Oleh pada 20 Mar 2019 kategori

Kuih gunting merupakan sejenis hidangan tradisi Melayu yang rangup yang merujuk pada cara ia dibuat, dan bukannya khusus pada resepi tertentu.

Sesetengah orang menyebut kuih gunting ini dengan mengubah perkataan kuih kepada kerepek, keropok atau kacang (contoh: kerepek gunting).

Walau apa pun nama yang diberi oleh sesetengah orang, tetapi secara umumnya kuih ini lebih disebut sebagai kuih gunting.

Terdapat banyak jenis khusus kuih gunting yang pedas, manis, masin dan lain-lain, namun bahan-bahan asas kuih gunting ialah tepung, air, garam, marjerin, telur, santan, serbuk kari, minyak masak, udang kering, bawang putih dan bawang merah.

Cara asas menghasilkannya ialah dengan mencampurkan kesemua bahan-bahan tersebut mengikut sukatan tertentu dan diuli sehingga menjadi doh. Doh tersebut digunting-gunting lalu digoreng.

Terdapat banyak jenis kuih gunting di Malaysia. Bahan-bahan dan cara-cara asas menghasilkan kuih gunting boleh ditukar mengikut kemahiran tukang masak.

Di antara jenis-jenis kuih gunting yang terdapat di Malaysia ialah kuih gunting ikan bilis, kuih gunting udang, kuih gunting pedas dan lain-lain.

 

Kuih Gunting

 

Bahan A (dikisar):

  • Bawang besar (4 biji)
  • Udang kering (2 genggam)
  • Jintan kasar (3 sudu besar)
  • Jintan putih (3 sudu besar)
  • Tepung gandum (1kg)
  • Marjerin pelangi (4 sudu besar) - dipanaskan

➡ Boleh lebihkan jika mahu lembut sedikit, pemilik resepi suka keras sedikit

  • Garam halus (1 sudu besar)
  • Daun kari (2 genggam)
  • Daun sup (2 genggam)
  • Cili kering kisar (2 sudu besar)
  • Air (secukupnya)

 

Cara penyediaan:

1. Masukkan marjerin yang dipanaskan ke dalam tepung gandum dan gaul-gaulkan. Masukkan bahan A dan gaul rata.

2. Masukkan garam, daun sup, daun kari dan cili kisar. Gaul lagi dan masukkan air sedikit demi sedikit sehingga menjadi doh.

3. Canaikan doh.

Tips: Jika suka yang nipis, boleh canai nipis-nipis. Pemilik resepi suka tebal sedikit.

4. Masak atas pan sebentar sahaja untuk memudahkan proses menggunting nanti.

5. Sedia untuk digunting mengikut citarasa.

6. Goreng dalam minyak yang panas bersama dengan daun kari. Goreng sehingga keemasan.

kuih gunting 1

7. Tapis dan sejukkan. Simpan dalam bekas kedap udara.

 

Sumber:

1. Nurul Fasihah Zamahidi [1, 2]

2. Wikipedia Kuih Gunting




Hakcipta iluminasi.com (2017)