Oleh pada 29 Oct 2017 kategori

Kredit foto: Instagram Hazama

Penyanyi Hazama memberitahu dia sengaja tampil dengan imej bertatu ala Bob Marley kerana ingin peminat menghayati mesej yang disampaikan.

Penyanyi berusia 33 tahun itu juga mempunyai jawapan tersendiri terhadap makna di sebalik konsep yang ditampilkan.

"Tatu itu sebenarnya simbolik sebagai dosa dan menunjukkan tiada siapa yang tidak pernah melakukan kesilapan.

"Jika saya tampil dengan sebuah muzik video tanpa sebarang jalan cerita mungkin kisah disebalik lagu itu tidak akan sampai.

"Memang saya sengaja cetuskan isu seperti ini kerana tahu ia akan jadi perbincangan di laman sosial dan dari situ netizen dapat jawapan terbaik mengenai kisah keseluruhan saya tampil dengan imej itu," kata Hazama menurut laporan portal Mstar Online.

Hazama membuat kenyataan tersebut di majlis pelancaran syarikat pengurusan artis Rocket Fuel Entertainment yang berlangsung di Petaling Jaya pada Khamis.

Terdahulu, penyanyi itu dikecam kerana tampil dengan imej bertatu di seluruh badan dalam muzik video terbarunya, Aku Bukan Dewa.

Sementara itu, Hazama berkata, dia juga cuba menonjolkan kematangan dalam karier muziknya menerusi muzik video tersebut selain mesej berkaitan kehidupan.

punca hazama bertatu 2

Kredit foto: Instagram Hazama

"Saya sudah 10 tahun dalam industri muzik dan sepanjang tempoh itu saya juga mengalami perubahan dalam diri secara peribadi dan karier.

"Ia juga simbolik yang saya sudah berubah dan bergerak kehadapan tanpa lagi mengenang masa lalu," jelasnya.

Malah perubahan terkini Hazama turut diperlihatkan dalam album terbaru yang bakal menyusul, di mana menyaksikan kematangannya sebagai seorang penyanyi termasuk dalam soal pemilihan lagu.

Penyanyi itu masih bertungkus lumus menyelesaikan rakaman album yang tertangguh sejak dua tahun lalu. 

"Dulu saya banyak buat lagu berkisarkan percintaan dan sekarang fokus saya lebih kepada lagu kemanusian dan bersifat universal," katanya lagi.

Sumber berita: Mstar




Hakcipta iluminasi.com (2017)