Oleh pada 18 Dec 2018 kategori

Karipap ialah sejenis juadah yang terkenal di Indonesia, Malaysia, Thailand dan Singapura. Terdapat beberapa jenis karipap seperti karipap daging, ayam, sardin, ikan (temosa) dan mini. Bahan utama inti karipap ialah daging dan kentang. Selain ubi kentang, inti ubi keledek juga kadangkala digunakan sebagai inti.

Kali ini Iluminasi akan menunjukkan anda cara untuk membuat karipap pusing. Kenapa ia dinamakan sebegitu? Ini kerana kulit karipap jenis ini digelek berlapis-lapis dan memberikan hasil yang lebih cantik dan garing. Intinya dibuat daripada keledek atau kentang dan bahan perasa daripada serbuk kari.

Doh A (Minyak)

  • 1 1/2 cawan tepung gandum
  • 2 sudu besar tepung jagung
  • 2 sudu besar shortening
  • 2 sudu besar marjerin / mentega
  • 1 sudu besar minyak masak

Uli sebati dan perap dalam peti ais selama 15 minit.

Doh B (Tepung)

  • 2 cawan tepung gandum
  • 2 sudu besar tepung beras
  • 2 sudu besar tepung jagung
  • 1/4 cawan minyak masak yang dipanaskan
  • 1 cawan air sejuk dari peti ais atau air biasa tambah ais
  • 1 sudu kecil garam
  • Sedikit gula

Uli sebati dan perap dalam peti ais selama 15 minit.

Cara-cara membuat:

1. Bahagikan Doh A kepada 6 bahagian dan Doh B kepada 6 bahagian juga (jika mahu buat 4 set pun boleh).

2. Bulat-bulatkan doh seperti dalam gambar. 

karipap pusing rangup 2 806

3. Ambil doh minyak (A) letak di atas doh tepung (B) yang telah dileperkan seperti gambar. Tutup adunan dan bulatkan doh tersebut.

karipap pusing rangup 3 59

4. Bulatkan kesemua doh. Biarkan selama 10 minit.

karipap pusing rangup 4

5. Leperkan atau gelekkan adunan memanjang dan renjis atau sapu dengan sedikit air bertujuan untuk gam. Gulung kembali doh tadi.

karipap pusing rangup 5

karipap pusing rangup 6

6. Setelah digulung, leperkan atau gelek kembali adunan dan sapu dengan sedikit air pada permukaan adunan dan gulung kembali.

karipap pusing rangup 7

karipap pusing rangup 8

7. Potong adunan kepada 6 atau 7 bahagian.

karipap pusing rangup 9

8. Ambil 1 keping adunan dan leperkan. Letak inti dan kelim tepi karipap.

karipap pusing rangup 10

karipap pusing rangup 11

Inti Kentang Daging

inti kentang daging

Bahan-bahan:

  • 5 biji kentang saiz besar (dipotong dadu kecil)
  • 200gm daging cincang
  • 2 sudu besar udang kering / udang geragau (ditumbuk)
  • 2 ulas bawang merah (dimayang halus / ditumbuk)
  • 2 ulas bawang putih (dimayang halus / ditumbuk)
  • 2 sudu besar rempah kari
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Daun sup
  • Air secukupnya
  • Minyak untuk menumis

Cara penyediaan:

1. Panaskan minyak.

2. Tumiskan bawang merah, bawang putih, udang geragau sehingga harum dan garing.

3. Masukkan rempah kari dan masak lagi sehingga garing.

4. Masukkan daging. Masak sehingga garing.

5. Masukkan kentang dan tambahkan air. Sukatan air biar sekata atau separas dengan kentang. Jika banyak air, inti akan jadi lembik.

6. Biarkan ia merenih dan kentang empuk.

7. Apabila kentang hendak empuk, masukkan daun sup yang sudah dihiris. Daun sup yang membuatkan inti menjadi wangi.

8. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.

9. Dalam pembuatan inti ini, memang banyak jumlah gula yang digunakan oleh pemilik resepi, anggaran dalam setengah cawan. Tambah garam supaya seimbang dengan gula. 

10. Biarkan ia kering.

11. Angkat dan toskan minyaknya.

Sumber:

1. Tahrunnisah Jali [1, 2]

2. Ummul-alifah Salim [1, 2]

3. Wikipedia Karipap




Hakcipta iluminasi.com (2017)