agama raelisme

Apakah perbezaan antara kultus dan agama? Adakah ia berdasarkan tentang betapa anehnya kepercayaan sesuatu kumpulan itu? Jika itu yang menjadi ukuran, tahap pelik yang bagaimanakah yang diperlukan untuk menggambarkan perbezaan yang jelas antara kepercayaan dan khayalan? Namun, tidak kira bagaimana anda menilainya, agama Raelisme sememangnya mengatasi garis itu.

Mari kita mulakan dengan pengasas agama Raelisme iaitu Claude Vorilhon, atau lebih dikenali oleh pengikutnya sebagai Rael. Sebelum Vorilhon mempunyai sebarang pengikut agama, dia adalah seorang lelaki biasa yang meminati bidang muzik dan pernah penghasilkan lagu single yang dihasilkannya sendiri.

Beliau juga mempunyai kerjaya sebagai wartawan sukan kereta lumba dan pernah menerbitkan majalahnya sendiri iaitu Autopop pada tahun 1971. Namun, apabila satu kejadian aneh berlaku terhadap dirinya, pandangan Vorilhon terhadap dunia ini berubah sama sekali.

claude vorilhon pengasas raelisme 422

Pada tahun 1973 ketika berada di Perancis, Vorilhon mendakwa dirinya telah dikunjungi oleh satu makhluk asing yang menggelarkan dirinya sebagai "Yahweh". Beliau menambah lagi, Yahweh mempunyai satu mesej yang sangat penting untuk Vorilhon sampaikan kepada semua penduduk Bumi.

Menurut Yahweh, spesies manusia adalah hasil daripada kemajuan genetik yang dihasilkan oleh bangsa makhluk asing yang lebih maju yang digelar sebagai Elohim. Puak Elohim ini dikatakan telah berkahwin dengan wanita dari spesies manusia untuk menghasilkan nabi-nabi di bumi untuk membawa mesej kebenaran seperti Jesus, Buddha dan Nabi Muhammad.

Menurut Vorilhon lagi, kesemua nabi-nabi ini adalah separuh makhluk asing dan separuh manusia. Dia juga memberitahu bahawa telah dibawa untuk berjumpa dengan kesemua nabi-nabi ini di sebuah planet lain. 

claude vorilhon dan gereja agama raelisme 656

Tambah Vorilhon lagi, oleh kerana manusia pada waktu itu begitu primitif, mereka tidak dapat memahami mesej yang cuba disampaikan, sebaliknya mencipta agama di sebalik mesej dan keajaiban yang ditunjukkan oleh nabi-nabi tersebut.

Oleh sebab itu, menjadi tugas Vorilhon untuk membetulkan segala kesilapan-kesilapan manusia pada masa lampau dalam memahami mesej sebenar yang cuba disampaikan. Vorhilon kemudian mengambil nama yang baru, Rael, dan bersedia dalam menyampaikan mesej makhluk asing kepada seluruh penduduk Bumi.

Pada asasnya, Raelisme ditubuhkan atas dasar idea untuk meningkatkan kebolehan manusia sehingga Elohim dapat mengunjungi dan berhubung dengan manusia. Pada waktu itu, mereka akan mewujudkan sebuah masyarakat baru tanpa kebuluran, perperangan atau penderitaan.

claude vorilhon bersama patung makhluk asing 816

Raelisme mempunyai beberapa dasar untuk para penganutnya ikuti. Pertama, mereka perlu menolak mana-mana peraturan agama yang sudah ditetapkan mengenati seksualiti. Raelisme mengajarkan bahawa perasaan kasih dan sayang itu seharusnya bebas dan tidak dilihat sebagai sesuatu yang memalukan.

Kedua, mereka menganjurkan perdamaian dan pemahaman sejagat ke atas kemanusiaan di seluruh dunia. Setakat ini, pemahaman yang mereka bawakan kedengaran agak munasabah. Namun, fahaman seterusnya yang dibawa oleh Raelisme ini akan kedengaran lebih pelik dan menghairankan.

