Oleh pada 22 Jan 2018 kategori

Sumber foto: Harian Metro

Polis Johor merampas pelbagai jenis dadah berjumlah RM1.4 juta dan menahan dua lelaki warga tempatan menerusi operasi di sebuah rumah di Jalan Sulaiman, Muar.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, pihak polis juga merampas pelbagai bahan dan peralatan memproses ecstasy dalam serbuan yang dibuat pukul 4.30 petang Jumaat lepas. 

Ujarnya, hasil soal siasat memperoleh maklumat yang kedua-dua suspek berumur 31 dan 41 tahun tersebut menghasilkan ecstasy berdasarkan video di laman sosial Youtube.

"Dalam serbuan itu, polis menemui dadah iaitu serbuk ecstasy seberat 13.4 kilogram, ketamin (362.3 gram), ganja (299.3 gram) dan syabu (53 gram)," katanya.

Selain itu, polis juga merampas beberapa bahan kimia yang diyakini digunakan bagi memproses ecstasy.

"Polis juga menyita sebuah kereta PERODUA Myvi, Isuzu Trooper dan PROTON Perdana, selain wang tunai RM4,000 yang keseluruhannya bernilai RM54,000," ujarnya.

Mohd Khalil memberitahu, kedua-dua suspek memiliki rekod jenayah terdahulu bersabit dadah serta positif dadah methamphetamine.

"Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga 26 Januari ini bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan," tegasnya.

Tambah Mohd Khalil, dalam jangka masa 20 hari sejak 1 Januari lepas, pihak polis telah memberkas 892 individu serta merampas dadah seberat 33.64 kilogram berjumlah RM2.24 juta.

Beliau memberi kenyataan dalam sebuah sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor semalam.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)