Cadangan untuk memperkenalkan semula industri automotif peringkat nasional di negara kita semakin kuat diperkatakan, selepas Malaysia mengalami pertukaran kerajaan kali pertama dalam sejarah.

Desas-desus berkenaan niat kerajaan untuk memulakan kembali jenama kenderaan di bawah kelolaan kerajaan sendiri sebenarnya sudah pun dinyatakan sebelum pilihanraya, kini usaha untuk merealisasikan permulaan semula tampak ada benarnya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Persoalannya, mampukah Malaysia mempunyai jenama kenderaan nasional tempatan ketiga, selepas Proton dan Perodua?

Realiti pasaran Malaysia yang didominasi Perodua

perodua kancil model pertama

Proton ketika ini sedang melalui fasa yang agak terumbang-ambing. Dengan jumlah jualan yang perlahan serta tewas kepada satu jenama Jepun dari segi jumlah keseluruhan jualan bagi tahun 2017, nasib Proton untuk mengembalikan zaman kegemilangan mereka tampak sukar.

Bagi Perodua, harus diakui mereka memang berhak mendahului jumlah jualan di negara kita. Kejayaan mereka mengenalpasti apa yang orang ramai mahukan adalah faktor utama membantu meningkatkan jumlah jualan. Perodua juga banyak dibantu kerjasama bersama Daihatsu dan Toyota yang dilihat berjaya mengekalkan harga kereta mereka diparas mampu milik.

Potensi untuk mengeksport model-model Perodua dengan penggunaan jenama Toyota atau Daihatsu ke luar negara turut membantu Perodua membesarkan pasaran mereka.

Dalam laporan yang dikeluarkan pada Jun 2017, Proton telah mencatatkan kerugian RM500 juta pada tahun 2016. Proton dilaporkan hanya berjaya mengelakkan kerugian lebih RM1 billion ekoran pengambil alihan pegangan saham Proton kepada syarikat Geely dari China.

Kajian kes 1 : jualan Proton Saga

khairy jamaluddin lancar proton saga model baru

Model baru Proton Saga telah pun dilancarkan pada tahun 2016 dan mendapat pujian ramai. Menurut CEO Proton, Datuk Ahmad Fuaad Mohd Kenali semasa pelancarannya - kos untuk membangunkan Proton Saga baru dianggarkan dalam lingkungan RM150 juta.

Kos itu rendah berikutan Saga versi baru ini masih menggunakan platform yang sama yang digunakan sejak 2008, dengan perubahan besar dilakukan pada bahagian transmisinya serta mula menggunakan enjin yang sama dengan model Proton Iriz.

Walaupun mempunyai kos pembangunan yang agak rendah, jangkaan Proton untuk mencapai balik kos pengeluaran dianggarkan memerlukan tiga tahun, dengan ramalan angka jualan konsisten 5,000 unit sebulan atau 60,000 setahun.

Realitinya, Proton gagal mencapai angka jualan yang disasarkan walaupun mempunyai produk yang boleh dikatakan menepati permintaan orang ramai. Angka jualan keseluruhan model Proton termasuk Saga bagi tahun 2017 adalah 70,991 unit dengan lebih 30 ribu datang dari model Saga.

Sekiranya angka jualan ini kekal sedemikian rupa, Proton hanya akan berjaya mendapat pulangan bagi model Saga dalam anggaran enam tahun atau lebih - jauh melangkaui ramalan awal Proton. Dengan populariti Perodua Bezza serta kereta sedan jenama Jepun seperti Honda City dan Toyota Vios, jelas sekali model-model Proton agak sukar untuk bersaing dalam pasaran terbuka tanpa campur tangan terus daripada kerajaan, seperti sebelum ini.

Kajian kes 2 : kisah Holden di Australia

kereta terakhir jenama holden dikeluarkan

Kami pernah menulis tentang proses panjang yang dilalui masyarakat Australia dalam menutup industri automotif negara mereka yang telah bertapak lebih 100 tahun di sana. Dengan jumlah penduduk seramai 26 juta orang, pasaran Australia tidak mampu menampung kewujudan jenama automotif tempatan terlalu lama - apatah lagi selepas kerajaan Australia mula meliberalisasikan pasaran kenderaan mereka.

Produk-produk kenderaan daripada negara-negara lain mula membanjiri pasaran mereka, sehingga menyebabkan jenama tempatan seperti Holden terpaksa gulung tikar walaupun turut sama bertindak memasang kenderaan bagi jenama lain. Kos pembangunan dan penyelidikan yang perlu ditanggung terlalu besar bagi pasaran sekecil Australia yang lebih terhad, jika dibandingkan negara kita.

