Oleh pada 02 Sep 2018 kategori

Rancangan melepaskan diri dari penjara memang seronok untuk didengari, apatah lagi apabila kisah itu dijadikan sebuah filem. Sudah acapkali insiden-insiden tahanan berjaya melarikan diri daripada penjara diceritakan serta terus menjadi topik yang popular di kalangan kita.

Tahukah anda berkenaan beberapa insiden paling terkenal melibatkan individu yang berjaya melarikan diri daripada penjara? Berikut adalah lima insiden tahanan berjaya meloloskan diri daripada sistem penjara yang ketat, paling kerap disebut setakat ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. The Texas Seven

texas seven insiden lari dari penjara terkenal

Sekumpulan tujuh orang banduan merancang untuk membebaskan diri mereka dengan satu pelan yang cukup licik. Kejadian ini berlaku pada bulan Disember tahun 2000 di Penjara John B. Connally, salah satu penjara tahanan maksima di Amerika Syarikat. Ketujuh-tujuh mereka kesemuanya menghadapi hukuman penjara dalam jangka masa yang sangat panjang menyebabkan mereka cuba melepaskan diri.

Dengan menggunakan helah, mereka berjaya mengurung 9 orang pekerja pembersihan, 4 pegawai warden dan 3 orang banduan dalam sebuah bilik yang menempatkan peranti elektrik yang terkunci. Mereka mengambil pakaian, wang dan dokumen pengenalan diri daripada semua mangsa bagi tujuan penyamaran.

Dengan menyamar sebagai pekerja pembersihan, ketujuh-tujuh mereka berjaya memecah masuk ke salah satu menara pengawal dengan alasan pemasangan kamera. Setelah berjaya mengikat pengawal terbabit, mereka kemudiannya berjaya mendapatkan senjata sebelum mencuri sebuah trak yang digunakan pekerja pembersihan lalu memandu keluar dengan selamat.

Berjaya melarikan diri, ketujuh-tujuh mereka terpaksa bergantung dengan rompakan bagi menyara perjalanan mereka sebelum wajah mereka dipaparkan dalam rancangan America's Most Wanted. Ini menyebabkan laporan demi laporan orang ramai diterima. Hasil maklumat membolehkan kesemua mereka ditangkap pada Januari 2001. Atas kesalahan mereka, enam orang sudah dibunuh sementara seorang lagi akan digantung pada 4 Disember 2018.

2. Alfred Wetzler dan Rudolf Vrba

liberation insiden lari dari penjara terkenal

Menjadi salah seorang tahanan Nazi di kem pelarian Auschwitz, Alfred Wetzler seorang berketurunan Jew Slovak menjalankan rancangannya untuk melarikan diri dalam satu tempoh yang sangat panjang bersama seorang rakannya, Rudolf Vrba.

Berasal daripada perkampungan yang sama, kedua-duanya saling bekerjasama mengatur rancangan serta mencari titik kelemahan khemah itu. Alfred mencadangkan agar mereka menyembunyikan diri di dalam longgokan kayu yang bakal digunakan untuk membina fasiliti tahanan baru.

Selama empat hari mereka berdua terpaksa menyembunyikan diri dalam longgokan itu tanpa makan dan minum, duduk diam tanpa bersuara sambil mendengar pihak askar Nazi melakukan pencarian terhadap mereka berdua. Pada malam hari ke empat selepas tentera Nazi menghentikan operasi mencari mereka, barulah mereka berdua cuba keluar daripada longgokan kayu itu lalu melintasi pagar yang dibina. Selepas berjaya menyelamatkan diri dan merentasi perjalanan sejauh 133 km ke sempadan Poland dan Slovakia, mereka berjaya diselamatkan.

Semua maklumat yang diberikan oleh mereka berdua selepas itu menjadi bukti berlakunya penghapusan etnik dilakukan oleh tentera Nazi, dalam laporan yang dinamakan laporan Vrba-Wetzler. Tentera Allied melakukan penyiasatan serta berjaya menyelamatkan lebih ribuan lagi tahanan perang Nazi daripada dibunuh.

3. Insiden 1864 di Penjara Libby

insiden lari dari penjara terkenal penjara libby

Salah satu insiden di mana banduan terlepas daripada penjara paling terkenal dalam sejarah ini berlaku pada 9 Februari 1864 semasa kemuncak perang saudara Amerika Syarikat. Penjara Libby yang terletak di Virginia merupakan sebuah blok tiga tingkat yang asalnya sebuah gudang, dengan tingkat dua dan tiga menempatkan tahanan perang ketika itu. Sementara itu tingkat pertama adalah kawasan penempatan pengawal.

