zuckerberg akses whatsapp integrasi facebook

Dalam artikel-artikel sebelum ini, sudah beberapa kali kami menyebarkan peringatan bahawa sesuatu yang percuma untuk digunakan pasti ada sebab disebaliknya kenapa ia percuma

Begitu jugalah dengan pengguna media sosial yang selama ini mampu menggunakan keseluruhan fungsi dan kelebihan yang dibangunkan, tanpa mengeluarkan satu sen.

Ini kerana kita semua sudah tahu bayaran yang perlu kita bayar bukanlah dalam bentuk wang ringgit, sebaliknya dibayar melalui tabiat penggunaan serta informasi peribadi kita semua.

Kecuali Whatsapp satu masa dahulu sebelum diambil alih oleh gergasi media sosial, Facebook. Whatsapp dahulunya mampu menjalankan operasi hanya dengan bayaran $1 yang dikenakan (dan bukan semua pengguna membayarnya) sebelum syarikat tersebut dibeli Facebook.

Selepas pertelingkahan besar antara Whatsapp dan Facebook yang mengakibatkan pengasas Whatsapp Jan Koum dan Brian Acton terpaksa melepaskan hasil kerja mereka, Koum dan Acton mula lantang mengeluarkan amaran agar orang ramai membuang akaun Facebook mereka.

Perubahan yang bakal dilakukan terhadap Whatsapp bermula Februari ini, seakan membenarkan amaran yang telah mereka keluarkan.

Apa yang bakal berubah bagi pengguna Whatsapp?

whatsapp salur informasi kepada facebook

Semua pengguna Whatsapp sudah menerima notifikasi berkenaan perubahan syarat yang bakal diperkenalkan Facebook untuk semua pengguna Whatsapp.

Perubahan itu dijadualkan bermula 8 Februari 2021.

Perubahan terbesar dan bakal berlaku adalah bagaimana integrasi di antara Facebook dan Whatsapp dari segi koleksi dan perkongsian data peribadi pengguna, akan dilakukan dalam skala lebih terbuka bagi membolehkan Facebook mensasarkan pengiklanan secara lebih terperinci kepada anda.

Tidak ada pengecualian diberikan sekiranya anda salah seorang pengguna Whatsapp yang tidak mahu data anda dikongsikan kepada pihak ketiga terutamanya Facebook sendiri.

Facebook sebagai pemilik Whatsapp menyifatkan pengguna sudah diberikan masa yang cukup untuk membuat keputusan, walaupun anda bukanlah seorang pengguna Facebook.

Sesuatu yang perlu anda tahu - sekiranya anda tidak menyatakan persetujuan anda melalui pengesahan selewat-lewatnya tanggal tarikh 8 Februari 2021, secara automatik anda tidak lagi diberikan akses kepada aplikasi Whatsapp dalam peranti anda.

Hanya pengguna di Eropah dikecualikan daripada perubahan ini disebabkan oleh kewujudan akta Regulasi Perlindungan Data Awam atau General Data Protection Regulation (GDPR), yang diperkenalkan oleh Kesatuan Eropah pada bulan Mei tahun 2018.

Dalam erti kata lain, penggunaan Whatsapp anda kini tertakluk kepada persetujuan anda untuk anda berkongsikan data dengan Facebook atau tidak. Anda tidak lagi boleh tidak bersetuju seandainya anda ingin terus menggunakan Whatsapp.

Kepentingan regulasi yang diperkenalkan Kesatuan Eropah

gdpr infografik

Ramai di antara kita di Malaysia menggunakan Whatsapp sebagai ruang rasmi perbincangan melibatkan peringkat profesional, dengan kebenaran/arahan penggunaan tidak rasmi diberikan pengurus atau pentadbir kita.

Berbeza dengan kita, penggunaan Whatsapp dalam tahap profesional di Eropah sebenarnya kesalahan yang melanggar akta GDPR di kalangan majikan Eropah.

Namun masalah utamanya, hampir 41% kumpulan pekerja di Eropah dilaporkan masih menggunakannya untuk tujuan profesional.

Kebergantungan syarikat dan pekerja kepada Whatsapp ini menjadi penyebab utama isu ini sering hangat di kalangan masyarakat Eropah.

Ini kerana golongan pekerja dan sesetengah majikan melihat penggunaan Whatsapp memberikan cara mudah untuk komunikasi secara percuma, walaupun bertentangan dengan dasar Kesatuan Eropah sendiri.

Whatsapp melalui Facebook turut tidak membantu.

Gergasi media sosial itu dilihat sengaja terus tidak membantu Kesatuan Eropah memperketatkan undang-undang ini, sebaliknya mengambil peluang terhadap keengganan pengguna yang mahu terus bergantung dengan Whatsapp.

Salah satu fungsi paling kontroversi dalam perdebatan antara pendokong GDPR dengan Whatsapp, adalah bagaimana Whatsapp diberikan akses penuh terhadap buku telefon peribadi dalam semua telefon yang dipasangkan Whatsapp.

