Agak sukar untuk dipercayai jika anda seorang lelaki dan tidak pernah main permainan video Street Fighter. Ia merupakan antara permainan video aksi yang paling popular di dunia dan salah satu daripada francais permainan video berjaya meraih kutipan tertinggi sepanjang zaman.
Karekter seperti Ryu, Ken, Guille dan Sagat sangat diminat di seluruh dunia. Tak dilupakan, karekter dari Asia Tenggara, iaitu Sagat.
BESARKAN TEKS A- A+
Dalam Street Fighter, Sagat adalah "Maharaja Muay Thai" yang sangat terkenal dengan seni mempertahankan diri berasal dari Thailand itu. Sagat adalah ketua dalam Street Fighter asal, dan anda harus mengalahkannya untuk menjadi pahlawan Street Fighter terhebat di dunia.
Namun disebalik permainan yang hanya khayalan semata-mata, tahukah anda terdapat seorang dalam dunia sebenar, yang 99% menyerupai Sagat?
Dengan berkepala botak dan memakai penutup sebelah mata, Sakat Petchyindee (dilahirkan dengan nama Sakat Phonpimai) yang kelihatan serupa dengan Sagat Street Fighter adalah bekas peninju profesional dari Thailand.
Beliau diterima ramai sebagai inspirasi kepada watak Sagat dalam Street Fighter.
Lahir pada 30 November 1957 di Nakhon Ratchasima, timur laut Thailand, Sagat bukanlah nama sebenar beliau. Gelaran "Sagat" diberikan oleh bapanya yang bermaksud "memintas". Sagat juga dahulunya mempunyai rambut, tidak seperti yang digambarkan dalam Street Fighter.
Diinspirasikan oleh datuknya, Suk Prasathinpimai yang merupakan pahlawan Muay Thai lagenda, Sagat mula berlatih seni pertahankan diri ini ketika berusia 11 tahun.
Ketika berusia 18 tahun, Sagat memenangi gelaran pertamanya dan mula dikenali ramai kerana teknik "knockout uppercut" dimilikinya.
Sagat mempunyai persamaan dengan pahlawan lagenda Muay Thai yang lain seperti Somrak Kamsing, Samart Payakaroon dan Saenchai.
Pahlawan-pahlawan ini mempunyai pengalaman tinju antarabangsa yang berjaya, teknik pergerakan kaki yang sangat licik dan kemahiran mengelak yang pantas. Penggabungan tumbukan ke dalam Muay Thai menjadikan mereka sangat berbahaya.
Di Thailand, Sagat merupakan antara beberapa orang sahaja yang berjaya mengalahkan Dieselnoi, peninju Muay Thai yang khusus dalam penggunaan lutut sepanjang zaman. Dieselnoi tewas di tangan Sagat sebanyak 2 kali.
Beliau juga pernah berlawan dengan Peter Cunningham, juara dunia 7 kali dari Kanada yang berkeputusan seri. Sepanjang karier Sagat, beliau memenangi 11 gelaran, termasuklah 3 kali Juara Lumpinee, 3 kali Juara Rajadammern, Juara Muay Thai Dunia dan Juara Kickboxing Dunia.
Sagat juga pernah bertanding di Jepun dan memenangi kesemua 5 perlawanan.
Menurut Sagat, beliau percaya kejayaan yang dikecapinya telah menarik perhatian pencipta Street Fighter. Terdapat khabar angin bahawa direktor Capcom telah melihat Sagat beraksi dalam gelanggang dan serta-merta mendapat inspirasi.
Di antara karekter dalam Street Fighter asal yang dikeluarkan pada tahun 1987, yang mana ketika itu Sagat berusia 20 tahun, terdapat satu karekter dengan nama Sagat. Dan sehingga kini, francais Street Fighter terbaru masih mempunyai karekter Sagat dari Thailand.
Menurut Sagat, beliau tidak pernah memperoleh apa-apa faedah kewangan daripada Capcom. Capcom pula tidak pernah mengakui atau menafikan karekter dalam Street Fighter adalah merupakan Sagat dalam dunia sebenar.
Rekod perlawanan keseluruhan Sagat adalah sebanyak 317, di mana beliau memenangi 266 daripadanya, tewas 40 kali, dan 11 berkeputusan seri, yang mana 151 daripanya dimenangi dengan keputusan KO. Antara pertemuan antarabangsa yang lain adalah bertemu Ronnie Green, juara dunia 4 kali dan Wilfredo Gomez, juara dunia 3 kali.
Kini, sebagai seorang bekas peninju Muay Thai yang sudah berusia 60 tahun, Sagat menyumbangkan bakat dan pengalamannya kepada orang ramai sebagai jurulatih Muay Thai di Thai Boxing Master Gym, di Bangkok.
Antara impak yang dihasilkan oleh Sagat dalam dunia MMA termasuklah tumbukan Superman. Ramai yang beranggapan bahawa teknik tumbukan ini berasal dari MMA, namun teknik ini telah lama digunakan oleh Muay Thai yang dikenali sebagai Tumbukan Cobra di mana seseorang itu berpura-pura melepaskan tendangan tetapi melepaskan tumbukan.
Georges St-Pierre menggunakan teknik ini mengalahkan Matt Hughes dalam usahanya untuk meraih gelaran itu Juara UFC. Taktik yang sangat berkesan ini diwariskan Sagat kepada anak muridnya, Firas Zahabi.
Rujukan:
1. 8limbs
3. Kotaku