Sekiranya anda ada memelihara kucing di rumah, ada harus tahu bahawa bukan semua makanan harian kita boleh diberi kepada mereka. Ada makanan yang boleh dimakan oleh manusia tetapi sangat merbahaya kepada si comel sehingga boleh menyebabkan mereka keracunan dan mati.

Mari kenali 5 makanan manusia yang berbahaya kepada kucing anda.

dry food

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Coklat

Kebanyakan pemilik kucing sudah maklum akan bahaya coklat kepada kucing. Coklat mengandungi theobromine yang boleh menyebabkan peningkatan kadar denyutan jantung dan kematian kepada kucing. Theobromine terkandung dalam pelbagai jenis coklat termasuk coklat putih (white chocolate) dan coklat gelap (dark chocolate).

2. Ikan Mentah

Kita sedia maklum bahawa kucing suka makan ikan. Walaubagaimanapun, elakkan memberi makan ikan mentah kepada si comel anda. Ikan mengandungi sejenis enzim yang meghancurkan thiamine, sejenis vitamin B yang penting kepada otak kucing. Kekurangan thiamine ini boleh menyebabkan masalah otak (neurologi) kepada kucing dan koma.

Elakkan juga beri kucing anda memakan ikan goreng kerana ia boleh menyebabkan masalah keguguran bulu kucing anda. Jika ingin memberi mereka ikan, seeloknya rebus dahulu ikan tersebut.

3. Telur Mentah

Sama seperti kesannya kepada manusia, memakan telur mentah boleh menyebabkan jangkitan kuman salmonella yang boleh menyebabkan radang pankreas. Tidak mengapa sekiranya anda ingin memberi telur yang sudah dimasak tetapi pastikan dalam kuantiti yang sedikit.

4. Bawang

Ada sesetengah daripada pemilik kucing gemar memberi sisa-sisa ikan dan nasi kepada si comel. Walaubagaimanapun, pastikan ianya tidak mengandungi bawang. Bawang mengandungi N-propyl disulphide yang dikenalpasti boleh merosakkan sel darah merah dan kematian kepada kucing.

5. Minimum Alkohol

Daripada segi kesihatan, pengambilan alkohol dikenalpasti boleh merosakkan hati. Pemberian minuman alkohol kepada kucing juga mempunyai kesan yang sama, tetapi lebih teruk kerana hati mereka lebih kecil. Pemberian dua sudu kecil minuman vodka atau whiskey sudah cukup membuatkan kucing anda koma.

Selain itu, pemberian alkohol kepada si kucing juga boleh menyebabkan saluran darah mereka bersifat asid dan seterusnya menyebabkan kerosakan buah pinggang mereka.

kucing

Diharapkan info ini dapat memberi tips berguna mengenai makanan dan minuman kepada kucing kesayangan anda. Sebagai pemilik kucing, adalah menjadi tanggungjawab anda untuk memelihara dan menjaga kucing anda dengan sebaik mungkin.

Mana tahu, kucing yang anda pelihara mungkin boleh menjadi saham anda diakhirat kelak.




Hakcipta iluminasi.com (2017)