Anak-anak adalah anugerah Tuhan yang tidak terhingga kepada manusia. Mereka menjadi pelengkap kepada cinta di antara dua makhluk yang terikat dalam hubungan suami isteri.
Kehadiran bayi menceriakan sesebuah keluarga dan ia sepatutnya ditatang dengan penuh kasih sayang. Namun, masih terdapat kes-kes di mana bayi dibuang sehingga menyebabkan kematian.
BESARKAN TEKS A- A+
Mungkin kerana kita kurang peka akan bagaimana bayi terhasil selama lebih 9 bulan di dalam rahim ibu membawa kepada kejadian seperti ini.
iluminasi.com kongsikan perkembangan bayi dalam rahim ibu secara ringkas.
Proses persenyawaan
Ketika seorang gadis atau wanita sedang subur, ovari akan melepaskan ovum atau telur yang sudah matang dan ia bergerak masuk ke dalam tiub fallopio menunggu untuk disenyawakan.
Dengan hanya satu ejakulasi lelakisahaja boleh mengandungi sehingga 1 bilion sperma yang akan melakukan persenyawaan dengan ovum.
Proses persenyawaan berlaku apabila ovum dan sperma yang terpilih bersatu membentuk zigot. Zigot ini kemudiannya "ditanam" pada dinding rahim.
Selepas minggu ketiga, zigot dibentuk menjadi embrio setelah melalui beberapa bahagian sel yang pantas.
Pada minggu ke-4, saiz embrio adalah kira-kira sebesar 2 milimeter atau sebesar sebutir kas-kas. Ketika ini ibu akan menyedari bahawa mereka mungkin hamil.
Minggu ke-5
Selepas 5 minggu ketika mana saiznya bertambah kepada 3 milimeter atau sebesar sebutir bijan dan kelihatan seperti berudu, jantung dan sistem peredaran darah pada embrio mula terbentuk
Dalam minggu ini, payudara akan menjadi lembut disertai dengan sakit kepala dan "morning sickness".
Dalam minggu ke-6, pembentukan hidung, mulut dan telinga mula mengambil tempat. Ketika ini juga, usus-usus dan otak mula berkembang. Embrio bersaiz 5 mm ketika ini.
Minggu ke-7 melihatkan peningkatan saiz lebih daripada 2 kali ganda kepada 1.2 sentimeter sebesar sebiji beri biru. Anggota badan mula berkembang dengan pantas.
Menjelang minggu ke-8, semua bahagian utama badan sudah terbentuk, dengan saiz mencecah 1.6 cm seperti sebiji anggur dan seberat 1 gram.
Keletihan oleh ibu akan semakin terserlah bermula daripada minggu ke-8 kerana struktur kompleks pada embrio mula berkembang yang mana memerlukan bekalan tenaga.
Minggu ke-9
Seminggu kemudian iaitu pada minggu ke-9, embrio akan mula membentuk organ pembiakan yang menentukan jantina bayi sama ada lelaki atau perempuan.
Pada minggu ke-10, deria rasa dan jantung kini telah terbentuk dengan sempurna dengan berat kira-kira 3 gram dan saiz 3.1 cm.
Tulang-tulang pada embrio mula membentuk dan mengeras pada minggu ke-11 kehamilan.
Dalam tempoh kehamilan ke-9 hingga ke-12, embrio berubah menjadi fetus. Proses yang dilalui oleh embrio selama 3 bulan pertama ini dikenali sebagai organogenesis.
Minggu ke-16
Pada minggu ke-16 di mana fetus bersaiz 11.6 cm dan seberat kira-kira 100 gram, otot-otot pada leher dan tulang belakang menjadi kuat.
Ibu hamil mungkin akan berasakan tendangan dan pergerakan bayi bermula minggu ke-18.
Pada minggu ke-30 atau dalam bulan ke-8 kehamilan, otak bayi kini mengandungi berbilion-bilion neuron dan sedang berkembang dengan pesat.
Bayi bersaiz seperti sebiji kubis dengan berat kira-kira 1.3 kilogram dan panjang hampir 40cm.
Minggu ke-35
Menjelang minggu ke-35, bayi di dalam rahim sudah mula mengenali suara ibunya. Badan ibu akan mula membengkak, kaki dan lutut mula sakit yang memerlukan rehat secukupnya.
Pada minggu ke-36, bayi akan mula untuk berpusing ke kawasan pelvik, jadi elakkan pergerakan secara tiba-tiba dan jangan biarkan diri ibu tertekan.
Pada minggu ke-37 bayi sudah hampir matang dan mempunyai lebih daripada 70 refleks menjelang minggu ke-38. Kebanyakan ibu hamil mengalami pengecutan rahim pada peringkat ini.
Rambut dan kuku terus berkembang pada minggu ke-40 namun tulang tengkorak masih belum bersatu. Menjelang penghujung minggu ke-40, berat badan bayi meningkat dengan sangat banyak di antara 2.8kg hingga 4kg.
Panjang purata bayi adalah 48 hingga 53cm dan bersedia untuk keluar ke pangkuan ibu.
Kehamilan penuh boleh menjangkau sehingga 40 minggu dan 6 hari.