Oleh pada 09 Feb 2019 kategori

Sambal goreng pengantin Singapore adalah hidangan wajib setiap kali majlis perkahwinan dan sambutan hari raya di Singapura. 

Ia juga dipanggil sebagai sambal goreng pengantin atau sambal goreng sahaja.

Hidangan ini lebih kurang seperti masakan orang Jawa Johor dari segi gaya masakan. Perbezaannya ialah di Johor warnanya tidak merah tetapi kekuningan.

Selain itu, terdapat bahan sayuran lain dan ia agak kering sedikit.

Sambal goreng pengantin Singapore enak dimakan dengan lontong daun pisang. Selain itu, ia juga boleh dimakan dengan nasi putih atau roti. 

Terdapat pelbagai versi menu ini, antaranya bahan utamanya ditambah paru, hati ayam dan hati daging. Bahan utama yang biasa digunakan ialah daging, tempe, tauhu dan udang.

Jika tidak makan organ dalaman, boleh ikut citarasa masing-masing. Anda juga boleh tambah apa-apa bahan kegemaran anda yang bersesuaian.

 

Sambal Goreng Pengantin Singapore 

Kredit foto: Hani Syahirah Binti Nordin & Tengku RosElyza Raja Muhammad 

 

Bahan-bahan: 

  • Udang - dibuang kepala dan direbus kepala udang, ambil airnya
  • Daging - direbus sehingga empuk
  • Paru, limpa dan hati lembu - optional (guna daging sahaja pun boleh)
  • Santan kara (1 kotak)
  • Kacang panjang - dihiris nipis dan digoreng separuh (jangan sehingga layu)
  • Tauhu (dipotong dadu) - digoreng separuh
  • Tempe - dihiris-hiris goreng separuh
  • Cili merah dan hijau - dihiris halus
  • Bawang merah (3-4 labu) - dikisar 
  • Bawang putih (5-6 ulas) - dikisar
  • Cili kisar (anggaran 1 senduk sahaja)
  • Air asam dan belacan 
  • Air udang yangg direbus 
  • Sedikit air
  • Garam dan gula secukup rasa

 

Cara-cara: 

1. Goreng separuh masak, kacang panjang, tempe dan tauhu. Ketepikan. 

2. Daging semua direbus sehingga empuk. 

3. Kisar bawang dan cili. Tumis sehingga pecah minyak. Masukkan udang, daging/hati/limpa/paru. Masukkan air udang dan masak sehingga mendidih dan pekat.

4. Kemudian, masukkan air asam dan belacan. Masukkan santan sedikit demi sedikit. Akhir sekali, masukkan bahan goreng tadi. Letak garam secukup rasa.

 

Tips:

➡ Air jangan diletak banyak. Biar ia kering-kering sedikit.

➡ Santan jangan berlebihan kerana ia akan menjadi pekat seperti kuah lemak.

➡ Cili kisar juga jangan berlebihan kerana warnanya akan menjadi terlalu merah. 

 

Sumber:

1. Tengku RosElyza Raja Muhammad [1, 2]

2. Nina Mirza (ninamirza.com) [1, 2]

3. Noor Akmar Tarmidi [12]




Hakcipta iluminasi.com (2017)