Kredit foto: Instagram Hasnul Rahmat

Aktor Hasnul Rahmat memberitahu dia tidak pernah menyimpan trofi mana-mana anugerah yang dimenangi dalam dunia seni.

Sebaliknya, pemenang lima kali Anugerah Skrin (ASK) ini membawa pulang kesemua trofi tersebut di kampungnya di Johor.

Jelas Hasnul, tindakan tersebut adalah untuk menghindari perasaan riak.

"Alhamdulillah ini anugerah kelima saya dalam ASK dan sejujurnya trofi ini akan pulang ke kampung halaman saya di Johor.

"Saya selesa menyimpan semua trofi di rumah keluarga saya berbanding tempat tinggal saya sendiri supaya saya tidak rasa megah dengan kemenangan saya.

"Biarlah keluarga saya yang rasa bangga," katanya memetik laporan portal Astro Gempak.

Dalam ASK 2017 yang berlangsung Jumaat lalu menyaksikan aktor berusia 46 tahun ini membawa pulang trofi Pelakon Lelaki Terbaik Drama menerusi Kapcai Ayah.

Terdahulu, pada ASK 2006 pula, beliau pernah merangkul kemenangan trofi Pelakon Lelaki Terbaik Filem menerusi Rock.

Dalam pada itu, bercerita tentang kekuatan drama Kapcai Ayah, dia dikehendaki membawa watak dalam tiga generasi.

"Drama itu mengisahkan tiga transisi hidup saya dari zaman remaja, dewasa hingga tua dan ini anugerah pertama saya untuk naskhah drama televisyen," ujarnya.

Sumber berita: Astro Gempak




Hakcipta iluminasi.com (2017)