Oleh pada 08 Sep 2017 kategori

laluan kecemasan motorsikal kereta

"Boleh ke motorsikal lalu laluan kecemasan sebenarnya?"

"Boleh kan? Kalau tak, nak lalu mana?"

"Gila motorsikal nak masuk lorong biasa sekali dengan kereta lori semua!"

Begitulah ayat-ayat yang selalu kita dengar orang ramai utarakan berkenaan di mana sepatutnya motorsikal dipandu atas jalan. Memang berlaku kekeliruan tentang siapa yang berhak atau tidak berhak menggunakan lorong kecemasan, sehinggakan terjadi banyak kes di mana pemandu kereta bergaduh dengan penunggang motorsikal akibat kereta yang dipandu dalam lorong kecemasan, sehinggakan motorsikal tidak dapat lalu.

Jadi, persoalannya, siapa yang layak guna lorong kecemasan? Soalan ini perlu dijawab dengan menggunakan fakta jadi hari ini kami kongsikan 3 fakta tentang isu ini yang harapnya dapat menjawab persoalan masyarakat kita ini.

1. Akta Pengangkutan Jalan 1987

akta pengangkutan jalan laluan kecemasan

Menurut Akta Pengangkutan Jalan 1987, penunggang motorsikal yang meletak, menunda atau memandu di lorong-lorong kecemasan sebenarnya sedang melakukan kesalahan trafik. Kesalahan tersebut boleh dikompaun sebanyak RM300 untuk setiap kesalahan tanpa rayuan dibenarkan.

2. Temubual dengan Timbalan Ketua Pengarah JPJ

akta pengangkutan lorong kecemasan motorsikal

Dalam satu temubual bersama wartawan bagi pihak Mstar, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman memberitahu yang lorong kecemasan hanya untuk kegunaan pihak berkuasa, sekiranya berlaku kecemasan. Sehubungan itu, larangan tersebut juga jatuh kepada penunggang motorsikal.

“Mana-mana kenderaan termasuk motosikal tidak dibenarkan menggunakan lorong kecemasan,” katanya.

Menurut Wan Ahmad Uzir, pengguna jalan raya yang didapati menggunakan lorong kecemasan boleh didakwa di mahkamah di bawah Akta JPJ 1987. Sila rujuk poin nombor 1 di atas. (Rujukan)

3. Temubual dengan ACP Mohd Nadzri Hussain

polis trafik lorong kecemasan motorsikal

Menerusi temuramah bersama wartawan daripada New Straits Times, Assisten Komisioner Polis Unit Trafik Mohd Nadzri Hussain, memberitahu dengan jelas, "lorong kecemasan sebenarnya tidak boleh digunakan walaupun oleh penunggang motorsikal" semasa merujuk kes di mana penunggang motorsikal menyepak cermin sisi kereta yang menghalang jalan, pada 5 Jun 2016.

Penunggang motorsikal itu, menurut Assisten Komisioner Polis Unit Trafik Mohd Nadzri Hussain, melakukan dua kesalahan - satu, merosakkan kenderaan orang lain dan dua, memandu di lorong kecemasan. (Rujukan)

motorsikal kemalangan di laluan kecemasan

Faktanya - motorsikal tidak boleh dipandu di lorong kecemasan.

Namun, atas budi bicara, undang-undang itu tidak dikawal secara ketat menyedari kesedaran tentang keselamatan penunggang motorsikal pada pemandu-pemandu lain masih amat rendah.

Pihak polis dan JPJ memilih untuk memastikan keselamatan penunggang motorsikal selamat dan trafik berjalan dengan lancar, kerana diakui menunggang di lorong kecemasan di Malaysia, jauh lebih selamat.

Pemandu-pemandu di negara kita yang memandu kereta, van, bas dan lori khasnya kurang kesedaran tentang bagaimana hendak memastikan jarak selamat antara kenderaan mereka dengan motorsikal, jika kita berkongsi lorong. Mentaliti memandang rendah dan hina penunggang motorsikal juga menjadi salah satu penyebab besar kenapa sukar penunggang motorsikal hendak dihormati atas jalan raya.Rasanya tak perlulah nak sebut tentang orang yang mengungkit tentang cukai jalan yang dibayar, jika adab pun tak mampu diadakan.

myvi langgar motorsikal

Jadi, apa perubahan yang perlu dilakukan?

Pertama, jika anda rasa yang menunggang motorsikal di lorong kecemasan langkah baik untuk anda, tidak ada masalah anda berbuat demikian cuma jika anda disaman kerana kesalahan tersebut, anda harus terima anda melakukan kesalahan.

Kedua, jika ada kereta yang masuk ke lorong kecemasan, statusnya sebenarnya sama saja dengan motorsikal yang menggunakan lorong kecemasan. Kedua-duanya tidak ada hak untuk menggunakan lorong tersebut.

Ketiga, penunggang motorsikal tidak layak untuk mengamuk, memarahi, menghalau, mengangkat jari hantu atau menyepak cermin sisi kereta yang menghalang laluan motorsikal di lorong kecemasan, kerana kedua-dua pihak sebenarnya salah.

Keempat, penunggang motorsikal mempunyai hak untuk berada di lorong sebenar jalan raya tak kiralah di mana saja sekalipun termasuklah lebuh raya. Jika anda merapatkan kenderaan anda untuk membuat penunggang mototsikal masuk ke lorong kecemasan kerana memperlahankan trafik di lorong kiri, tindakan anda itu salah dan mengacau hak penunggang motorsikal di jalan raya.

Begitulah serba sedikit penerangan yang kami rasakan amat penting dalam menjernihkan kekeruhan pemahaman masyarakat kita tentang undang-undang ini.


tags : , , , , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)