Rakyat Australia juga berbelah bahagi sama seperti kita - ada yang menyokong projek Holden dan ada juga yang merasakan Holden adalah satu pembaziran wang cukai orang ramai. Dengan dana sebanyak AUD1.2 billion (RM3.64 billion) terpaksa disalurkan dalam tempoh 12 tahun bermula pada tahun 2000, Holden terus beroperasi hanya dengan bantuan kewangan daripada syarikat induknya General Motors dan duit cukai warga Australia.

Ini membuktikan tanpa adanya campur tangan kerajaan dalam membantu pengeluar kereta jenama tempatan, sukar untuk sesebuah jenama itu terus bergantung dengan pembeli-pembeli tempatan semata-mata.

Kereta nasional memerlukan perlindungan

gambar kilang proton lama

Semasa pengenalan Proton pada tahun 80-an, kerajaan Malaysia memperkenalkan dasar-dasar yang dilihat cuba membantu pembangunan automotif tempatan. Pengenalan duti-duti ke atas kenderaan jenama luar meningkatkan harga jualan kenderaan lain dan tindakan ini dilihat seperti 'memaksa' pembeli untuk memilih Proton.

Sekiranya dilihat dari aspek positif, memang nampak hujahnya kenapa kerajaan perlu berbuat demikian dalam menyokong serta menyemarakkan angka jualan Proton. Selain itu, Proton dan Perodua juga dilihat saling sokong menyokong antara satu sama lain, di mana Proton memfokuskan pengeluaran kepada kereta bersaiz besar sementara Perodua hanya mengeluarkan kereta bersaiz kecil.

Sistem itu berkesan untuk satu tempoh yang agak panjang namun dari satu sudut lain, persaingan terkawal ini mengehadkan pilihan pengguna.

Setelah sekian lama dihadkan, sudah tiba masanya rakyat Malaysia memandang isu ini dari sudut pengguna - mahukah kita kembali ke sistem tersebut? Secara jujur saya katakan pada pendapat peribadi saya; saya tidak mahu.

Kereta sebagai simbol negara masih relevan?

perdana menteri lancarkan proton saga bersama kenji iwabuchi

Meletakkan kereta sebagai satu simbol nasionalisme atau patriotisme mungkin sesuai dilakukan semasa era 80-an apabila negara kita bermula daripada kosong dalam industri automotif. Proton diletak sebagai satu simbol yang perlu diangkat dan disokong, dengan rakyat Malaysia diminta mengorbankan diri untuk memastikan Perusahaan Automobil Nasional pertama negara berjaya.

Bagaimanapun, era itu sudah berlalu dan sokongan orang ramai rasanya sudah terlalu lama ditagih, dengan ramai sudah dikecewakan. Masalah demi masalah yang menimpa pengguna Proton kerap kedengaran. Rungutan berkenaan tingkap sisi Proton sudah jadi satu legenda masyarakat kita. Isu 'Proton kuat makan minyak' juga sehingga kini belum dapat diselesaikan apatah lagi apabila dibandingkan dengan kenderaan keluaran Perodua.

Apa yang ingin saya nyatakan, saya membantah sekiranya kerajaan mengambil jalan yang sama seperti dahulu dalam membangunkan semula perusahaan automobil nasional yang ketiga.

Langkah yang sama adalah satu langkah ke belakang. Berdasarkan apa yang sudah berlaku pada Proton, adalah lebih baik kaedah lain diperkenalkan sekiranya kerajaan benar-benar berhasrat mahu memperkenalkan kereta nasional baru, yang tidak menjadikan pilihan orang ramai sebagai mangsa.

Kehendak negara vs kehendak pengguna

kereta proton saga yang telah disiapkan

Saya mungkin tidak mewakili suara majoriti rakyat Malaysia yang berpopulasi 33 juta orang dalam isu kereta nasional baru ini. Memang diakui pembukaan industri berat mampu mencipta peluang pekerjaan baru, tetapi perlukah negara kita mempunyai 3 jenama kenderaan sendiri dengan potensi pasaran yang sebenarnya agak terhad?

Proton sudahpun memainkan peranannya dalam pembangunan negara kita. Kita boleh menilai sendiri baik buruk yang datang dengan agenda kerajaan itu. Apa yang saya ingin sampaikan, percubaan pertama berakhir dengan keadaan tidak menentu, apa pula perubahan yang akan membezakan projek baru dengan yang terdahulu?

Kereta sebagai simbol nasional sudah kurang relevan untuk dibincangkan semula.

Seandainya langkah sama yang diperkenalkan dahulu dikitar semula dan cadangan-cadangan untuk membina sistem pengangkutan awam untuk kegunaan semua dilupuskan satu per satu, tidakkah itu menarik Malaysia ke belakang beberapa dekad?




Hakcipta iluminasi.com (2017)