Peminat teori konspirasi mempunyai jumlah yang cukup besar di kalangan masyarakat kita, sering menimbulkan topik perbualan yang mendapat reaksi orang ramai.

Apatah lagi dalam isu vaksinasi yang sedang hangat sekarang.

Ada kumpulan peminat teori-teori ini tergolong daripada mereka yang sekadar seronok hendak membincangkannya dan ada juga yang benar-benar percaya dengan kebenaran teori mereka, walaupun kadangkala jelas hujah mereka tidak berasaskan fakta.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kita bernasib baik golongan ini tidak menimbulkan banyak isu dalam masyarakat kita.

Di Amerika Syarikat yang ketika ini sedang bergolak ekoran pertukaran Presiden mereka - satu kumpulan berlandaskan teori konspirasi yang dikenali sebagai QAnon sedang bermaharajalela bangkit mempertahankan pegangan mereka.

Apa itu gerakan QAnon?

penyokong trump qanon

Berbeza dengan pengikut gerakan teori konspirasi lain yang lebih gemar memfokuskan pegangan mereka kepada satu topik sahaja, penyokong gerakan yang dikenali sebagai QAnon membawa bermacam hujah dalam satu-satu masa.

Tak kiralah apa saja isu kemasyarakatan yang muncul di Amerika Syarikat, pasti akan ada penyokong QAnon tampil menyangkal apa yang berlaku dan mengaitkannya dengan bermacam teori konspirasi yang mereka rasakan benar.

Tujuan gerakan ini hanya satu - bagi menjulang Donald Trump sebagai penyelamat dunia.

Asas pegangan mereka mula popular selepas bermulanya usaha Trump untuk menjawat jawatan Presiden Amerika Syarikat, disebabkan oleh kepercayaan bahawa Trump sebenarnya direkrut oleh jeneral-jeneral tentera untuk memecahkan penguasaan satu kelompok golongan ke atas kerajaan mereka.

Disebarkan oleh netizen-netizen, kepercayaan ini lama-kelamaan mula diambil sebagai kebenaran sehingga mampu menghasilkan manusia yang sanggup melakukan apa saja demi Trump.

Seperti apa yang dapat kita lihat sekarang.

Populariti berkembang semenjak 2017

perkongsian q dalam 4chan kod rahsia konspirasi

Pasti ramai tidak akan mempercayai kisah bagaimana gerakan ini bermula.

Gerakan yang sedang menggoncang Amerika Syarikat ketika ini bermula daripada satu perkongsian yang dilakukan di laman forum popular 4chan.

Sebuah akaun menggunakan nama 'Q Clearance Patriot' atau lebih dikenali sebagai 'Q' di kalangan pengguna 4chan melakukan perkongsian berkenaan beberapa maklumat sulit didakwa diperolehi beliau, kerana statusnya sebagai salah seorang yang diberikan akses tahap 'Q' dalam kerajaan.

Dalam sistem pentadbiran Amerika Syarikat, seseorang yang mempunyai akses Q mampu mengakses kesemua dokumen yang diklasifikasikan sulit serta semua informasi berkaitan sekuriti yang tidak didedahkan bukan saja kepada orang awam, bahkan kepada pegawai-pegawai tertinggi kerajaan sekalipun.

'Q' mendakwa dirinya seorang pegawai kerajaan yang diberikan tanggungjawab untuk mendedahkan beberapa maklumat yang dirasakan perlu, bagi membolehkan orang ramai tahu tentang gerakan Donald Trump sebagai Presiden baru mereka mahu menyelamatkan masyarakat daripada tangan-tangan jahat.

Bagi meyakinkan orang ramai, 'Q' telah memuatnaik beberapa ciapan Twitter yang seolah-olah menunjukkan persamaan antara hujahnya dengan 'kod-kod rahsia' yang ditulis oleh Trump melalui akaun media sosial.

Taktik itu dimanipulasi dengan baik oleh Q bagi meyakinkan usaha sulit mereka ini memerlukan sokongan orang ramai - khasnya mereka yang mahu menyelamatkan Amerika Syarikat daripada tangan-tangan pemimpin yang mengamalkan pedofilia.

Apa? Pedofilia?

Obama adalah seorang pedofil?

joe biden and obama

Proses pembersihan Amerika Syarikat menurut Q, akan dikepalai Donald Trump bagi menyingkirkan kumpulan yang disifatkan sebagai kultus kabal, kerana mereka ini masih mengamalkan kepercayaan lama yang sangat kuno. 

Penyokong QAnon percaya pemimpin-pemimpin tertinggi negara mereka seperti Hillary Clinton, Barack Obama, selebriti seperti Oprah WInfrey dan Tom Hanks, hartawan ternama George Soros termasuklah ramai lagi tokoh - terlibat dalam gerakan kabal ini.

Kumpulan ini mengamalkan kepercayaan kuno yang mirip dengan penyembahan syaitan serta perlu merogol individu bawah umur sebagai pemuas nafsu. Bagi mengekalkan usia mereka, kanak-kanak tadi selepas dirogol akan dibunuh untuk diminum darah mereka.

Pemimpin, ikon dan selebriti ini semuanya dikatakan kurang senang dengan Trump, senantiasa berusaha mahu menjatuhkan beliau kerana Trump adalah individu yang ditakdirkan akan menamatkan gerakan sulit mereka dan membawa kesemua yang terlibat ke muka keadilan.

