi Daud AS iaitu bapa kepada Nabi Sulaiman AS.
Gaius Julius Caesar pula adalah seorang ahli politik, jeneral tentera, ahli sejarah terkenal dan pemerintah yang memainkan peranan penting dalam peralihan Republik Rom kepada Empayar Rom.
Yang terakhir ialah Alexander III of Macedon atau lebih dikenali sebagai Alexander the Great. Dia adalah pemerintah Yunani kuno yang berjaya mengalahkan Parsi dan menakluk tanah jajahan sejauh India.
Namun, asal-usul kad permainan daun terup seperti mana yang kita kenali hari ini agak kabur. Menurut ahli sejarah Joseph Needham, kad permainan ini mula muncul ketika Dinasti Tang di China pada kurun ke-9 Masihi. Walau bagaimanapun, kad permainan awal ini tidak mempunyai susunan angka dan simbol.
Adalah dipercayai bahawa lukisan raja-raja mula muncul dalam kad permainan daun terup yang dihasilkan di India atau Parsi. Ia kemudiannya dibawa ke Eropah melalui Semenanjung Iberia, satu daerah pergunungan yang merangkumi Sepanyol dan Portugal pada Zaman Pertengahan.
Ramai ahli sejarah yakin bahawa kad permainan ini muncul di Eropah pada hujung Zaman Pertengahan iaitu pada penghujung abad ke-14. Pada ketika itu, kad permainan yang wujud di Itali, Perancis dan Sepanyol mempunyai tulisan keagamaan oleh pendeta. Ia biasanya mengandungi larangan perjudian atau permainan yang menggunakan dadu.
Ketika itu, reka bentuk kad permainan juga berbeza-beza walaupun terdapat beberapa unsur biasa yang dikekalkan sehingga hari ini. Menurut Persatuan Permainan Kad Antarabangsa, variasi kad permainan ketika itu mempunyai gabungan kad bernombor dan tiga atau empat jenis kad bergambar yang mewakili Raja, Ratu, Kesatria dan Badut.
Variasi itu kemudian dibahagikan pula mengikut set susunan simbol berbeza seperti cawan, duit syiling, pedang dan tongkat. Tidak lama selepas itu, kad permainan daun terup ini menjadi sangat popular di seluruh Eropah dan para pengeluar mula bereksperimen dengan cara yang lebih baik untuk memperkemaskan produksi mereka.
Ketika inilah variasi serantau mula dikembangkan. Setiap kawasan yang berbeza mula menyeragamkan ikonografi yang dikaitkan dengan kad mereka. Sebagai contoh, Jerman membuang kad Ratu dan simbol asal digantikan dengan Loceng, Hati, Daun dan Kacang Oak.
Pengeluar kad permainan Perancis kemudian mempelajari teknik baru untuk mengasilkan kad yang lebih efisyen dan rekaan itu mula menguasai Eropah. Mereka memperkenalkan semula Ratu dan mengekalkan beberapa ikon rekaan Jerman dan mengubah beberapa simbol seperti mana yang kita kenali hari itu iaitu Hati (Heart) Sped (Spade), Kelab (Club) dan Berlian (Diamond).
Walau bagaimanapun, pereka Perancis benar-benar inovatif apabila memberikan nama kad menggunakan pemerintah terkenal dalam sejarah. Bermula dari kurun ke-16, mereka akhirnya mencapai kata sepakat untuk menggunakan empat tokoh penting dalam kad permainan daun terup.
Kad permainan Rusia
Charlemagne dikenalpasti sebagai Raja Hati (King of Heart) kerana berjaya menyatukan sebahagian besar Eropah dan membina Empayar Carolingian. Ia juga bagi memperingati keturunan dirajanya yang bertahan buat satu jangka masa yang panjang.
David pula adalah Raja Sped (King of Spade) yang mewakili kemenangan orang-orang benar ke atas musuh yang lebih kuat. Manakala Julius Ceasar, pahlawan Rom dan penakluk Gaul pula mewakili Raja Berlian (King of Diamond). Yang terakhir ialah Alexander the Great, pemimpin Yunani kuno yang mewakili Raja Kelab (King of Club).
Menjelang akhir abad ke-18, para revolusioner Perancis mula tidak bersetuju mengenai penggunaan monarki dan pemerintah dalam reka bentuk kad permainan daun terup. Mereka mula memperkenalkan simbol neutral dan imej yang tidak memuliakan mana-mana keturunan diraja.
Akibatnya, amalan menggunakan nama-nama raja terdahulu dalam kad permainan daun terup terus dilupakan pada awal abad ke-19. Walaupun masih terdapat lukisan raja-raja dalam daun terup yang dimainkan pada hari ini tetapi ia tidak mempunyai hubungan sejarah dengan pemerintah terdahulu.
Rujukan:
1. Thought Co
2. Snopes