Penulisan ini ditulis dan dikongsikan oleh saudara Jazwan Kahar di laman Facebook beliau dan pihak iluminasi telah mendapat kebenaran mengulang siar penulisan ini untuk manfaat bersama. Sedikit pengolahan struktur ayat telah dibuat tanpa mengubah maksud mahupun mesej asal perkongsian ini. 

Penjara Pudu

Sumber Foto: farhanhanif.blogspot.my

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bismillahirrahmanirrahim. Saya ingin berkongsi cerita di hari minggu ini.

Teringat akan zaman muda dulu, sewaktu bekerja di Penjara Pudu sekitar tahun 1998 kalau tidak silap. Semasa itu, Penjara Pudu diambil alih oleh syarikat swasta untuk jadikan pameran bagi orang ramai.

Tapi pameran ini diselia oleh Jabatan Penjara Malaysia. Waktu itu majikan kami adalah Tuan Aris, yang merupakan junior datuk saya. Datuk saya dahulunya seorang bekas warden di Penjara Pudu.

Dipendekkan cerita, saya bersama sahabat baik saya ditugaskan menjaga bilik akhir, yakni bilik pesalah yang akan menjalani hukuman gantung. Seronok betul waktu itu. Waktu muda-muda memang suka sangat tempat macam itu.

Seluruh kawasan Penjara Pudu memang sudah kami tapau habis. Semua tempat tersembunyi kami sudah pergi dan melepak. Kawasan yang tidak boleh masuk pun kami tetap masuk juga. Banyak kisah yang pelik, tapi bila-bila nanti saya ceritakan.

Banyak perkara yang saya belajar dan sedar ketika kerja di situ. Lagi seronok bekas warden pula kenalan datuk saya, jadi lagi banyak cerita saya dapat dan rasai di sini. 

Banduan Akhir

Ini pula cerita dari ustaz, nak cerita pasal bilik akhir sebenarnya. 

"Jangan dihina pelaku maksiat kerana ada jalan taubat buat mereka di akhir hayatnya. Bagaimana pula dengan kita? Apakah nanti ada ruang untuk kita bertaubat?" Ikuti kisah menyayat hati ini. Antara manusia yang tahu bila dia akan mati ialah, banduan akhir. 

hukuman gantung sampai mati

Sumber Foto: semuanyanafsubelaka.blogspot.my

Banduan akhir ialah banduan yang melakukan jenayah berat, melalui proses kehakiman kadangkala 2 tahun, 3 tahun, mahupun 5 tahun dan akhirnya akan dihukum hukuman gantung oleh hakim.

Sekiranya hukuman gantung itu dibacakan pada hari Isnin, maka hukuman gantung sampai mati dilakukan oleh pada hari Jumaat (semua banduan akhir beragama Islam).

Apabila seorang banduan bakal dihukum gantung sampai mati, maka namanya di ketika itu akan menjadi banduan akhir dan biliknya akan diasingkan. Nama biliknya ialah "Sel Akhir". 

Katakanlah hakim menjatuhkan hukuman pada hari Isnin, maka ketika itu baki kehidupan harinya ialah Selasa, Rabu dan Khamis sahaja.

Waktu hakim membaca "Maka dengan ini dijatuhkan hukuman gantung sampai mati, yang akan dilaksanakan pada hari Jumaat ini antara jam 6 pagi dan jam 7 pagi."

Prosedurnya adalah sedemikian. Sekiranya hukuman dibaca hari Ahad, Jumaat dijatuhkan hukuman. Kalau hari Rabu, maka baki kehidupannya sehari sahaja lagi. 

Orang yang namanya banduan akhir ini, selesai hakim membaca keputusan, lutut dia sudah tidak boleh berdiri lagi. Sebab apa tuan-tuan? Sebab dia masih boleh bernafas 3 hari sahaja lagi. Dia hanya boleh bernafas 4 hari sahaja lagi. 

Air mata sudah berlinangan sejak di mahkamah lagi. Balik ke penjara, warden akan suruh asingkan barang-barang dan mesti dipindahkan ke sel belakang sekali, seorang diri. 

bilik banduan akhir dan tempat gantung

Diketika itu, kita akan tengok bagaimana banduan akhir menghabiskan kehidupannya. Sentiasa membaca Al-Quran. Apabila ustaz agama datang, majlis percakapan dan nasihat akan dipenuhi dengan tangisan air mata. 

"Saya banyak dosa ustaz."

"Saya tinggalkan tanggungjawab saya."

"Saya tinggalkan tanggungjawab saya pada ibu & ayah saya ustaz."