Bangunan tersebut mempunyai akses kepada bahagian bawah tanah tidak lagi digunakan, dahulunya stor serta dapur. Pegawai-pegawai tentera bersekutu yang ditangkap serta dikurung di situ mendapati di tingkat satu bangunan tersebut wujud satu laluan untuk mereka masuk ke bahagian bawah tanah secara rahsia namun . Sepanjang lebih setahun mereka bergilir-gilir bekerjasama mengorek satu terowong kecil daripada bahagian bawah tanah, tanpa disedari pihak pengawal.

Cubaan pertama mereka mengorek gagal kerana laluan keluar ditutup oleh asas kayu bangunan tersebut, jadi mereka terpaksa mengorek laluan kedua yang lubangnya terletak tidak jauh daripada sebuah gudang bersebelahan. Pada 9 Februari 1864, dalam kumpulan 2 atau 3 orang, tahanan perang bergilir-gilir keluar mengikut terowong rahsia tersebut dengan jumlah yang berjaya lari adalah 109 orang.

Pemeriksaan pengawal gagal mengesan kehilangan mereka kerana jumlah tahanan yang ditempatkan di situ melebihi 1200 orang, menyukarkan pemantauan terperinci dilakukan. Setelah menyedari ada banduan yang terlepas, pihak Confederate melakukan pencarian berjaya menangkap semula 48 orang. Dua orang meninggal lemas di dalam sungai. 59 lagi selamat melarikan diri.

4. The Great Escape

the great escape roger bushell insiden lari dari penjara terkenal

Menjadi salah satu kisah terkenal dalam sejarah perang, insiden yang dinamakan The Great Escape ini bermula pada Mac 1943. Roger Bushell, seorang komander tentera British mengetuai sekumpulan tahanan perang yang ditahan di kem Stalag Luft III, kelolaan tentera Jerman. Mengambil masa yang panjang bagi merangka pelan, mereka akhirnya bersetuju untuk cuba menggali tiga terowong pada kedalaman 9 meter di bawah tanah yang digelarkan Tom, Dick dan Harry.

Roger berpendapat sekiranya mereka bekerjasama menggali tiga terowong, ini akan menyebabkan tentera Jerman tidak menyangka ada terowong lain sekiranya salah satu dijumpai. 600 orang tahanan saling bekerjasama secara rahsia membina tiga terowong ini dengan berhati-hati.

the great escape film insiden lari dari penjara terkenal

Babak dari filem The Great Escape

'Tom' ditemui tentera Jerman jadi mereka meneruskan kerja mengorek secara senyap Dick dan Harry, dengan terowong Harry sepanjang 102 meter dikatakan jalan keluar terbaik mereka semua. Menunggu malam yang gelap, akhirnya 76 orang menyelinap keluar menerusi 'terowong Harry' sebelum tahanan ke 77 berjaya dikesan oleh pengawal, menggagalkan rancangan Roger mahu mengeluarkan 200 orang minima.

Daripada 76 yang terlepas, hanya 3 orang benar-benar terlepas. 73 orang ditangkap semula. Atas arahan Adolf Hitler, 50 daripada mereka ditembak mati 3 hari kemudian, termasuklah Roger Bushell. Tiga yang selamat adalah Per Bergsland, Jens Muller dan Bram Van Der Stok.

5. Kisah Slawomir Rawicz

sawomir rawicz insiden lari dari penjara terkenal

Slawomir Rawicz adalah seorang leftenan tentera Poland yang ditawan semasa pencerobohan Poland oleh pakatan Jerman dan Soviet. Selepas Poland dijajah dua kuasa asing itu, Slawomir ditahan dan dipenjarakan selama 25 tahun atas tuduhan membunuh seorang pegawai tentera Russia. Slawomir dibawa ke Irkutsk, ditempatkan di Kem Gulag 303 menjadi salah seorang tahanan yang perlu bekerja sebagai buruh bagi menyiapkan peralatan tentera Soviet ketika itu.

Pada satu malam tahun 1941, hampir dua tahun dia menjadi tahanan dan buruh paksa, ribut salji yang sangat tebal menyebabkan suasana kem Gulag 303 kelam kabut. Ini membolehkan Slawomir dan enam lagi rakannya, tiga orang askar Poland, seorang warga Latvia, seorang arkitek Lithuania dan seorang lagi warga Amerika Syarikat melarikan diri.

Selama lebih 11 bulan mereka berjalan kaki mengelakkan laluan pekan menyeberangi Siberia, untuk sampai ke India. Pada penghujung perjalan mereka setelah tiba di Lhasa, India pada Mac 1942, hanya tinggal Slawomir dan warga Amerika Syarikat itu untuk meneruskan hidup mereka. Apa yang berlaku dan semua kisah Slawomir diceritakan dan dibukukan dalam sebuah buku terbitan tahun 1956 yang diberi judul 'The Long Walk.'




Hakcipta iluminasi.com (2017)