Satu pendapat popular menyebut sukan dan politik sepatutnya tidak dikaitkan satu sama lain. Pendapat ini benar, kerana dalam acara sukan - kita mahu melihat atlit beraksi pada tahap sepenuhnya tanpa ada kekangan dikenakan ke atas mereka.

Apa pula yang akan berlaku sekiranya politik mula mengganggu perjalanan aktiviti sukan? Memang kacau-bilau jadinya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Salah satu kisah cukup aneh yang membuktikan pandangan tersebut yang pernah berlaku melibatkan sukan bola sepak, berkait dengan karier ganjil anak kepada bekas Presiden Libya, Muammar Gaddafi - seorang pemain bola sepak profesional bernama Al-Saadi Gaddafi.

Kisah ini menjadi bukti orang politik sepatutnya dijauhkan dari segala urusan atas padang, trek, litar, gelanggang dan semua tempat di mana acara sukan dipertandingkan.

Siapakah Al-Saadi Gaddafi?

gaddafi al saadi serie a libya

Al-Saadi merupakan anak ketiga dalam adik beradiknya. Sejak kecil dia menampakkan minat yang cukup mendalam untuk menyertai sukan bola sepak secara profesional, namun banyak pihak merasakan bakatnya agak kurang menyerlah.

Bagi memenuhi impiannya mahu menjadi seorang pemain bola sepak profesional, kerajaan Libya di bawah pimpinannya ayahnya mula menggunakan kuasa yang ada untuk membolehkan cita-cita Al-Saadi tercapai.

Akhirnya - pada usia 27 tahun dalam tahun 2000 (!!) - Al-Saadi memulakan karier sebagai pemain bola sepak profesional, memilih kelab kelab Al-Ahly Tripoli dan bermain sebagai penyerang.

Dalam memastikan kerjayanya mekar, Persatuan Bola Sepak Libya mula memperkenalkan beberapa perubahan bagi membantu karier Al-Saadi.

Al-Saadi menjadi satu-satunya pemain yang dibenarkan meletakkan nama pada bahagian belakang jersi. Pemain lain diberikan insentif bonus untuk menghantar bola kepada beliau, dengan ganjaran kereta serta wang ringgit dijadikan habuan.

Pengadil mula ditakutkan untuk memberikan kelebihan kepada kelab beliau. Hadiah sepakan penalti sudah menjadi satu kebiasaan.

Dalam musim pertama beliau beraksi, Al-Saadi dan kelabnya memenangi kejuaraan liga, melakukan penampilan 14 kali dengan 3 gol.

Apa yang unik berkenaan 'pencapaian' ini - selain bergelar pemain, dalam masa yang sama Al-Saadi juga bergelar kapten kelab, pemain kebangsaan........dan memegang jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Libya.

Membayar untuk melakukan aksi menentang Barcelona

perlawanan persahabatan kelab libya barcelona

Seperti ramai pemain bola sepak lain, Al-Saadi juga menyimpan impian untuk merasai pengalaman beraksi di stadium milik kelab Barcelona iaitu Camp Nou.

Impian beliau berjaya dicapai semasa dia masih beraksi bersama kelab Al-Ittihad Tripoli apabila hubungan baik kerajaan Libya dan Sepanyol memungkinkannya.

Pada tahun 2003, kerajaan Libya mengaturkan sesi latihan dan perlawanan persahabatan antara Al-Ittihad dengan Barcelona - dengan bayaran EU300,000 menjadi pemudah cara.

Al-Saadi turun beraksi sebagai pemain serta pemilik kelab tersebut - cuba mempamerkan aksi terbaik dibarisi 10 pemain dari Libya dengan seorang pemain Uruguay, yang bertindak sebagai penjaga gawang.

Namun Barcelona yang menjadikan perlawanan itu sebagai pemanas badan mereka sebelum aksi sebenar perlawanan Liga Juara Eropah, membelasah kelab dari Libya itu lima gol tanpa balas.