Bermula di 4chan, 'Q' bijak menyembunyikan pergerakannya berpindah ke beberapa laman forum berbeza. Sehingga kini identiti sebenar 'Q' belum diketahui sama ada semuanya hasil kerja seorang individu ataupun berkumpulan.

Jumlah perkongsian yang telah dilakukan, majoritinya dalam bentuk tulisan yang ditulis dalam kod berdifat samar-samar bagi membolehkan pembaca mentafsirkannya sendiri - dianggarkan sudah mencecah lebih 5,000 semuanya.

Hasil perkongsian Q, mereka mula percaya di bawah pemerintahan Trump akan berlakunya satu perubahan yang digelarkan sebagai 'The Storm', yang akan memulihkan negara mereka serta memacu Amerika Syarikat ke arah lebih baik.

Tulisan karut yang sedang menggoncang sebuah negara

president trump save america rally

Kekalahan Donald Trump pada pilihanraya presiden mengakibatkan gerakan QAnon menjadi lebih aktif, ekoran daripada usaha mereka untuk terus membenarkan apa yang mereka percayai - enggan menerima jatuhnya Trump daripada kuasa.

Q meramalkan Trump akan menang besar dalam pilihanraya tempohari.

Selain itu ramai yang merasa sangat kecewa kerana 'The Storm' yang dijanjikan tidak kunjung tiba, bahkan telah berakhir tanpa ada sebarang perubahan berlaku.

Selepas Trump tewas dalam pilihanraya, penyokongnya mula merancang untuk melakukan tindak balas bagi membolehkan upacara pengisytiharan Joe Biden sebagai Presiden Amerika Syarikat dapat ditangguhkan.

Dengan menggunakan internet, seruan 'Save America' mula digunakan bagi menyatukan perjuangan mereka. Selain gerakan QAnon, kumpulan-kumpulan penyokong lain seperti Proud Boys turut sama terlibat dalam menyusun atur strategi ini.

Insiden 6 Januari 2021 selepas bangunan Capitol yang sepatutnya menjadi lokasi pengumuman perlantikan Presiden baru negara itu, diserang oleh penyokong Trump sebagai tindak balas yang dirancang oleh kumpulan penyokong QAnon bagi mengembalikan Trump ke tampuk kuasa.

Peristiwa itu didakwa bermula selepas ribuan penyokong Trump hadir mendengar ucapan beliau berdekatan White House, menggesa mereka menyelamatkan Amerika Syarikat serta tidak takut untuk bangkit melawan ketidak adilan.

Serangan itu bertukar menjadi tragedi selepas 5 orang terkorban, 4 penyokong Trump dan seorang anggota polis.

Apa yang menakutkan, mereka merancang lebih banyak lagi serangan selepas ini selagi mana keputusan pilihanraya Amerika Syarikat tempohari tidak dipinda.

Pengaruh QAnon yang merebak ke luar Amerika Syarikat

qanon jerman eropah

Sesuatu yang sangat menakutkan berkenaan penyebaran teori konspirasi QAnon ini, adalah kumpulan manusia yang mampu berpegang dengannya.

Mereka ini bukan calang-calang orangnya.

Klete Keller, perenang Amerika Syarikat yang telah memenangi pingat emas Olimpik dua kali bagi negaranya merupakan antara individu yang ditahan menyerang masuk Bangunan Capitol.

Keller ditahan selepas wajahnya dirakamkan dalam video, lengkap dengan pakaian ala militari.

Keller sanggup menempuh perjalanan sejauh 2,350 km dari rumahnya yang terletak di Colorado Springs ke Washington semata-mata untuk mendengar ucapan Trump dan menjadi peserta rusuhan.

Derrick Evans pula adalah salah seorang wakil kerajaan tempatan West Virginia, menyertai puluhan individu lain penyokong Trump menaiki bas dalam perjalanan sejauh 500 km.

Dia mendokumenkan pengembaraannya ke Washington melalui media sosial setiap masa - termasuklah tindakan dia memecah masuk ke dalam Bangunan Capitol!

Hasil tindakan itu, beliau dikecam kerana melanggar undang-undang, ditangkap dan didakwa atas dua kesalahan. Evans melepaskan jawatan sebagai wakil rakyat pada 9 Januari 2021.

Selain Amerika Syarikat, gerakan QAnon turut sama mula aktif di Perancis, Jerman dan United Kingdom disebabkan oleh pegangan ideologi politik ekstrimis kanan yang serupa.

Banyak pihak mendakwa penyebaran ini berlaku secara meluas disebabkan oleh kebimbangan orang ramai terhadap dakwaan konspirasi berkait Covid-19, jadi orang ramai cuba mencari asas atau jawapan kepada kebimbangan itu.

QAnon dilihat menawarkan penjelasan yang kukuh dan logik bagi mereka.

Kongres Amerika Syarikat berkeras akan tetap meneruskan pengisytiharan Joe Biden sebagai Presiden yang dijadualkan pada 20 Januari 2021.

Trump bakal jatuh secara rasmi.

Namun persoalan selepas ini - walaupun Trump sudah jatuh sekalipun, adakah penyokongnya yang sudah fanatik dan taksub akan terus berdiam diri menerima saja takdir bahawa ramalan 'Q' yang Trump akan menang besar dalam pilihanraya, tidak berlaku?

Rujukan

A QAnon ‘Digital Soldier’ Marches On, Undeterred by Theory’s Unraveling




Hakcipta iluminasi.com (2017)