Apabila bercakap mengenai syarikat motosikal tempatan, pasti nama mendiang Tan Sri Loh Boon Siew akan datang ke minda, atau lebih tepat, Boon Siew Honda.
Beliau adalah individu pertama yang diberikan hak pengedaran untuk motosikal Honda pada awal tahun 1960-an. Kisah daripada miskin kepada kaya ini adalah antara yang paling terkenal di Malaysia, terutamanya di Pulau Pinang.
BESARKAN TEKS A- A+
iluminasi.com kongsikan kisah sejarah bagaimana Tan Sri Loh Boon Siew memulakan dan menaikkan nama Honda di Malaysia dan ke seluruh dunia, bersama-sama Soichiro Honda.
Kehidupan awal Loh Boon Siew
Sebagai seorang migran dari wilayah Fujian, China, sebelum Perang Dunia Kedua, Loh Boon Siew bekerja sebagai sebagai pelatih mekanik kereta ketika muda.
Untuk menambahkan pendapatannya, beliau bekerja sebagai penarik beca. Walaupun ia agak sukar, Boon Siew tidak berhenti daripada menjadi pelatih kerana minatnya untuk mempelajari kemahiran tersebut.
Dan apabila peluang untuk membawa masuk motosikal buatan Jepun ke Malaysia terbuka, Boon Siew merebutnya dengan pantas dan kemahiran beliau sebagai seorang mekanik memudahkan segalanya.
Jatuh cinta dengan Honda ketika melancong ke Jepun
Menurut kisah, pada tahun 1950-an, Boon Siew yang berusia 43 tahun pergi bercuti ke Jepun. Ketika itu, beliau ternampak seorang pemuda Jepun menunggang sebuah motosikal melepasinya.
Sebagai seorang bekas mekanik, Boon Siew secara naluri dapat mengetahui bahawa bunyi yang dihasilkan oleh motosikal tersebut memberitahu bahawa ia mempunyai enjin yang sangat baik.
Tanpa membuang masa, Boon Siew dengan pantas mencari kilang Honda untuk mendapatkan hak agensi untuk motosikal di Malaysia.
Dengan idea bahawa model-model motosikal Honda ini akan menjadi pilihan terbaik bagi orang Asia yang bertubuh kecil untuk bergerak ke mana-mana dengan mudah pada harga yang berpatutan, beliau mempunyai jangkaan bahawa ia akan terjual seperti pisang goreng panas.
Malah, ia juga akan membantu negara untuk mencari cara pengangkutan yang betul untuk membina semula negara selepas Perang Dunia II.
Membawa pulang model Honda ke Malaysia
Oleh itu, beliau memutuskan untuk menghantar beberapa model ke Malaysia dan model-model tersebut termasuklah Honda C100 Dream dan Honda Bealy.
Pesanan pertama yang dilakukan oleh Boon Siew adalah sebanyak 12 unit Honda Cub, yang mana dijual kepada rakan-rakan beliau secara sewa beli.
Pengedaran motosikal Honda secara kecil-kecilan ini telah melahirkan Boon Siew Sdn Bhd, yang kini memegang kawalan kepentingan sebanyak 52.9% dalam Oriental Holdings Bhd, perniagaan utama keluarga Loh Boon Siew.
Pertemuan dengan Soichiro Honda
Pada tahun 1958, Loh Boon Siew dan Soichiro Honda bertemu buat kali pertama.
Masing-masing mempunyai impiannya sendiri untuk merevolusikan industri motor Malaysia bagi Loh Boon Siew manakala impian Soichiro Honda adalah untuk mewujudkan pengangkutan bermotor yang cekap untuk rakyat jelata.
(Mendiang Tan Sri Dato Loh Boon Siew dan Soichiro Honda)
Boon Siew dan Soichiro Honda bersetuju untuk menubuhkan anak syarikat Honda di Malaysia dan tidak lama kemudian, sebuah bilik pameran Honda pertama di Malaysia dibuka di Pulau Pinang di Pitt Street.
Ia juga menjadi saat di mana Honda Motor Co Ltd (Honda Japan) melantik syarikat Loh Boon Siew sebagai pengedar tunggal untuk motosikal Honda di Malaysia.
(Honda C50)
Ia mengambil beberapa tahun percubaan melihat bagaimana rakyat Malaysia memandang motosikal Honda yang ketika itu tidak begitu popular terutamanya dengan Honda C50 yang tidak mampu berhadapan dengan bentuk muka Bumi Malaysia yang lasak pada ketika itu.
Penciptaan Honda C70, model paling popular di dunia
Dengan ketekunan yang tinggi oleh Loh Boon Siew dan Soichiro Honda, mereka akhirnya berjaya membangunkan Honda C70 pada tahun 1970 yang menjadi pemangkin utama kepada peralihan paradigma yang bersejarah ini.
Honda C70 menjadi motosikal 70 hingga 80cc yang paling popular di Malaysia dan masih banyak dicari pada hari ini.
Usahasama perniagaan ini berterusan dengan mengimport motosikal yang lebih mesra dengan panggilan kapchai ke dalam negara.
Namun, Boon Siew berasakan bahawa keseluruhan proses boleh dilakukan dengan lebih cekap dan dalam masa yang sama menjadikan harga motosikal ini lebih murah.
Sebuah kilang pemasangan di bawah syarikat Kah Motor Co. Sdn. Bhd. telah ditubuhkan dengan pantas di Permatang Pauh, Pulau Pinang pada tahun 1968 untuk membantu menurunkan kos serta membekalkan permintaan Honda C70 yang semakin meningkat di Malaysia.
Syarikat itu dijenamakan semula kepada Boon Siew Honda, satu langkah yang menjadikannya jenama yang sinonim dengan motosikal di Malaysia sehingga hari ini.
Honda Super Cub kemudiannya memperkenalkan slogannya yang terkenal iaitu "You Meet the Nicest People on a Honda", membuakan jualan melonjak ke tahap di mana kini dianggap sebagai motosikal paling berjaya di dunia sepanjang masa.
Boon Siew Honda bantu Honda terkenal
Sebahagian daripada kejayaan di seluruh dunia terutama di Asia Tenggara adalah hasil usaha Boon Siew Honda. Dari permulaan yang rendah dengan pendirian yang sukar tanpa pendidikan formal, Tan Sri Dato Loh Boon Siew menjadi "Encik Honda" Malaysia dan juga salah seorang usahawan terkaya di negara ini.
Menjelang tahun 1980, Boon Siew telah mencapai pencapaian bersejarah dalam menghasilkan 500,000 buah motosikal. Dalam tempoh hanya enam tahun, Boon Siew Honda menghasilkan sejuta unit motosikal pada tahun 1986.
Angka-angka tersebut terus meningkat dan setakat ini, lebih daripada 2 juta unit telah dihasilkan dan dijual di seluruh negara. Boon Siew Honda dijangka mencapai pengeluaran 5 juta di Malaysia pada tahun 2018.
Dan selepas 61 tahun, Boon Siew Honda masih kukuh bertapak di Malaysia serta Asia Tenggara dengan beberapa model yang berjaya termasuk Honda EX5 yang telah mendapat status "legenda".
Walaupun selepas 30 tahun sejak pengenalannya, EX5 kekal sebagai salah satu motosikal paling ikonik di negara ini yang semuanya bermula dengan slogan yang ringkas namun memberikan inspirasi, iaitu "Passion towards Dreams".
Rujukan:
2. Edge Markets