Oleh pada 08 Nov 2021 kategori

Mungkin ramai yang mengetahui bahawa Raja Dadah paling kaya ialah Pablo Escobar. Kisah hidup Escobar dijadikan sebagai rancangan TV "Narcos" di Netflix. 

Dalam siri itu, terdapat satu watak bernama Amado Carrillo Fuentes yang juga merupakan seorang lagi Raja Dadah di Mexico. Namun, dia mempunyai perwatakan dan kehidupan yang berbeza dengan Pablo Escobar. Amado sebenarnya ialah Raja Dadah kedua paling kaya selepas Escobar.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah kisah Raja Dadah Amado Carrillo Fuentes.

Latar belakang Amado Carrillo Fuentes

Amado dilahirkan di perkampungan kecil bernama Guamuchilito, Sinaloa, Mexico pada 17 Disember 1956. Daerahnya terkenal dengan aktiviti pertanian dan dadah. Bapanya adalah seorang petani tetapi bapa saudaranya, Ernesto Fonseca Carrillo, adalah pemimpin kartel Guadalajara.

ernesto fonseca carrillo

Ernesto Fonseca Carrillo aka Don Neto

Ketika berusia 12 tahun, Amado nekad untuk meninggalkan ibu bapa serta 10 adik-beradiknya dan tidak akan pulang selagi belum menjadi kaya. Dia mengembara ke Chihuahua untuk belajar mengenai selok-belok penyeludupan dadah dari bapa saudaranya.

Sejak itu, Amado berusaha mendapatkan tempat dalam dunia pengedaran dadah. Dia mula menjadi berkuasa pada tahun 1993 apabila mengarahkan pembunuhan bekas ketuanya iaitu Rafael Aguilar Guajardo.

Amado kemudian mengambil alih tempat Rafael sebagai ketua kartel Juarez. Tidak lama kemudian, dia mendapat gelaran "Dewa Langit" kerana menggunakan pesawat udara untuk menyeludup kokain dari Colombia ke semparan Amerika-Mexico.

Raja Dadah yang misteri

Walaupun aktif dalam dunia penyeludupan dadah, Amado amat berbeza jika dibandingkan dengan Pablo Escobar. Amado begitu berhati-hati dan menjauhkan diri dari tumpuan umum.

amado carrillo 26

Amado Carrillo Fuentes (tengah)

Menurut akhbar Washington Post, Amado tidak terlibat dalam kejadian tembak menembak atau berpesta di disko. Hanya terdapat beberapa gambar Amado sahaja yang disiarkan di akhbar atau televisyen. Akhbar itu turut menggelarkan Amado sebagai "lelaki yang misteri".

Agensi Anti-Dadah Amerika pula mendakwa Amado adalah Raja Dadah yang berbeza dan menganggap pengedaran dadah adalah semata-mata perniagaan, bukannya gaya hidup atau kemewahan.

Seorang paderi mendakwa bahawa dia pernah memujuk Amado untuk meninggalkan dunia pengedaran dadah tetapi Raja Dadah itu membalas bahawa dia tidak boleh berhenti kerana ribuan keluarga bergantung hidup kepada perniagaannya.

Kekayaan "Dewa Langit"

Walaupun bergerak di belakang tabir, Amado tetap antara seorang Raja Dadah terbesar. Dia memiliki kekayaan bernilai RM 104 bilion dan merupakan yang kedua terkaya selepas Raja Dadah Colombia, Pablo Escobar.

dewa langit amado carrillo

Amado Carrillo Fuentes (tengah)

Amado juga aktif dalam persaingan perniagaannya dan pernah mengarahkan lebih daripada 400 pembunuhan. Dewa Langit ini juga mempunyai pengaruh besar ke atas pihak berkuasa Mexico. Dia membayar pihak berkuasa untuk menutup mata berkaitan aktivitinya

Malah, dia mengarahkan pihak berkuasa mengganggu para pesaingnya. Dengan melakukan perkara ini, pegawai-pegawai kerajaan ini mendapat nama kerana menangkap para pesaing Amado dan dibayar kerana tidak menganggu Dewa Langit itu.

Namun, kekayaan dan pengaruhnya menjadi begitu besar sehingga kerajaan Mexico dan Amerika terpaksa mengambil tindakan. Pada tahun 1997, Amado hampir ditangkap apabila pihak berkuasa menyerbu majlis perkahwinan adik perempuannya.

Keputusan yang meragut nyawa

Sedar yang dia menjadi buruan, Amado Carrilo Fuentes mengambil satu keputusan drastik. Dia yang sedang merancang untuk memindahkan operasinya ke Chile nekad untuk melakukan pembedahan plastik bagi mengubah penampilannya.

wajah amado carrillo

Beberapa wajah Amado yang berbeza

Pada 4 Julai 1997, Amado mendaftar di sebuah klinik swasta dengan menyamar sebagai Antonio Flores Montes. Selama 8 jam, dia melakukan pembedahan di muka dan membuang lemak pada tubuhnya.

Prosedur itu kelihatan tidak mempunyai sebarang masalah tetapi pada keesokan harinya, doktor menemui Amado meninggal dunia di katilnya ketika berusia 41 tahun.

Selepas mengesahkan identiti Amado melalui cap jari, Amerika Syarikat mengumumkan Amado meninggal dunia akibat sakit jantung. Pengumuman itu mengejutkan umum tetapi ramai yang tidak percaya. Mereka menganggap Amado memalsukan kematiannya.

Khabar angin itu semakin kencang apabila sepupu Amado mendakwa Dewa Langit itu masih hidup dan melarikan diri ke bandar lain. Namun, Agensi Anti-Dadah Amerika menafikannya dan menyebarkan gambar mayat Amado sebagai bukti.

Kesan selepas kematian Dewa Langit

Empat bulan selepas kematiannya, polis menemui mayat tiga orang doktor yang bertanggungjawab ke atas pembedahan Amado. Ada yang mengatakan mereka dibunuh agar tidak memecahkan rahsia dan sebahagian lagi berpendapat ia dilakukan oleh rakan Amado yang berang kerana menyebabkan kematian Dewa Langit itu.

amado narcos

Watak Amado Carrillo Fuentes dalam siri TV "Narcos"

Kematian mengejut Amado membuatkan pengikut-pengikutnya yang berpengaruh bersaing sesama sendiri untuk menjadi pemimpin kartel Juarez. Akhirnya, adik Amado iaitu Vicente Carrilo Fuentes yang berjaya mengambil alih kartel.

Namun, Vicente tidak dapat menyelamatkan kartel daripada jatuh. Saingan hebat daripada kartel Sinaloa yang dipimpin El Chapo, kartel Juarez akhirnya hampir lumpuh apabila Vicente ditangkap pada tahun 2014.

Pihak berkuasa pasti bahawa Amado telah meninggal dunia tetapi masih ramai yang percaya dia masih hidup dalam penyamaran di suatu tempat.




Hakcipta iluminasi.com (2017)