Berkelana membawa karier ke Itali

majlis tandatangan kontrak perugia al saadi muammar

Al-Saadi kekal untuk 2 musim berikutnya bersama kelab Al-Ittihad Tripoli, di mana dia memperbaiki pencapaian melakukan 74 penampilan dengan jaringan 24 gol dan kelab barunya itu turut memenangi liga untuk 2 musim tersebut.

Tetapi pencapaian dalam liga domestik seakan tidak memadai untuk Al-Saadi, dia mahu mencuba nasib dalam liga yang lebih mencabar.

Pada penghujung musim tahun 2002-2003, usaha untuk membawa Al-Saadi ke Itali mula kedengaran, hasil percaturan beberapa orang ahli politik di sana yang mahu memperkukuhkan hubungan negara mereka dengan kerajaan Libya.

Dipercayai Slivio Berlusconi sendiri (ketika itu Perdana Menteri Itali dan pemilik kelab AC Milan) mengarahkan kelab Perugia yang berpusat di Umbria, untuk menawarkan kontrak kepada Al-Saadi - atas dasar kepentingan politik.

Pelawaan untuk Al-Saadi bermain di Itali yang membawa prestij besar diterima baik Al-Saadi, namun kehadirannya ke kelab itu gagal membawa pulangan gol yang dicari. Prestasinya 'menjunam' jauh, gagal melakukan sebarang penampilan.

Al-Saadi terpaksa menunggu 9 bulan untuk membuat penampilan sulung, akhirnya terpilih sebagai pemain ganti semasa Perugia melawan kelab Juventus.

al saadi dikekang alessandro del piero

Banyak pihak percaya dia terpilih untuk bermain selama beberapa belas minit menentang kelab legenda itu kerana ramai tahu dia peminat kelab dari Turin itu dan pada tahun 2002, kerajaan Libya telah membeli saham Juventus; menjadikan mereka antara pemilik kelab tersebut.

Rekod beliau di Perugia berakhir dengan satu penampilan selama 15 minit tanpa sebarang jaringan gol.

Al-Saadi berpindah ke Udinese pada musim berikutnya, turut sama melakukan satu penampilan sebagai ganti yang hanya bertahan selama 11 minit dalam musim 2005-2006.

Dia menandatangani kontrak bersama kelab Sampdoria pada musim berikutnya namun tidak pernah diberikan peluang beraksi, menamatkan karier impiannya dalam sukan bola sepak sempat beraksi dalam liga domestik Libya, Seria A dan juga pasukan kebangsaan negaranya - semuanya berkat pengaruh ayahnya.

Berdepan kejatuhan kerajaan ayah

gaddafi semasa tahanan

Kejatuhan kerajaan Muammar Gaddafi pada tahun 2011 memaksa Al-Saadi melarikan diri ke luar negara.

Dia berselindung di Niger untuk beberapa tahun sebelum arahan ekstradisi memaksanya kembali ke Libya, untuk berhadapan dipenjarakan sambil menunggu perbicaraan ke atas pelbagai tuduhan jenayah dimulakan - pada usianya 40 tahun,

Salah satu dakwaan yang perlu dihadapi adalah berkaitan kes pembunuhan seorang pemain bola sepak popular Libya bernama Bashir al-Riyani, yang secara terbuka mengkritik pentadbiran Presiden Libya dalam insiden tahun 2005.

Sebuah video berdurasi lebih 9 minit tular pada tahun 2015, menampakkan beberapa orang pegawai di percayai pegawai penjara serta individu berpakaian biasa melakukan soal siasat ke atas Al-Saadi, dengan cara yang agak menyeksakan.

Dia dibebaskan daripada tuduhan membunuh pemain itu dalam keputusan penghakiman mahkamah tahun 2018. Kerajaan Libya kemudiannya membebaskan Al-Saadi daripada tahanan pada bulan September tahun 2021.

Al-Saadi dikatakan terus terbang ke Istanbul, Turki ketika ini sudah berusia 47 tahun.

Rujukan

The day Gaddafi's son played at the Camp Nou

The Sad Case of Saadi: Meet Muammar Gaddafi's footballing son




Hakcipta iluminasi.com (2017)