Salah satu kepercayaan yang paling penting dalam agama Raelisme ini ialah bahawa manusia memerlukan teknologi pengklonan manusia yang sempurna. Ini kerana mereka percaya makhluk asing sudah berjaya melakukannya. Mereka percaya makhluk asing boleh memindahkan pemikiran dan akal mereka kepada tubuh yang baru setelah meninggal dunia.

pengklonan makhluk asing

Menurut Rael, salah satu contoh yang paling baik ialah "Kebangkitan Jesus". Melalui pengklonan sempurna, Rael percaya bahawa manusia akan mampu mencapai tahap kehidupan abadi.

Rael berkata lagi bahawa makhluk asing yang maju menggunakan komputer canggih mereka untuk merekodkan semua DNA manusia pada waktu ini. Apabila tiba waktunya ketika makhluk asing kembali ke Bumi, mereka akan mengadili anda berdasarkan cara kehidupan yang anda lalui sebelum ini untuk memutuskan sama ada anda layak untuk mendapatkan badan baru untuk diklon.

Sekiranya anda menjalani kehidupan yang baik, anda akan dapat hidup selamanya dengan cara menukar badan atau pengklonan. Sekiranya anda melalui kehidupan dengan cara yang salah atau tiada faedah kepada manusia lain, anda tidak berpeluang mendapatkan kehidupan abadi.

replika keduataan raelisme di israel

Matlamat utama agama Raelisme adalah untuk mewujudkan masyarakat yang sempurna dan menjadi duta untuk makhluk asing melawat Bumi. Menurut faham mereka lagi, Rael mahu kedutaan manusia ini berpusat di Israel, kerana orang berbangsa Ibrani atau Hebrew adalah yang pertama dihubungi oleh makhluk asing.

Akan tetapi Rael tidak terlalu memilih mengenai hal itu. Setelah mencapai tahap masyarakat yang sempurna kelak, Rael mencadangkan penubuhan "Geniokrasi", iaitu pergerakan yang diperkenalkannya pada tahun 1977. Geniorkasi yang berasal daripada perkataan genius itu menggambarkan sistem pemerintahan yang berdasarkan kecerdasan kreatif, belas kasihan dan penyelesaian permasalahan.

Pada asasnya Rael mahukan demokrasi dijalankan dengan sama rata di seluruh dunia tetapi hanya orang yang pintar sahaja dapat mengundi dan membuat keputusan bagi mereka yang lain. Itulah yang diperlukan bagi mereka yang ingin menyertai agama yang berfahaman Raelisme ini. Mereka hanya perlu menyanjung fahaman ini dan menolak kesemua agama lain yang ada di dunia.

claude vorilhon

Agama Raelisme ini juga mempunyai upacara pembastisan rasmi bagi mereka yang menyertainya, bagi membantu memindahkan DNA anda ke makhluk asing supaya anda dapat diiktiraf sebagai seorang penganut Raelisme apabila tiba masa hari penentuan kelak.

Raelisme tidak membantah tentang kewujudan roh abadi atau kewujudan Tuhan. Apabila makhluk asing kembali ke Bumi kelak, penganut agama ini percaya sesuatu yang dipanggil Meditasi Sensual akan berlaku. Pada asasnya, ia melibatkan semua deria anda untuk berhubung dengan alam semesta dan perkara ini harus dilalui dalam keadaan telanjang.

para penganut raelisme

Pada hari ini, agak sukar untuk menyatakan dengan tepat jumlah sebenar penganut agama ini. Anggaran rasmi yang dikeluarkan oleh pihak Raelisme ini ialah mereka mempunyai sekitar 85,000 orang penganut. Agama Raelisme ini dilihat paling mendapat sambutan di Jepun dan juga Korea Selatan.

Walau bagaimanapun, tiada satu negara pun yang bersetuju dengan fahaman agama ini untuk membangunkan kedutaan bagi menyambut kedatangan makhluk asing. Mungkin, jangkaan mereka untuk menjadi kenyataan tidak akan berlaku dalam masa terdekat.


tags : , , , , , , , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)