Kredit foto: Instagram @reza.hasbi
Pelakon Reza Hasbi mendedahkan terlibat dalam pergaduhan dengan seorang pengawal keselamatan di Hospital Sungai Buloh, malam semalam.
Sehubungan itu, Reza, 30, berkata, dia melaporkan kejadian itu kepada pihak polis dan kes itu kini sedang dalam siasatan.
“Sekitar jam 8 malam semalam, saya hantar isteri ke unit kecemasan dan terpaksa meletakkan kereta di tempat yang tidak sepatutnya kerana semua tempat penuh.
“Pengawal keselamatan itu datang dan memberitahu agar saya mengalihkan kereta. Baru sahaja saya mahu bergerak, dia membaling kon ke arah kereta saya.
“Situasi tersebut mencabar kesabaran saya dan menyebabkan kami bergaduh secara fizikal. Saya mengalami sedikit kecederaan di hidung dan tangan,” katanya kepada portal MHE TV.
Tambahnya, dia sudah mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan keselamatan untuk cuba menyelesaikan isu terbabit dan mereka telahpun membuat permohonan maaf.
Kredit foto: Instagram @reza.hasbi
“Menurut orang sekitar situ, individu tersebut memang selalu berperangai begitu. Pihak pengurusan keselamatan telah pun memohon maaf,” katanya.
Terdahulu, pelakon drama rantaian Dia Menantu Rahsia itu berkongsi rakaman pertengkaran menerusi laman sosial Instagram, hari ini, sambil berpesan kepada warganet supaya menjadikan kejadian itu sebagai iktibar.
Mengenai perkembangan lain, Reza berkongsi kandungan isterinya yang sudah memasuki usia sembilan minggu.
“Saya bawa isteri ke hospital selepas dia mengadu mengalami kekejangan,” katanya yangtidak menjangka berita kehamilan anak ketiga.
Beliau mendirikan rumah tangga dengan Rosedarlila pada tahun 2015 dan sehingga kini dianugerahkan dua orang cahaya mata.
Sumber berita: MHE TV