Kredit foto: Instagram Sharifah Sakinah

Pelakon, Sharifah Sakinah, 29, terpaksa menggugurkan kandungan keduanya selepas kelahiran anak sulung pada Mei tahun lalu.

Mengaku amat sedih, Sakinah bagaimanapun akur dengan nasihat doktor atas faktor kesihatan dan keselamatan.

"Ketika itu, memang tidak menjangka hamil anak kedua. Saya sangat gembira. Namun, apabila dinasihati untuk buang, saya sedih," katanya kepada Harian Metro.

Pelakon yang popular menerusi drama Girlfriend Aku Dari Neraka itu berkata, dia bimbang dengan risiko yang bakal dihadapi kerana ketika itu baharu sahaja empat bulan bersalin secara pembedahan.

saya makan nenas untuk keluarkannya sharifah sakinah gugurkan kandungan 2

Kredit foto: Instagram Sharifah Sakinah

"Saya diberi tempoh seminggu dan saya makan nenas untuk keluarkannya.

"Sebenarnya, perkara itu sangat berisiko kerana membabitkan kesihatan dan keselamatan. Malah, doktor pun tidak mahu ambil risiko.

"Kalau bersalin secara pembedahan, paling 'gengster' pun untuk hamil anak kedua adalah selepas enam bulan.

“Tetapi ketika itu, anak pertama saya baru empat bulan selepas dilahirkan melalui pembedahan pada 24 Mei tahun lalu," katanya.

Tambah Sakinah, dia berlapang dada menerima cahaya mata kedua dan sedia meminda isi jadual kerjaya demi memberi laluan kepada kelahiran yang bakal menjelang. 

"Pada masa itu, saya okey saja untuk anak kedua. Saya bersedia menjaga dan menguruskan anak meskipun jarak usia mereka dekat. Malah, semua aktiviti seni dan lakonan akan ditunda," katanya.

Namun buat masa ini dia menangguhkan dahulu hasrat berkenaan demi memberi tumpuan pada perjalanan karier seni.

"Namun, untuk sekarang belum bersedia sebab saya sangat sibuk. Malah, masa bersama anak pun terhad. Insya-Allah kalau tahun depan semuanya okey dan kerja pun tak banyak, baru boleh fokus tambah anak lagi," katanya.

Sakinah mendirikan rumah tangga dengan Aliff yang juga seorang juruterbang pada Mac 2015.




Hakcipta iluminasi.com (2017)