Oleh pada 16 Dec 2018 kategori

Kredit foto: Nur Ezzatul Aqma Zulkanain (Gambar bukan menggunakan resepi dibawah)

Sandwic atau roti lapis merupakan makanan berupa dua potong roti yang menyepit daging, sayuran, keju atau perasa makanan atau sos sehingga rasanya menjadi lebih lazat. Pelbagai jenis roti boleh digunakan untuk menghasilkan sandwic dan bergantung pada isinya.

Permukaan roti lazimnya disapu sedikit mayonis, mentega, marjerin atau minyak zaitun yang berfungsi sebagai pelekat dan penambah bau. Sandwic juga dipanggil roti lapis di Indonesia.

Di negara bukan makanan asasinya nasi, sandwic lazimnya dibawa ke sekolah atau ke pejabat di dalam kotak yang dipanggil lunchbox atau di dalam beg kertas berwarna coklat yang disebut brown bag (sandwich bag) untuk dijamah ketika makan tengah hari.

Sandwic turut dijadikan sebagai menu semasa berkhemah, mendaki gunung atau sekadar berjalan-jalan. Di rumah, sandwic dimakan sebagai pelengkap makanan utama. Kalau dijamah di rumah sebagai makanan utama, sandwic lazimnya dilengkapi oleh makanan pendamping seperti sup (soup-and-sandwich), daun salad (salad-and-sandwich), kerepek kentang, kentang goreng dan timun.

Nama sandwic bergantung pada isi yang dikepit oleh potongan roti, sehingga ada egg sandwich (sandwic isi telur), peanut butter and jelly sandwich (sandwic isi mentega kacang dan agar-agar). Sandwic lazimnya adalah makanan dingin biarpun terdapat juga sandwic yang dimakan panas-panas seperti grilled cheese (roti bakar isi keju).

Menurut sejarah, sandwic diambil sempena nama Earl of Sandwich IV, seorang aristokrat Inggeris abad ke-18 yang gemar bermain kad. Earl of Sandwich IV mahu terus bermain kad tanpa perlu berhenti untuk makan, sehingga daging yang dikepit dua potong roti dijadikan makanan yang boleh dinikmati dengan sebelah tangan sambil bermain kad.

Earl of Sandwich IV berasal dari kota Sandwich di England. Dalam bahasa Inggeris kuno, Sandwic bererti "tempat berpasir".

Tuna Mayo Cheese Sandwich

tuna mayo cheese sandwich

Bahan-bahan:

  • 1 buku roti Gardenia (dipotong tepi)
  • 2 tin tuna in water (Ayam Brand)
  • 4 sudu makan mayonis
  • 3 biji cili api-hiris
  • 1 biji bawang besar (dihiris nipis)
  • Garam (sedikit sahaja)
  • Lada sulah (sedikit sahaja)
  • Tomato (dihiris nipis)
  • Timun (dihiris nipis)
  • Slice cheese
  • Salad
  • Mentega (disapu atas roti)

Tips: Jika suka yang pedas, boleh tukar tuna in water dengan chilli tuna.

Cara membuat:

1. Hancurkan tuna. Masukkan mayonis, garam dan lada sulah. Gaul rata. Masukkan bawang dan cili.

2. Sapu roti yang dipotong tepi dengan mentega.

3. Sudukan tuna. Letakkan timun hiris, slice cheese diikuti salad dan tomato. Tutup dengan sekeping roti lagi. Kemudian, potong.

Tips: Pemilik resepi potong kecil (sekeping potong 4) kerana mudah untuk dimakan.

Egg Mayo Cheese Sandwich

egg mayo cheese sandwich

Bahan-bahan:

  • 1 buku roti Gardenia (dipotong tepi)
  • 5 biji telur (direbus dan dibuang kulit)
  • 3 sudu makan mayonis
  • Lada sulah
  • Sedikit garam
  • Timun (dihiris)
  • Tomato (dihiris)
  • Salad
  • Slice cheese
  • Mentega (disapu atas roti)

Cara membuat:

1. Lenyekkan telur sehingga hancur.

2. Masukkan mayonis, sedikit garam dan lada sulah.

3. Sapu mentega pada roti.

4. Sudukan telur atas roti, letakkan timun dan slice cheese. Kemudian, letakkan pula salad dan tomato.

5. Tutup dengan sekeping roti lagi dan potong 2 atau 4.

Classic sandwich

classic sandwich

Bahan-bahan:

  • 1 buku roti (dipotong tepi)
  • 1 tin besar sardin Ayam Brand (buang kuahnya dan lenyek sardin dengan garfu)
  • 1 biji bawang besar (dibelah 4 dan dihiris)
  • 1/2 batang timun (dibelah 4 dan dihiris)
  • 1 biji tomato (dibelah 4 dan dihiris)
  • 1 biji limau nipis
  • 3 atau 4 biji cili padi (dihiris)
  • Garam dan perasa
  • Mentega (disapu atas roti)

Cara membuat:

1. Campurkan sardin yang siap lenyek dengan semua bahan hiris.

2. Masukkan garam dan perasa.

3. Perahkan limau nipis dan gaul rata.

4. Sapukan mentega pada roti dan bubuh inti. Lapis dua dan potong 4.

Sumber:

1. Mazliza Ahmad [1, 2]

2. Wikipedia Sandwic




Hakcipta iluminasi.com (2017)