Sumber foto: Getty Images
Bekas pemain tengah Brazil dan Barcelona, Ronaldinho yang pernah menjuarai Piala Dunia, Liga Juara-Juara, Copa Libertadores dan Pemain Terbaik Tahunan Dunia mengumumkan akan bersara dari arena bola sepak.
Berita sedih itu disampaikan oleh abangnya yang juga merupakan ejennya, Assis hari ini.
Sejak tahun 2015, Ronaldinho sudah berhenti bertanding dalam mana-mana perlawanan kompetitif. Namun, beliau enggan menganggapnya sebagai penamat kerjayanya ketika itu.
"Dia sudah berhenti. Semuanya berakhir. Kami akan melakukan sesuatu yang hebat, selepas Piala Dunia Russia, mungkin pada Ogos," ujar Assis kepada surat khabar, Rio de Janeiro O Globo.
Tambahnya lagi, acara terbabit yang lebih berbentuk perlawanan perpisahan bakal bertempat di Brazil, Eropah dan Asia dan dijangkakan melibatkan penyertaan pasukan kebangsaan.
Pemain itu yang bakal menjangkau usia 38 tahun pada Mac ini, memulakan kerjayanya di Gremio dan mewakili 7 kelab lain seperti Paris Saint-Germain, AC Milan dan Queretaro, serta kelab Brazil Flamengo, Atletico Mineiro dan Fluminense.
Sepanjang tempoh 5 tahun menyertai Barcelona, beliau berjaya menunjukkan prestasi cemerlang dalam kelab Sepanyol berkenaan. Antara yang paling meninggalkan kesan ialah kemenangan 3-0 terhadap Real Madrid di Bernabeu pada tahun 2005.
Beliau seterusnya berjaya membuatkan kelab Catalan itu meraih kemenangan dalam Liga Juara-Juara (2006), La Liga (2005 dan 2006) serta menerima anugerah Ballon D'Or (2005).
Untuk rekod, Ronaldinho bermain untuk Brazil sebanyak 101 kali, menjaringkan 35 gol termasuk sepakan percuma sejauh 40 ela (36 meter) yang menewaskan England pada Piala Dunia 2002.