Fungsi ini membolehkan Whatsapp mengakses dan merekodkan semua nombor telefon dalam buku telefon tersebut, walaupun nama-nama yang disenaraikan berkemungkinan bukanlah seorang pengguna Whatsapp.

Sehingga kini Kesatuan Eropah berdepan kesukaran dalam memastikan pekerja dan majikan mematuhi syarat ini bagi melindungi data mereka, walaupun pelbagai alternatif dan akta cuba diperkenalkan.

Apa yang bakal berubah berkaitan data anda?

pengguna whatsapp diintegrasi dengan facebook

Kita di Malaysia di peringkat kerajaan serta komuniti serantau agak kurang kesedaran berkenaan isu ini, berbanding kumpulan di Eropah yang inisiatifnya dipacu Kesatuan Eropah.

Sudah menjadi amalan biasa kita menggunakan Whatsapp sebagai ruang diskusi satu pejabat, sebagai medium utama komunikasi antara majikan, pentadbir dan pekerja tanpa wujud sekelumit rasa bimbang dalam hal berkaitan data perniagaan.

Isu data perniagaan ini sebenarnya sudah lama didebatkan oleh pengasas Whatsapp sendiri yang tidak bersetuju semasa mereka di bawah Facebook.

Mereka menyuarakan kebimbangan berlakunya integrasi menyeluruh melibatkan perkongsian data antara keduanya, yang dikatakan akan menyebabkan Whatsapp hilang keistimewaannya yang sebenar; privasi.

Apakah alternatif kepada Whatsapp?

alternatif kepada whatsapp

Integrasi data antara Facebook dan Whatsapp sebenarnya sudah bermula dalam sejak tahun 2016; sesuatu yang berkemungkinan besar ramai tak sedari terjadi.

Bagaimanapun pengguna sejak 2016 masih diberikan kuasa untuk memilih sama ada untuk membenarkan atau tidak membenarkan data dalam Whatsapp anda dikongsikan kepada Facebook, tanpa menjejaskan akses anda kepada Whatsapp.

perbandingan data yang dikumpul antara aplikasi mesej

Sumber grafik

Perubahan yang bakal dilakukan bulan Februari 2021 ini dikritik banyak pihak kerana Facebook secara berani menarik balik pilihan tersebut, memaksa pengguna bersetuju untuk data maklumat mereka dikongsikan kepada Facebook serta pihak ketiga lain.

Bagi kumpulan pengguna Whatsapp yang tidak mahu integrasi ini dikenakan ke atas mereka, apakah alternatif yang ada?

1

Individu berpengaruh seperti Edward Snowden sudah bertahun lamanya mengesyorkan aplikasi Signal yang sebenarnya dibangunkan oleh bekas pengasas Whatsapp sendiri.

Signal, Telegram dan juga Skype dilihat menjadi antara sebagai alternatif terbaik untuk anda terus berkomunikasi secara mudah tanpa perlu risau campur tangan gergasi media sosial.

article body 2021 01 08t172947738 5ff8491460d98

Pengasas Tesla serta individu yang baru diisytiharkan sebagai paling kaya dunia Elon Musk juga melalui ciapan pendek di akaun Twitter miliknya, mengesyorkan Signal sebagai pilihan.

Signal masih mengekalkan modus operandi Whatsapp terawal, mengenakan caj minima, mengutip derma serta tidak berorientasikan keuntungan.

Namun, usaha untuk mengalihkan orang ramai ke platform baru pasti berdepan kesukaran yang besar kerana 2 billion pengguna sudah selesa dengan Whatsapp.

Dalam skop pengguna tempatan pula, sudah terlalu ramai pengguna di Malaysia bergantung sepenuhnya dengan Whatsapp yang sudah jadi satu kewajipan untuk dimuat turun dan digunakan.

Penulis secara peribadi mengharapkanagar  dapat diwujudkan inisiatif kerajaan Malaysia untuk memperkenalkan akta mirip dengan GDPR di Eropah di negara kita, yang mampu mencegah masyarakat kita daripada terus diperkotak-katikkan syarikat-syarikat gergasi seperti Facebook.

Apabila difikirkan, kita seolah-olah perlu tunduk ke atas apa saja yang ditetapkan pengendali perkhidmatan 'percuma' ini tanpa mampu melawan - kerana apa yang mereka perkenalkan, sudah jadi sebahagian daripada kebiasaan.

Kita sanggup hilang privasi dan hilang kawalan ke atas maklumat peribadi dan orang terdekat kita, hanya atas dasar keselesaan kita semua. Itulah harga yang kita bayar untuk akses kepada sesuatu yang percuma.

Rujukan

Forbes 'WhatsApp Users Urged To Download Signal, Skype Following Controversial Privacy Update'

GDPR Report



Hakcipta iluminasi.com (2017)