Masalah kecurian melibatkan jumlah yang kecil seringkali dilaporkan di mana-mana saja, khususnya premis-premis perniagaan.
Sekiranya anda berkunjung ke kedai atau premis, pasti ada notis yang mempamerkan wajah atau sosok tubuh individu yang didakwa mencuri dilekat. Sekarang ini, kita lalu di plaza tol tertera notis menyenaraikan nombor plat kenderaan yang culas membayar tol dipamer untuk pengetahuan umum.
BESARKAN TEKS A- A+
Kedua-dua kaedah di atas jelas dibuat bertujuan untuk memalu dan sedikit-sebanyak menghukum pesalah secara tidak langsung.
Tetapi bagi penduduk di pulau Gili Trawangan, salah sebuah pulau kecil dalam Kepulauan Lombok di Indonesia, mereka memilih cara paling primitif dalam menghukum pencuri.
Apa kaedah yang mereka amalkan?
Awik-awik - undang-undang masyarakat yang menyelia peraturan
Dalam sistem undang-undang di Gili Trawangan serta Lombok secara amnya, selain pasukan keselamatan tempatan yang menjaga undang-undang, mereka juga masih mengamalkan sistem peraturan berasaskan adat yang dinamakan sebagai awik-awik.
Awik-awik adalah sistem peraturan yang disusun dan ditetapkan berasaskan persetujuan ahli masyarakat, diguna pakai oleh etnik-etnik tertentu di Indonesia berdasarkan kepada kepercayaan masyarakat dalam aspek agama, budaya dan ekonomi.
Keperluan ini perlu ada kerana sistem undang-undang di Pulau Lombok tidak menyediakan pegawai polis yang bertugas di sana. Jadi segala aspek pematuhan keselamatan diselia sendiri orang tempatan yang dilantik, bagi mengaplikasikan awik-awik dalam semua aspek.
Uniknya, pelaksanaan awik-awik tidak hanya terpakai kepada penduduk setempat - sebaliknya layak dikenakan juga kepada individu-individu luar, baik warga Indonesia dari negeri lain mahupun warganegara luar yang hadir ke sana sebagai pelancong.
Ini bermakna, sesiapa saja yang menjejakkan kaki ke Pulau Gili Trawangan akan didakwa, diadili dan dibicara berdasarkan kepada kanun awik-awik - walaupun anda orang Malaysia!
Diarak sekeliling pulau kerana mencuri
Salah satu hukuman unik dan sering mendapat perhatian dunia, adalah hukuman yang dikenakan ke atas mereka yang didapati melakukan kesalahan mencuri.
Semua pencuri yang ditangkap tak kiralah anda warga dari Eropah, Asia, Afrika dan sebagainya mahupun orang tempatan akan dibawa berarak di sekeliling pulau.
Pencuri yang ditangkap akan dikalungkan papan tanda di leher mereka, yang tertulis tentang kesalahan yang telah mereka lakukan sebelum dibawa berarak ke sekeliling pulau diiringi pasukan keselamatan yang dilantik penduduk.
Pulau itu yang hanya mempunyai keluasan sebesar 3 kilometer, sudah cukup untuk membolehkan wajah individu pesalah 'diraikan' dalam majlis perarakan yang biasanya mendapat sambutan gemuruh penduduk tempatan.
Bagi warga tempatan berjantina lelaki yang ditangkap, hukuman ke atas mereka ada sedikit penambahbaikan (atau penambahburukan). Semua pesalah lelaki tempatan diwajibkan menanggalkan baju yang mereka pakai, sebelum dikalungkan notis dan dibawa berarak sekeliling pulau.
Hukuman yang mendapat reaksi berbeza dunia
Selepas banyak kali hukuman terhadap pencuri yang datang daripada golongan pelancong Eropah mula disiarkan beritanya di sana, banyak pandangan berkenaan kesesuaian hukuman sebegini mula dikongsikan.
Ada pihak melihat hukuman sebegini adalah sesuatu yang mereka rasakan setimpal dengan kesalahan yang telah dilakukan, tak kiralah melibatkan warga tempatan atau luar.
Banyak pihak mengkritik tindakan memalukan pesalah sebegini sebagai satu perbuatan primitif, yang hanya mencerminkan mentaliti terkebelakang masyarakat Indonesia.
Hukuman sebegini bagi mereka tidak wajar dibuat, kerana dilihat hanya akan menyebabkan lebih ramai pelancong luar akan menjauhi pulau tersebut yang terkenal sebagai destinasi pelancongan.
Kerajaan tempatan Gili Trawangan berdepan kecaman setelah memuatnaik foto sesi hukuman yang dikenakan terhadap satu pasangan dari Perancis, sekitar tahun 2016.
Bagaimanapun itu tidak mematahkan semangat mereka untuk meneruskan peraturan sama. Hukuman ini masih terus digunapakai sehingga ke hari, mencabar sesiapa saja yang berani berani mencuri.