Ada Sebab Allah Merahsiakan Waktu Kematian

Pergilah waktu mana pun, kita akan tengok banduan akhir ini berdiri di depan Allah, sembahyang. Solatnya panjang, zikirnya banyak. Qurannya banyak, mengadu kepada Allah S.W.T..

Kenapa? Sebab dia tahu umur dia lagi 3 hari, lagi 2 hari. Tuan-tuan yang dirahmati Allah, apabila sampai hari Khamis, esok Jumaat pagi dia akan digantung. 

Malam itu kita nak tidur lagi tuan-tuan? Tidak tidur sudah. Manusia yang tahu ajalnya, dia sudah tidak boleh tidur sudah tuan-tuan. 

Sebab itu di antara rahmat Allah yangg besar adalah merahsiakan kematian kita supaya kita boleh makan, supaya kita boleh tidur, supaya kita boleh bermain dan sebagainya.

Kalau dia tahu lagi sebulan ajalnya, nescaya sebelum sebulan lagi dia sudah tidak akan bermain lagi. Tapi Allah S.W.T. merahsiakan kematian itu sebagai bukti dan rahmat Allah kepada saya dan kita semua.

Banduan akhir ini, walaupun dibuka rahsia kematian oleh Allah, maka dia jauh lebih beruntung daripada kita semua. Sebab dia tahu bila perlu bertaubat. Dia boleh bertaubat, Alhamdulillah. 

Perlu Bertaubat & Sentiasa Bersedia Menghadapi Kematian

Majoriti manusia yang dibawa menghadap Allah tidak sempat bertaubat kepada Allah S.W.T.. Sebab tidak tahu bila akan mati. Maka banduan akhir ini bakal pulang pada malam Jumaat. Alhamdulillah dia beruntung untuk mengaku di hadapan Allah. 

bilik gantung penjara pudu

"Ya Allah, aku berdosa di hadapanMu ya Allah. Aku mengaku bahawa selama ini aku melakukan kesalahan kepadaMu ya Allah! Ya Allah, ampunilah dosa aku ya Allah!"

Maka datang daripada seluruh keikhlasan, dihimpunkan di dalam hatinya untuk menghadap Allah. Untung dia.

Hidangan Terakhir

Esok pagi atau malam itu, banduan akhir ini akan diberi pilihan untuk memilih makanan yang tidak melebihi lebih kurang RM 7.50. Dia diberi pilihan, boleh pilih sama ada char kuew teow, nasi ayam penyet, cucur udang.

Tuan-tuan, banduan akhir nak pilih makanan apa? Kebanyakan banduan akhir tidak lagi akan memesan apa-apa makanan. Waktu itu, sudah tidak lalu makan dah.

pudu 3 hanif maidin

Kerana keesokan hari bila dia bangun, bukannya bangun pun bahkan malam itu adalah malam yang dia tidak akan tidur. Selalunya kes banduan akhir ini, dia bangun, dia solat subuh. Hukumannya mesti di antara jam 6 hingga 7 pagi.

Maka benarlah apa yang Allah sebut, dia sendiri tidak tahu bila dia akan mati. Walaupun harinya dia akan tahu, tetapi minit ke berapa, saat ke berapa nyawa dia akan keluar dia tidak tahu. Itu Rahsia Allah.

Ya benar. Dia disarungkan tali di lehernya pada jam 6.47 pagi contohnya. Tapi dia tidak tahu saat ke berapa dia akan kehabisan nyawa.

Kali Terakhir Bersama Keluarga

pudu

Esok paginya, banduan akhir akan diberi peluang untuk bercakap dengan ahli keluarganya.

Tuan-tuan bagi peluang bercakap dengan ahli keluarga, tidak ada ungkapan yang akan keluar. Hanya peluk dan tangisan, peluk dan tangisan. Sudah tidak boleh bercakap.

Nak cakap apa pun sudah tidak boleh. Nak cakap apa lagi?

Nak suruh jaga pokok bunga yang ayah tanam?

Tidak ada apa yang boleh dipesan ketika itu. Yang boleh keluar hanya 2 perkataan sahaja. "Maafkan ayah. Maafkan ayah."

Bila peluk isteri, "Maafkan abg. Maafkan abg". Itu sahaja. Nak kemaafan sahaja disaat-saat akhir itu. Kemudian, dia akan dibawa ke situ lalu digantung.

ALLAH merahsiakan kematian itu untuk saya dan kita semua agar sentiasa melakukan persiapan untuk bertemu dengan Allah SWT.

Wallahua'lam.




Hakcipta iluminasi.com (2017)