Agar-agar kering atau juga dipanggil sebagai beleda kering di Kelantan dan Terengganu adalah sejenis kuih tradisional lama yang mempunyai rasa yang lazat.

Agar-agar kering adalah sejenis kuih yang manis dan tahan lama. Ia adalah pada asasnya dibuat daripada agar-agar manis yang telah dikeringkan.

Agar-agar kering lazimnya dibuat pelbagai warna supaya menarik dan dijemur separa kering menyebabkan ia tidak senang rosak dan tahan lama.

Pada asasnya agar-agar dibuat seperti biasa, namun dengan tambahan menggunakan gula batu dan bukannya gula pasir.

Lebih dari satu warna dibuat dan daun pandan dipakai untuk mewujudkan bau wangi.

Selepas itu, apabila agar-agar telah menjadi keras, ia akan dipotong mengikut saiz potongan yang bersesuaian. Saiz potongan tersebut lazimnya akan berkurangan setelah dijemur apabila agar-agar tersebut kehilangan air dan bertukar menjadi agar-agar kering.

Agar-agar kering yang baik lazimnya memiliki rupa berkaca kerana kandungan gula yang mengeras dikelilingnya. Rasanya rangup di bahagian luar dan lembut di dalam.

Agar-agar kering lazimnya jarang dibuat dan hanya dihasilkan untuk acara istimewa seperti Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidil Adha.

Oleh itu, ia kurang terkenal di kalangan golongan muda. Meskipun begitu, ia senang disajikan, tahan lama, tidak melekit atau mengotorkan dan mempunyai rasa yang enak.

Agar-agar kering terkenal di Terengganu. Tidak pasti sama ada ia terkenal di negeri lain di Malaysia, disebabkan ia tidak dibuat secara harian. Agar-agar dalam bentuk kering telah mula dikenali sejak pertengahan abad XVI.

Tidak dapat dipastikan bagaimana ia memperoleh nama beleda kering. Namun begitu, oleh kerana ia adalah agar-agar yang dijemur kering, ia turut dipanggil sebagai agar-agar kering di sesetengah tempat.

Ia tahan lama dan dapat disimpan begitu sahaja, tanpa perlu didinginbekukan. Agar-agar kering memiliki rupa yang berkaca dan berwarna-warni yang menarik.

Agar-agar kering tidak dihasilkan untuk jualan komersial dan lazimnya ia dibuat hanya untuk kegunaan sendiri atau jualan runcit menurut tempahan, bukan bagi tujuan borong.

Agar-agar kering kurang sesuai untuk dibuat sebagai hidangan petang disebabkan rasanya yang agak manis.

 

Agar-Agar Kering 

  

 

Bahan-bahan:

  • Agar-agar tali (60gm)
  • Air (1500ml) - sukat guna botol air mineral besar untuk mudah
  • Gula pasir (1500gm) - sekilo setengah
  • Gula batu (250gm) - sepaket
  • Pewarna

 

Cara penyediaan:

1. Basuh agar agar dan masukkan dalam periuk. Masak bersama air sehingga agar-agar cair.

2. Masukkan gula batu dan gula pasir. Tunggu sehingga mendidih dan gula cair.

Tips: Jika gula batu tersebut besar, tumbuk menggunakan lesung batu dahulu supaya mudah untuk cair ketika masak nanti.

3. Masukkan agar-agar tadi ke dalam loyang dan tambah pewarna. Kacau sebati.

4. Biarkan agar-agar tadi keras dahulu. Setelah keras, potong kecil dan jemur sehingga kering.

Tips: Agar agar kering ini telah hampir kering setelah dijemur selama 3 hari oleh pemilik resepi.

 

Sumber:

1. Siti Hajar Hashim [1, 2]

2. Wikipedia Agar-Agar Kering




Hakcipta iluminasi.com (2017)