Oleh pada 01 Sep 2017 kategori

Artikel ini ditulis oleh saudara Mohd Faizal Zulkifly di laman Facebook miliknya dan pihak iluminasi.com telah mendapat kebenaran bagi mengulangsiar di blog kami untuk manfaat semua.

Kredit gambar kitabsejarahmalaya

Keputusan kerajaan Bangladesh mewartakan sebuah pulau tak berpenghuni di wilayah selatan Chittagong untuk menempatkan pelarian Rohingya telah menyebabkan ramai yang mempersoalkan kenapa kerajaan Malaysia tidak mencontohi tindakan berkenaan iaitu dengan mewartakan satu kawasan khas untuk menempatkan pelarian Rohingya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mungkin ramai yang tak tahu bahawa Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 untuk melindungi pelarian secara tetap di negara kita demi menjamin kedaulatan negara. Sungguh pun begitu, kita tetap mengizinkan mana-mana pelarian untuk singgah di negara kita sebelum dihantar ke negara ketiga.

Kedaulatan negara terancam kerana membantu pelarian

pelarian pulau bidong 255

Tahukah anda, Malaysia pernah diancam kedaulatannya dek kerana terlalu bermurah hati dengan menerima pelarian di negara kita satu ketika dahulu? Ia digelar tragedi Pulau Bidong. Kisahnya bermula apabila Malaysia mengambil keputusan untuk menerima pelarian dari negara Vietnam yang meninggalkan negara mereka melalui jalan laut dek kerana peperangan yang tercetus di negara mereka.

Oleh kerana jumlah mereka yang begitu ramai, Malaysia terpaksa mencari satu kawasan khas untuk menempatkan mereka di negara kita.

Keputusan menerima pelarian Vietnam menyaksikan kerajaan Terengganu terpaksa mengisytiharkan Pulau Bidong, sebuah kawasan tak berpenghuni di pesisir pantai Terengganu, kira-kira 40 kilometerr dari tanah besar sebagai pusat penempatan pelarian Vietnam antara tahun 1978 hingga 1990.

Ketika itu, ramai pelarian Vietnam mendarat di pantai dan pulau di perairan Pantai Timur. Dianggarkan seramai 252,390 pelarian Vietnam mendarat di Malaysia dan seramai 4,535 bayi mereka dilahirkan. Jumlah pendaratan paling tinggi ialah dengan kapal Hai Hong di Pelabuhan Klang, yang membawa 2,400 orang pada 1978.

Bantuan kemanusiaan yang memakan diri

Keputusan Malaysia ini dilihat sebagai satu keputusan kemanusiaan, dalam menanggani isu pergerakan pendatang khususnya berkaitan penyeludupan dan pemerdagangan manusia. Ia juga menyaksikan kedudukan dan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN semakin kukuh dan membuka mata dunia luar terhadap Malaysia.

Tapi persoalan yang timbul, kenapa perlu Malaysia yang menjadi hero dalam pergolakan dan krisis di negara ASEAN? Kenapa kerajaan Myanmar sendiri terus membisu walhal ia membabitkan rakyat negaranya sendiri?

pulau bidong 3 987

Begitu juga dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang seolah-olah memandang sebelah mata mengenai isu berkaitan dengan pelarian Rohingya. Kewujudan Pulau Bidong suatu masa dulu dilihat sebagai sifat kemanusiaan sebuah negara kecil yang sedang membangun dalam memperjuangkan hak asasi manusia.

Tetapi, di sebalik sifat kemanusiaan ini, timbul satu permasalahan membabitkan penduduk tempatan dan nelayan di sekitar Pulau Bidong, yang memperjuangkan hak mereka dan mahu kawasan itu dijadikan kawasan bebas kepada nelayan.

Bagi nelayan sekitar Pulau Bidong, pulau itu bukan saja menjadi lubuk sotong tetapi juga menjadi kawasan tangkapan ikan Zon B, iaitu untuk nelayan pukat jerut dan pukat tunda.

Pengisytiharaan Pulau Bidong sebagai kawasan keselamatan

Tindakan kerajaan mengisytiharkan Pulau Bidong sebagai kawasan keselamatan pada tahun 1976 menghalang nelayan untuk menangkap ikan berhampiran Pulau Bidong. Beberapa kes nelayan dihalau oleh Pasukan Petugas Pendatang Haram Vietnam (VII) kerana dikatakan menceroboh kawasan larangan sewaktu bot mereka menghampiri Pulau Bidong untuk berteduh daripada ribut, menyebabkan mereka terpaksa meredah laut bergelora untuk berteduh di pulau terdekat, iaitu Pulau Cendering.

Malah, nelayan di kawasan berkenaan, khususnya di Batu Rakit, Meras, Mengabang Telipot, Merang dan Setiu, mendakwa kerugian kira-kira RM2 juta setahun kerana tidak dibenarkan menangkap ikan berhampiran Pulau Bidong. Ramai nelayan berhijrah ke tempat lain seperti Mersing, Johor dan Kedah.

Nelayan tuntut ganti rugi

Kemarahan mereka memuncak pada Februari 1989 apabila Persatuan Nelayan Terengganu (Penentu) bercadang menuntut ganti rugi sebanyak RM36 juta daripada Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR). Alasan Penentu ialah kira-kira 3,000 nelayan terjejas pendapatan kerana penempatan pelarian di pulau itu menyebabkan mereka tidak boleh menangkap ikan di sekitar pulau terbabit.

Mendengar rintihan rakyat membuatkan wujudnya konflik antara kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat, disusuli dengan memorandum kerajaan negeri pada 16 Disember 1988, meminta pulau itu yang terletak kira-kira 50 batu nautika dari Kuala Terengganu, tidak dijadikan sebagai penempatan pelarian Vietnam.

Konflik ini berakhir pada 30 November 1991 selepas kerajaan mengumumkan Pulau Bidong akan ditutup daripada menjadi pusat penempatan sementara pelarian Vietnam.

Pulau Bidong ditutup

Upacara penyerahan yang dilakukan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Ghafar Baba kepada Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, menandakan Pulau Bidong yang menempatkan pelarian Vietnam sejak 1975 bebas daripada `jajahan' rakyat asing. Permintaan nelayan tempatan untuk mendapatkan semula lubuk hidupan laut itu akhirnya terkabul.

Menurut pemerhati politik ketika itu, keputusan menutup Pulau Bidong sepatutnya sudah lama dibuat oleh kerajaan setelah hampir 12 tahun masalah penempatan semula pelarian ke negara ketiga menjadi semakin rumit. Keputusan kerajaan menutup Pulau Bidong untuk selama-lamanya kepada pelarian dapat mengelakkan golongan itu meninggalkan negara mereka untuk mencari kehidupan yang lebih baik.

Lebih penting, ia melenyapkan imej Pulau Bidong, sebagai pusat tarikan pelarian, khususnya dari Vietnam.

Namun, penutupan Pulau Bidong ini bukanlah pengakhiran kepada masalah pelarian dan pendatang asing ke Malaysia. Selepas Pulau Bidong ditutup, pelarian ini dipindahkan ke Kem Pelarian Sungai Besi dengan satu harapan agar masalah pelarian ini dapat diatasi. Jangkaan semua pihak itu nyata meleset apabila bilangan pelarian Vietnam ini bertambah dan menjadikan Kem Pelarian Sungai Besi seolah-olah daerah keramat mereka.

Kredit : Kitab Sejarah Malaya




Hakcipta iluminasi.com (2017)