Asam pedas merupakan sejenis hidangan Melayu yang popular di Melaka dan Johor. Cara untuk membuatnya juga tidak terlalu sukar dan tidak pula terlalu senang.

Namun, terdapat juga kawasan-kawasan lain di negeri Melaka dan Johor ini yang memiliki resepi asam pedas yang berbeza. Bergantung kepada citarasa masing-masing untuk melazatkan lagi hidangan mereka. Ianya amat berlainan dari segi rasa dan tekstur.

Kelazimannya, hidangan asam pedas bukan sahaja disajikan untuk keluarga di rumah, malah hidangan ini juga terdapat di kedai makan, restoran serta hotel yang terkenal di Melaka dan Johor.

Kelainan di antara asam pedas utara Malaysia dan selatan Malaysia ialah penggunaan asam. Asam jawa yang pekat lebih lazim digunakan di negeri selatan dan asam gelugur atau asam keping lebih lazim di negeri-negeri di utara.

Variasi asam pedas juga berlainan bergantung kepada tempat. Asam pedas ikan adalah lebih terkenal di penempatan berdekatan laut di mana makanan laut senang diperolehi dalam keadaan yang banyak, murah dan segar.

Namun, asam pedas daging dan ayam juga popular di beberapa tempat dan lazimnya bergantung kepada bahan mentah yang senang diperolehi.

 

Senarai kedai asam pedas popular di Melaka dan Johor:

 

Melaka:

  • Asam Pedas Claypot, Kota Laksamana
  • Asam Pedai Pasar Borong, Taman Merdeka
  • Asam Pedas Malinja, hadapan Hotel Straits Meredian
  • Asam Pedas Pak Man, Kampung Ujong Pasir
  • Kedai Asam Pedas Hajah Rahmah
  • Kedai Asam Pedas Selera Kampung, Pahlawan Square
  • Asam Pedas Claypot, Klebang
  • Asam Pedas Power Abg Pie, Bukit Cina

 

Johor:

  • D'Tulang Asam Pedas Merecik, Pandan Uptown

 

Asam Pedas Asli Melaka

asam pedas asli melaka 720

 

Bahan-bahan:

  • Ikan (dibasuh bersih)
  • Bawang merah (3 biji)*
  • Bawang putih (1 biji)*
  • Halia (2cm)*
  • Cili kering kisar (1 mangkuk) - boleh letak lebih*
  • Belacan (3cm)*
  • Kunyit hidup (2cm)*
  • Lada hitam (1 sudu besar)*

Bahan-bahan yang berhuruf condong dikisar sekali.

  • Daun kesum dan bunga kantan
  • Bendi/terung
  • Air asam jawa (secukupnya)
  • Garam dan gula
  • Minyak untuk menumis

 

Caranya:

1. Panaskan minyak dan masukkan bahan-bahan kisar tadi. Tumis sehingga garing dan pecah minyak.

Tips: Terdapat mereka yang masak sehingga sambal tersebut merecik-recik di dapur supaya masak dan garing.

2. Setelah garing, masukkan gula, garam dan perasa. Agak-agak ya, jangan terlalu manis.

3. Masukkan daun kesum dan bunga kantan.

4. Masukkan ikan dan kacau sedikit. Masukkan air asam jawa.

Tips: Kuantiti asam jawa bergantung kepada citarasa anda sama ada mahu jadikan kuah tersebut pekat atau cair. Jika terlalu cair, tidak sedap pula. Rasa masam anda boleh agak-agak juga. Jangan sehingga terlalu masam.

5. Masukkan bendi atau terung. Biarkan ia mendidih dan tutup api.

  

asam pedas asli melaka 2

Asam pedas Melaka lebih enak jika digandingkan dengan sayur campur, ulam-ulaman dan ikan goreng panas

 

Petua:

1. Jika letak belacan, asam pedas anda akan menjadi bertambah kick. Bagi sesiapa yang mempunyai alergik (gatal hidung), anda dinasihatkan supaya tidak letak belacan.

2. Jika mahu rasa lebih lazat, masak awal 3 atau 4 jam sebelum makan. Lebih lama lebih lazat kerana baru rasanya sebati.

3. Lebih pekat, lebih lazat.

4. Jika menggunakan ikan segar, lebih terasa kelazatannya. Sehingga boleh hirup kuahnya.

5. Untuk mengetahui sama ada asam pedas anda menjadi atau tidak, jika baunya masih melekat di tangan selepas anda basuh tangan walaupun menggunakan sabun, ia bermaksud masakan anda menjadi.

 

Jangan lupa like Facebook Dhealicious Homemade

 

Sumber:

1. Aryn Naza [1, 2]

2. Wikipedia Asam Pedas


tags : , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)