Oleh pada 11 Jul 2023 kategori

Zaman sekarang, teknologi moden berasaskan kepada internet dikatakan sudah menjadi satu perkara lumrah - dengan anak-anak muda yang ditakrifkan sebagai Generasi Z (Gen Z) menjadi generasi yang supra-celik teknologi. 

Gen Z yang merangkumi individu berkelahiran penghujung dekad 90-an sehingga tahun 2010 membesar dalam situasi di mana teknologi sudah jadi matang, membolehkan mereka menjadi antara generasi yang merasai pengalaman menggunakan peranti-peranti moden sejak mula mengenali penggunaannya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Gen Z bukan saja dikatakan celik teknologi, bahkan mempunyai sistem sosial elektronik yang menitikberatkan komunikasi 24 jam sehari serta punya tahap kesedaran tinggi tentang penambahbaikan teknologi - semuanya hadir secara automatik disebabkan pendedahan tinggi mereka terhadap adanya teknologi.

Realitinya? Ada perbezaan besar di antara teknologi yang mereka reti gunakan dengan teknologi yang mampu membebalkan mereka.

Perubahan model membawa kepada perubahan minda

bagaimana kemampuan gen z menguruskan teknologi

Di kalangan anak-anak muda yang layak dikategorikan sebagai Gen Z ketika ini, sudah ramai di antara mereka yang sedang menempuh alam pekerjaan.

Kami sering membaca berkenaan sikap anak muda yang mengamalkan sikap acuh tak acuh dalam pekerjaan -  bersikap tidak profesional dalam urusan temuduga, enggan mengambil kerja yang dirasakan kurang sesuai dengan jiwa serta tidak mahu terikat masa dengan urusan kerja, sehingga menjejaskan prestasi kerjaya.

Kami yakin cerita-cerita buruk sebegini hanya meliputi segelintir kumpulan anak muda. Namun hasil daripada tinjauan yang dilakukan oleh syarikat HP melibatkan kumpulan pekerja Gen Z; satu masalah utama yang sedang melanda mereka ketika ini adalah ketidakupayaan mereka untuk menggunakan teknologi-teknologi 'lama.'

Berdasarkan tinjauan HP melibatkan lebih 10,000 orang pekerja Gen Z di seluruh dunia, majoriti Gen Z cakna dengan teknologi yang terbaru - tetapi gagal dalam bab teknikal dan praktikal apabila diminta melakukan sesuatu tugasan mudah. 

Sebagai contoh, pekerja Gen Z sudah biasa menggunakan telefon pintar untuk 'mengimbas' gambar atau dokumen - tetapi sekiranya mereka diminta menggunakan mesin pengimbas sebenar, ramai berhadapan kesukaran untuk melakukannya.

Samalah seperti menggunakan mesin fotostat. Pekerja Gen Z mampu menghasilkan bermacam jenis video, animasi, muzik dan sebagainya hanya dengan smartphone masing-masing tetapi apabila mereka diminta menggunakan mesin fotostat, ramai yang menganggapnya terlalu sukar untuk dioperasi.

Perkembangan aplikasi sebagai antaramuka utama

pekerja gen z kurang cekap teknologi

Apa yang dapat disaksikan bukan saja melibatkan kajian HP ini, adalah hasil daripada perubahan paradigma rekaan antaramuka teknologi sedia ada.

Jika awal dekad 2000 menyaksikan perisian direka untuk dinavigasi menggunakan sentuhan butang atau tetikus yang lebih fizikal sebagai interaksi utama, teknologi yang lebih baru pula menjadikan antaramuka berasaskan aplikasi sebagai medan perisian dengan penggunanya.

Paradigma interaksi yang berbeza di antara kaedah penggunaan Gen Z dalam hidup peribadi mereka yang berasaskan telefon pintar atau skrin sesentuh, dengan Gen Z di tempat kerja yang berorientasi teknologi lebih teknikal sudah menjadi satu masalah besar di kalangan majikan.

Kegagalan untuk Gen Z menggunakan peranti-peranti asas di pejabat, seperti mesin fotostat, mesin pengimbas, komputer dengan papan kekunci dan tetikus, mesin cetak dan sebagainya, membuktikan pendapat bahawa anak muda zaman sekarang celik teknologi - kurang tepat sebenarnya.

Sesuatu yang sangat membimbangkan, golongan pekerja dari Gen Z ini apabila mereka berhadapan masalah untuk menggunakan mesin cetak sebagai contoh; rata-rata ramai di antara mereka takut untuk memohon tunjuk ajar atau bantuan disebabkan oleh label 'celik teknologi' yang sudah sedia ada pada mereka.

Ramai pekerja muda zaman sekarang takut dilihat bijak mencipta kandungan di internet yang menjadikan mereka popular di media sosial, tetapi tak reti nak cetak dokumen berkaitan kerja mereka.

Paradigma teknologi yang berbeza

gen z celik teknologi

Jadi, persoalannya di sini - adakah adil untuk kita melabelkan Gen Z 'celik teknologi'? Tidak sebenarnya.

Tidak dapat dinafikan mereka handal dalam menggunakan kekuatan aplikasi yang mereka ada, bijak memanfaatkan ruangan digital dan maya serta media sosial - namun ramai di antara mereka tidak mempunyai kemahiran cukup untuk bekerja dalam situasi profesional, yang memerlukan mereka keluar daripada kepompong teknologi biasa mereka.

Gen Z sudah besar dalam era di mana aplikasi jadi terlalu mudah untuk digunakan dan difahami. Aplikasi popular seperti TikTok mampu mereka gunakan dengan baik walaupun hanya baru 5 minit dipasang, disebabkan oleh antaramukanya yang mesra pengguna baru. 

Tetapi kita salah sekiranya kita menganggap seseorang yang mampu mencipta kandungan di internet tahu bagaimana hendak mengimbas sebuah dokumen, satu kemahiran perlu tahu di pejabat.

Disebabkan berbezanya kaedah interaksi Gen Z dengan teknologi dalam skop peribadi jika dibandingkan dengan skop kerjaya, agak sukar untuk memotivasikan anak-anak muda untuk cuba mempelajari kaedah bagaimana hendak menggunakan mesin fotostat dengan betul.

Keengganan untuk belajar ini datang dari dua faktor utama; rasa malu terpaksa diajar untuk menggunakan peranti berteknologi dan kedua, enggan melakukan sesuatu yang dirasakan payah bagi mereka.

Bagi membantu menangani masalah ini, HP mencadangkan agar majikan memperbanyakkan lagi program latihan bagi melatih pekerja muda mengatasi ketidaktahuan mereka menggunakan fasiliti pejabat. Kami yakin ini adalah solusi yang lebih realistik serta mampu dilakukan.

Namun persoalannya, adakah pekerja muda dari golongan Gen Z sanggup dilihat oleh pekerja-pekerja lain perlu menjalani latihan hanya untuk menggunakan mesin cetak? 

Atau mungkin juga bagi mereka, pengeluar mesin cetaklah yang sepatutnya mencipta mesin cetak yang lebih mesra pengguna seperti mereka?

Rujukan

‘Scanners are complicated’: why Gen Z faces workplace ‘tech shame’

Gen Z workers are not tech-savvy in the workplace – and it’s a growing problem




Hakcipta iluminasi.com (2017)