Menurut Rekod Dunia Guinness, sebatang pokok Sitka Spruce di bahagian kepulauan paling hujung di selatan New Zealand merupakan pokok yang paling kesunyian dan paling terpencil di atas muka bumi. Bukan sahaja ia merupakan satu-satunya batang pokok yang tumbuh di Pulau Campbell, malah pokok lain yang berada paling 'hampir' dengannya terletak sejauh 200km di Kepulauan Auckland.
BESARKAN TEKS A- A+
Lokasinya yang berada 700km dari selatan Bluff, Pulau Campbell merupakan salah satu tempat yang digeruni di dunia. Dengan angin yang bertiup kencang sepanjang tahun, sinaran matahari yang kurang dari 600 jam dan hujan yang hanya turun selama 40 hari dalam setahun, ia bukanlah tempat tinggal yang ideal bagi mana-mana manusia. Mungkin disebabkan itulah ia menjadi tanah terbiar selaa lebih separuh abad dan hanya menerima beberapa kunjungan sahaja daripada saintis penyelidikan dalam setahun.
Kawasan ini hanya dipenuhi dengan tumbuhan yang mampu menahan kekuatan angin seperti rumput dan belukar. Oleh itu, kewujudan pokok paling sunyi di dunia di sini adalah sesuatu yang amat menakjubkan.
Dipercayai pokok Sitka Spruce yang hidup di pulau ini ditanam antara tahun 1901 hingga 1907 oleh bekas gabenor New Zealand yang mempunyai karakter yang agak pelik, iaitu Lord Ranfurly. Tidak dapat dipastikan mengapa beliau memutuskan mahu menanam pokok ini di situ berbanding tempat lain. Namun, menurut beberapa sumber, beliau mengeluh bahawa pulau itu tidak digunakan sebaiknya dan mengambil langkah pertama untuk memulakan kawasan perhutanan yang produktif di situ.
Secara logiknya, cadangan Lord Ranfurly itu merupakan suatu idea yang tidak begitu bernas kerana iklim yang 'keras' di kawasan itu. Akan tetapi, entah bagaimana sepohon Sitka Spruce ini boleh terselamat dan hidup sihat selama lebih satu abad.
Selain dikenali sebagai pokok yang paling kesunyian dalam dunia, pokok ini juga mempunyai beberapa keunikan tersendiri. Ia mempunyai bentuk yang seakan-akan kubis bunga yang besar. Keadaan ini dikatakan berpunca daripada proses penebangan batang pokok yang dibuat setiap tahun selama berdekad lamanya.
Sebelum tahun 1958 ketika stesen metereologi terpencil di Pulau Campbell ini beroperasi sepenuhnya, kakitangan yang ditempatkan di sini sering memotong bahagian atas pokok Sitka Spruce ini menjelang musim Krismas dan dibawa pulang ke stesen untuk dijadikan pokok Krismas. Namun, walaupun sering ditebang setiap tahun, ia masih berdiri teguh dan berjaya menyesuaikan diri. Nasib menyebelahi pokok ini kerana tiada sesiapa yang telah menebangnya sejak enam dekad yang lalu dan menyebabkan ketinggiannya mencecah lebih 10 meter.
Lagi satu fakta menarik tentang pokok menyendiri ini ialah, walaupun berusia lebih 100 tahun, ia tidak pernah menghasilkan sebarang kon. Saintis mendakwa pokok ini telah kekal pada usia 'muda remaja'.
Lewat kebelakangan ini ia sering dipaparkan dalam berita kerana membantu penyelidik mengesahkan yang Bumi kini telah memasuki satu zaman geologi baru yang dinamakan Anthropocene. Mereka telah menjumpai tinggi kandungan radiokarbon dalam sampel yang diambil dari bahagian tengah pokok itu, menandakan dunia telah melalui satu peredaran zaman yang baru.
Siapa sangka pokok yang kesunyian ini boleh menyimpan seribu satu rahsia?
Rujukan:
1. Noted
2. Radio NZ
4. Phys