Oleh pada 10 Apr 2019 kategori

Popadom atau papadum merupakan sejenis keropok nipis dan rangup yang berasal dari India.

Popadom lazimnya disajikan sebagai tambahan sajian di India dan Pakistan, selain turut dibuat sebagai pembuka selera atau snek yang boleh dicelup dengan bawang hiris, catni, perencah dan lain-lain.

Di beberapa kawasan di India, popadom mentah (kering namun tidak dipanggang) digunakan dalam penyediaan hidangan kari dan sayuran.

Terdapat pelbagai saiz popadom, yang kecil boleh dinikmati sebagai kerepek snek manakala yang besar boleh dibuat sebagai pembalut hidangan.

Perkataan "popadom" datangnya dari bahasa Tamil iaitu pappaṭām.

Nama-nama lain bagi menu ini ialah papad, pappad, pappard, pappadom, pappadum, popadam, pompadum, poppadam, poppadom, appadum, appalum, appala, appoll, papari dan pamporo.

 

Papadom

Kredit foto: Zaza Lina Ina (Gambar bukan menggunakan resepi dibawah)

Bahan-bahan:

  • Kacang tosai (500gm) - ditepungkan atau beli terus tepung kacang tosai
  • Jintan putih (1/2 sudu kecil) (tsp)
  • Rempah ajoiwan (1/2 sudu kecil) - baunya seperti rempah barat tyme dan lebih kurang bentuk jintan manis

Tips: Jika tidak dapat cari, gunakan jeera (jintan putih jenis panjang)

  • Serbuk penaik (1/4 sudu kecil)
  • Garam - ikut rasa sendiri

 

Cara-cara membuat:

1. Adunkan semua bahan-bahan di atas dalam sebuah bekas.

2. Buatkan doh yang agak keras dengan tambahkan sedikit air.

Tips: Perlu kurangkan air seberapa yang boleh supaya papadom cepat kering.

3. Selepas buat doh, tutup bekas doh tersebut dan biarkan doh di dalamnya selama 2 jam.

4. Selepas dua jam, masukkan sedikit minyak masak dan lenyekkan (tumbuk) dengan anak batu lesong sehingga doh yang agak keras tadi akan menjadi lembut.

5. Jadikan bebola kecil untuk dileperkan seperti roti capati mengikut saiz yang dikehendaki.

Tips: Jangan tebal seperti capati pula. Agak ketebalan seperti papadom yang dibeli di kedai sebelum digoreng. Tebal seperti keropok.

6. Jika doh melekat ketika leperkan, boleh gunakan sedikit minyak dan sapu bekas peleper.

 

Nota:

✔ Kepingan papadom yang terhasil perlu dikeringkan di panas cahaya matahari selama 2 hari. Jangan terlalu keringkan, nanti papadom boleh retak.

✔ Boleh gunakan pelbagai cara, apa yang mustahak ialah doh. Jika tidak pandai untuk lenyek bulat, lenyek menggunakan acuan atau boleh potong empat segi seperti papadom Malaysia.

 

Sumber:

1. Wan Muhammad Hafiz Satar [1, 2]

2. Wikipedia Popadom




Hakcipta iluminasi.com (2017)