Oleh pada 24 Dec 2018 kategori

Kuih keria atau kuih gelang adalah sejenis kuih tradisional Melayu yang berasaskan keledek dengan campuran tepung, gula dan garam. Ia dicanai dan dibentuk seperti cincin atau gelang tangan.

Lazimnya, kuih ini disaluti dengan gula mahupun cairan gula (gula cair). Kuih ini selalu dimakan dan disaji sewaktu sarapan dan minum petang.

Berbeza dengan donat, bahan adunan kuih ini tidak mengandungi ibu roti atau yis. Bahan adunan untuk donat merupakan bahan adunan untuk membuat roti dan mengandungi yis, manakala adunan untuk kuih keria bukan melalui proses seperti donat.

Donat dikategorikan sebagai roti dan roti penaik (roti yang dinaikkan dengan yis).

Kuih Keria Sira Gula Melaka

Bahan-bahan:

  • 2 kg keledek putih
  • 1 1/2 cawan tepung gandum + 1 sudu kecil serbuk penaik (diayak)
  • Garam secukup rasa
  • Air secukupnya untuk merebus keledek
  • Minyak untuk menggoreng

Cara penyediaan:

1. Keledek dibuang kulitnya dan dipotong kecil.

2. Masukkan keledek, garam dan air secukupnya ke dalam periuk dan rebus sehingga empuk.

3. Setelah empuk, angkat, toskan airnya dan lecek keledek sehingga lumat sementara ia masih panas. Biarkan sejuk baru letakkan tepung.

4. Kemudian gaulkan dengan tepung dan uli menjadi gegelang kecil. Saiz ikut citarasa masing-masing.

5. Goreng kuih keria di dalam minyak yang sederhana panas sehingga kuning keemasan.

6. Angkat dan toskan minyaknya. Biarkan sejuk seketika baru disira dengan gula melaka.

Bahan-bahan sira gula melaka:

  • 1 block gula melaka
  • Sedikit gula batu
  • 1 sudu besar gula kasar
  • 5 sudu besar air

Cara penyediaan sira gula melaka:

1. Hiris atau hancurkan gula melaka dan gula batu supaya mempercepatkan proses gula larut dan mencair.

2. Di dalam kuali, masak gula melaka, gula batu, gula kasar dan air sehingga berbuih atau mendidih dan pekat.

3. Masukkan kuih keria tadi dan kacau rata supaya gula melekat pada seluruh kuih. Tutup api dan gunakan lidi atau chopstick untuk jarakkan kuih supaya tidak melekat apabila telah sejuk.

4. Hidangkan kuih keria dan sedia dinikmati.

Tips:

✔ Gunakan keledek putih kerana kandungan airnya kurang dan ia tidak begitu manis serta sesuai untuk membuat pelbagai jenis kuih.

✔ Jangan letakkan tepung terlalu banyak kerana boleh menyebabkan tekstur kuih menjadi keras.

✔ Campuran gula batu untuk menjadikan kuih keria berkilat apabila telah sejuk.

Nota: Ini merupakan resepi percubaan pertama pemilik resepi. Beliau berpendapat bahawa keledek dengan nisbah tepung yang digunakan tiada masalah. Lembut walaupun sudah sejuk. Mungkin selepas ini beliau akan tambahkan lagi sedikit gula melaka kerana ia seperti kurang untuk 2kg keledek. Mungkin perlu guna 1 1/2 blok gula melaka. Anda juga perlu try and error, baru tahu hasilnya.

Kuih Keria Kentang

kuih keria kentang

Bahan-bahan:

  • 1 kg kentang (direbus sehingga lembut bersama sedikit garam)
  • 2 cawan tepung gandum
  • 1 sudu besar marjerin (lebihkan sedikit pun boleh)
  • 1 sudu besar gula
  • Sedikit pewarna kuning

Bahan sira:

  • 3 sudu besar gula pasir
  • 2 sudu besar air

Cara membuat:

1. Lenyek halus kentang ketika masih panas. Masukkan gula dan pewarna. Ketepikan. Biar sehingga kentang sejuk.

2. Apabila kentang sejuk, masukkan tepung dan marjerin dalam adunan kentang. Uli sehingga tidak melekat di tangan.

Tips: Boleh juga letak 1 sudu kecil serbuk penaik. Tetapi, pemilik resepi tidak letak.

3. Bentukkan adunan seperti donat. Goreng sehingga garing keemasan. Api sederhana. Angkat dan toskan. Ketepikan dahulu.

Cara buat sira:

1. Gula dan air dimasak sehingga berbuih dan pekat.

2. Masukkan kuih keria tadi, gaul rata. Tutup api dan terus gaul sehingga gula mengering. Siap untuk dihidang.

Sumber:

1. MamaMimi Asmah [1, 2]

2. Leeina Qaliena [1, 2]

3. Wikipedia Kuih Keria




Hakcipta iluminasi.com (2017)