isteri dibunuh suami sendiri akibat cemburu

Sumber foto: malaysianreview.com (Gambar sekadar hiasan)

Seorang suami nekad membunuh isterinya sendiri dipercayai berpunca dari sifat cemburu kelmarin.

Insiden yang berlaku di rumah panjang di Sungai Asap, Belaga itu diketahui jiran pasangan tersebut pada pukul 9 malam dan menghubungi pihak berkuasa bagi tindakan lanjut.

Seorang sumber berkata, mangsa berumur 25 tahun dipercayai dibunuh suaminya yang berumur 38 tahun di dapur kediaman mereka dengan memakai senjata tajam.

Menurutnya, insiden diketahui jiran pasangan tersebut yang menyaksikan mereka berdua terbaring berlumuran darah melalui celahan tingkap rumah panjang terbabit.

"Sepasukan polis yang menerima maklumat mengenai kejadian itu kemudiannya bergegas ke lokasi untuk tindakan lanjut.

"Pemeriksaan lanjut menemui mangsa sudah meninggal dunia, manakala suspek dalam keadaan tidak sedarkan diri," ujarnya, semalam.

Sumber memberitahu, siasatan awal polis tidak menolak kebarangkalian suspek yang turut merupakan pekerja sebuah kem balak di daerah itu berbuat sebegitu disebabkan cemburu.

Tambahnya lagi, polis bakal mengambil keterangan daripada suspek setelah stabil. Siasatan kes tersebut dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan akibat membunuh.

Dalam pada itu, jurucakap polis semasa dihubungi mengakui insiden tersebut dan memberitahu siasatan lanjut kini dibuat.

Sumber berita: BH Online


tags : , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)