Oleh pada 13 Jan 2018 kategori

Sumber foto: ozzy2u.blogspot.com 

Kawasan tanaman padi seluas lebih 33 hektar di Sungai Baru Tengah, Simpang Empat, Kangar, dilanda masalah padi angin. Kerugian hampir RM70,000 dianggar dialami oleh kira-kira 16 petani di sini.

Kerugian lebih RM18,000 selepas tanaman di kawasan seluas tiga hektar rosak, menurut Abdul Hamid Mat, 65, seorang petani yang mengusahakan tanaman padi sejak 25 tahun lalu. Masalah itu juga adalah paling buruk pernah berlaku ujarnya.

Walaupun Abdul Hamid sudah mengikut segala proses serta prosedur tanaman yang betul termasuk menggunakan baja, racun dan benih padi yang dibekalkan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) tetapi masalah itu masih berlaku.

“Selain saya, petani-petani lain di kawasan ini juga mengalami masalah sama namun mereka agak bernasib baik kerana sebahagian daripada kawasan tanaman sahaja yang menghadapi masalah padi angin.

“Sangat menyedihkan apabila melihat buah padi yang sudah masak itu luruh apabila disentuh dan ketika ditiup angin.

Semuanya sudah tidak boleh digunakan lagi,” katanya.

Harapan Abdul Hamid kepada pihak bertanggungjawab agar datang melihat masalah dan bersungguh- sungguh memberikan bantuan kepada mereka.

“Kalau boleh saya harap pihak kerajaan boleh memberikan ganti rugi selain berharap benih yang dibekalkan itu adalah yang terbaik,” katanya. Tanaman padi tersebut telah diusahakan sejak Oktober tahun lalu.

Rosli Sirun, 65, seorang lagi petani yang mengalami kerugian hampir RM3,000. Di mana padi angin melanda sebahagian daripada tanamannya yang berkeluasan dua hektar. 

“Saya lihat masalah tersebut berpunca daripada benih yang tidak berkualiti. Saya harap benih yang dibekalkan itu perlu betul-betul tulen seperti musim-musim sebelum ini,” katanya.

Turut bersama para petani meninjau masalah tersebut, Mohd.Shukri Ramli, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang berkata, selain di sini, masalah tersebut juga berlaku di kawasan- kawasan lain negeri ini.

Lebih kurang 30 peratus daripada 26,000 hektar kawasan tanaman padi di seluruh negeri ini berdepan masalah padi angin. Beliau memberitahu berdasarkan maklumat yang sedia ada.

“Kita berharap agar pihak bertanggungjawab dapat membantu menyelesaikan masalah ini dan membela nasib para petani yang mengalami kerugian itu,” katanya.

Sumber berita: Utusan Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)