Rata-rata generasi muda sekarang tidak dapat melihat kewujudan Penjara Pudu di bandar raya Kuala Lumpur. Pada tahun 2012, binaannya telah dirobohkan untuk memberi laluan kepada projek-projek pembangunan di kawasan berkenaan.

Penjara ini terletak di Jalan Shaw (kini dikenali sebagai Jalan Hang Tuah) dan telah dibina oleh pihak koloni British antara tahun 1891 hingga tahun 1895. Penjara ini mempunyai keunikannya yang tersendiri di mana dinding luarnya dipenuhi dengan pelbagai lukisan mural yang membolehkannya diiktiraf sebagai lukisan mural terpanjang dunia satu ketika dahulu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Apabila menceritakan mengenai kisah Penjara Pudu, apa yang kita biasa dengar tentulah kisah yang kurang enak sahaja. Antara perkara yang pernah menggemparkan negara suatu ketika dahulu adalah peristiwa rusuhan banduan di penjara ini.

Rusuhan Penjara Pudu

rusuhan penjara pudu

Peristiwa hitam ini terjadi pada tanggal 17 Oktober 1986 dan berakhir hanya 6 hari kemudian. Rusuhan ini telah dimulakan oleh 6 orang banduan yang diketuai oleh seorang penjenayah bernama Jimmy Chua yang telah menahan seorang doktor dan pembantunya sebagai tebusan.

Jimmy Chua atau nama sebenarnya Chua Chap Seng merupakan seorang warga negara Singapura dan beliau telah ditempatkan di Penjara Pudu atas kesalahan membunuh seorang anggota polis pada tahun 1984. Jimmy Chua merupakan seorang penjenayah yang sangat dikehendaki oleh polis ketika itu.

Selain pembunuhan anggota polis tersebut, beliau juga terlibat dengan pelbagai jenayah lain seperti mengetuai kongsi gelap dan kesalahan memiliki senjata api secara tidak sah. Dia akhirnya berjaya diberkas oleh anggota Unit Risikan (D4) dari Ibu Pejabat POlis Kontinjen Kuala Lumpur.

Permulaan krisis

bilik gantung

Pada pagi 17 Oktober 1986 itu, seperti biasa rutin pemeriksaan kesihatan akan dijalankan seperti biasa oleh doktor yang bertugas. Pada pagi itu, Dr. Radzi Jaafar, iaitu seorang doktor Pakar Kulit daripada Universiti Kebangsaan Malaysia dan pembantunya bertugas seperti biasa.

Secara tiba-tiba, mereka telah diserang oleh 6 orang banduan yang telah diketuai oleh Jimmy Chua. Kumpulan ini menggunakan kasut tumit tinggi dan beberapa senjata lain yang telah diubahsuai bagi menyerang doktor dan 2 orang pegawai perubatan

Selain Jimmy Chua, 37, 5 orang penjenayah lain yang berkomplot dalam peristiwa tebusan ini adalah Lam Hock Sung, Ng Lai Huat, Sin Ah Lau, Yap Chee Keong dan Phang Boon Ho. Kesemua mereka ditahan di penjara ini kerana kesalahan di bawah Akta Senjata Api.

Keadaan menjadi semakin rumit apabila bekalan elektrik di bilik perubatan tersebut turut dimatikan. Kesemua penjenayah ini juga mengarahkan beberapa orang banduan, warden dan pembantu perubatan lain untuk beredar dari klinik tersebut dan mereka hanya menjadikan beberapa orang termasuk Dr. Radzi sebagai tebusan.

Warden yang telah diarahkan keluar daripada klinik tersebut telah bertindak bijak dengan mengunci klinik tersebut daripada luar untuk mengelakkan kesemua penjenayah daripada keluar. Beliau kemudiannya memanggil pihak pegawai penjara untuk mengepung bilik tersebut dan memaklumkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan.

Tuntutan mengurangkan hukuman

jimmy chua

Jimmy Chua sedar bahawa dia mungkin dikenakan hukuman gantung sampai mati akibat kesalahannya membunuh seorang anggota polis. Oleh itu, tindakannya membuat rusuhan ini adalah bagi membolehkannya berunding dan mengugut agar hukuman ke atasnya dapat dikurangkan.

Sewaktu berada di klinik tersebut bersama beberapa orang tebusan, dia berjaya bercakap dengan beberapa orang pegawai polis dan berkali-kali menuntut pihak berkuasa melepaskannya dan beberapa orang rakannya. Sebagai balasan, mereka akan melepaskan tebusan yang ditahan.

Penjenayah ini juga menolak sebarang bentuk bantuan makanan yang dihantar kepada mereka kerana mengesyaki ianya mungkin mengandungi bahan-bahan yang mampu melemahkan mereka. Sementara itu, Dato' Mohd Zaman Khan, iaitu Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam telah menolak permintaan penjenayah untuk mendapatkan kenderaan dan wang tunai.

Beberapa hari berlalu dan keadaan menjadi semakin kritikal. Orang ramai mula membanjiri perkarangan penjara ini bagi mengetahui apa yang sebenarnya terjadi. Malah, saudara-mara yang hadir untuk melawat banduan juga tidak dibenarkan masuk untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Strategi dan perancangan bijak Unit Tindakan Khas

unit tindakan khas 713

Bagi kes seperti ini, Unit Tindakan Khas (UTK) iaitu sepasukan polis yang pakar dalam misi anti-pengganas telah diarahkan untuk membuat segala peranacangan rapi untuk menyerang hendap musuh. Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamed juga telah mengingatkan pihak UTK untuk tidak menggunakan sebarang jenis senjata api bagi mengelakkan pertumpahan darah.

6 hari selepas krisis ini bermula, pasukan UTK ini akhirnya dapat mencari masa yang sesuai untuk bertindak. Dengan kekuatan seramai 12 orang anggota, mereka berjaya menyelinap masuk klinik tersebut tanpa disedari oleh Jimmy Chua dan rakan-rakannya.

Kejayaan ini turut dibantu oleh bantuan salah seorang banduan di situ yang melakukan panggilan kepada polis bagi memaklumkan Jimmy Chua dan rakan-rakannya sedang nyenyak tidur. Banduan tersebut juga telah membantu membuka sebuah pintu pagar dawai di klinik tersebut tanpa disedari oleh penjenayah.

Misi genting ini berakhir hanya dalam masa yang singkat hasil kecekapan UTK dan banduan yang memberikan pertolongan. Tiada tembakan dilepaskan dan hanya cota dan rotan digunakan bagi mempertahankan diri dan menahan penjenayah. Kecekapan UTK menyebabkan tiada kecederaan serius dialami dan penjenayah hanya mengalami kecederaan ringan.

Akibat daripada jenayah terancang ini, Jimmy Chua dan 5 lagi penjenayah yang bekerjasama dengannya telah dibicarakan di Mahkamah Tinggi dan didapati bersalah di bawah Akta Culik 1961 yang membawa hukuman maksimum mati jika sabit kesalahan. Mereka telah dikenakan hukuman gantung pada 10 Oktober 1989.

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. Berita Harian



Hakcipta iluminasi.com (2017)