Jenama Proton telah menempa sejarah besar sebagai pengeluar otomobil nasional pertama Malaysia.

Dengan sokongan kerajaan, Malaysia menjadi satu-satunya negara Asia Tenggara dekad pelancarannya mampu mengeluarkan kenderaan di bawah jenama sendiri.

Bagaimanapun, sokongan yang diterima juga membuka Proton kepada banyak cemuhan, kritikan serta teguran - yang akhirnya menyumbang kepada reputasi bercampur aduk akibat pujian dan stigma masyarakat pelbagai beza.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kesannya, banyak model keluaran Proton boleh dikatakan perlahan dari segi angka jualannya, berbanding pesaing utamanya. Tetapi jika dilihat kembali, seburuk mana pun keluaran Proton - legasinya kepada kita tetap berbekas impaknya.

1. Proton Iriz

proton iriz gagal saingi myvi

Proton Iriz sering dilihat gagal jika dibandingkan secara terus dengan seteru utamanya, Perodua Myvi. Kegagalan bersaing dalam aspek spesifikasi dan jualan mengakibatkan Iriz dilihat pilihan kurang bijak di kalangan pengguna.

Realitinya hanya mereka yang memandu kedua-dua model ini dalam tempoh yang lama faham di mana kekuatan Iriz.

Iriz sejak edisi pertama memang kalah dalam aspek spesifikasi tetapi asasnya kuat pada pemanduan. Kerusinya jauh lebih selesa untuk pemandu berbanding pesaingnya.

Jualan Perodua Myvi pula seakan tidak terkesan walaupun sering kali digelarkan sampan jalanan.Memang memandu Myvi terasa seperti sampan, yang mudah hilang kawalan atas jalan bila kelajuan mencecah 105km/j.

Iriz tidak memberikan pengalaman serupa. Tubuhnya stabil mengambil selekoh dengan bergaya. Bawa 140km/j ke atas pun, selesa. Badan kita juga tak letih kalau perlu memandu lama. 

2. Proton Satria

1997 proton satria lama

Dalam era di mana pengguna sudah beralih kepada rekaan kenderaan praktikal, Proton memilih  mengekalkan rekaan asas Proton Satria lama; membuatkan model Satria Neo kekal kenderaan berpintu dua.

Ini adalah kesilapan utama Proton dalam membangunkan model ini, mengabaikan permintaan peminat yang mahu Satria versi 4 pintu dikeluarkan. Memang terbongkok-bongkok mak penulis nak masuk duduk di kerusi belakang.

Sekiranya kita menilai Satria daripada nilai praktikal, jelas kita yang tidak faham apa tujuannya dibangunkan Proton; Satria adalah kereta orang muda! Mungkin juga untuk orang tua berjiwa muda!

Pemanduannya sedap, setiap selekoh diratah seolah makanan ruji. Penulis tak pernah memandu Satria Neo, tetapi Satria versi lama sahaja. Bawa Satria ni rasa macam kita mengemudi sebuah kereta rali keluaran Malaysia.

DNA perlumbaan rali Mitsubishi Colt yang diketahui model asasnya, memang terasa tapi sayang pengguna tidak berapa menggemari kelemahan dua pintunya.

3. Proton Savvy

proton savvy model amt

Sebelum muncul Iriz, Savvy muncul lebih awal cuba bersaing dengan Perodua Myvi; raja jalanan atau King di Malaysia.

Reka bentuknya agak aneh, kerana DNA Perancis-nya terpampang ketara.

Proton Savvy dicemuh orang kerana dua perkara; pertama, harga alat ganti tulen mahal kerana menggunakan peralatan dari Eropah dan yang kedua, sistem gear AMT-nya dikatakan mengundang masalah.

Seperti Iriz, Savvy tetap memberikan pemandunya keseronokan pengalaman memandu. Rekaan dalamannya walaupun agak sempit untuk penulis yang berbadan sado, sangat sesuai dengan identiti kereta tersebut.

Spesifikasi Savvy terkenal melangkaui zaman.

Model Proton Saga yang masih dikeluarkan sehingga ke hari ini, masih menggunakan sistem casis Proton Savvy menjadi bukti Savvy gagal dalam pasaran bukan disebabkan spesifikasi, tetapi kerana taktik pasaran yang kurang menjadi. 

Di kalangan peminat kereta Proton, Savvy kekal menjadi antara kereta kultus yang masih menjadi rebutan ramai.

4. Proton Arena

proton arena jumbuck

Siapa masih ingat dengan Proton Arena?

Pada awal keluarannya, kenderaan ini dicemuh bermacam kritikan. Untuk apa? Siapa nak beli? Macam Wira potong sambung badan lori dan bermacam lagi kritikan yang tak membina.

Kemunculannya mengejutkan pasaran Malaysia kerana tiada siapa menjangka Proton gila mengeluarkan sebuah kereta pikap dalam era di mana permintaan untuk model sebegini belum benar-benar ada.

Itulah yang berlaku. Arena gagal dalam pasaran tempatan, lebih berjaya di negara luar seperti United Kingdom dan khususnya Australia, di mana Proton Arena dijenamakan semula sebagai Proton Jumbuck dan jualannya membuatkan Proton tersenyum bangga.

Arena direka sebagai kenderaan untuk peniaga, diharapkan dapat membantu peniaga memiliki sendiri kenderaan runcit yang murah dan mudah diselanggara.

Sayang sehingga ke hari ini belum ada penggantinya. Kalau ada Arena versi 2023, kami yakin ramai yang akan berangan nak memilikinya.

5. Proton Juara

proton juara legenda permotoran

Mesin basuh! Peti ais! Van kotak!

Di kalangan kesemua produk keluaran Proton, Juara dilihat sebagai kambing hitam Proton yang menjadi magnet cemuhan utama. Pengeluarannya juga penuh kisah kontroversi, didakwa sebagai model yang dikeluarkan Proton secara terpaksa akibat perlu akur perjanjian dengan Mitsubishi.

Diklasifikasikan van pertama keluaran Proton yang dirasmikan tahun 2001, dari segi luarannya saja memang mengundang kata-kata nista.

Rupanya pada zaman tersebut, aneh, buruk dan kelakar pada mata kita.

Tetapi lihat dalam pasaran sekarang, lihat sendirilah bagaimana ramai berlumba nak beli Honda N-Box, sebuah model terpakai dari Jepun yang sama saja asasnya dengan Proton Juara.

Peti ais bergerak kini menjadi idaman ramai rakyat kita pula.

Ketika ini pengurusan Proton tampak selesa mengimport masuk kereta China dan menjenamakannya semulaa, jadi tak ada harapanlah untuk kita melihat adakah akan ada kemunculan semula Proton Juara 2.0 yang lebih mirip idea asli orang Jepun.

Kalau ada pasti anda akan melihat penulis berdiri depan sekali dengan wang cengkeram dalam tangan, berebut nak mendapatkannya selepas dah berkeluarga ni.




Hakcipta iluminasi.com (2017)