Kredit foto: Instagram Datuk Seri Najib Razak

"Tak sangka Perdana Menteri 'sporting' apabila turut melentokkan kepalanya."

Demikian kata pelawak dan aktor Zizan Razak, mengulas fotonya bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di majlis Minggu Media Sosial Malaysia 2017.

Pada majlis itu, aktor berusia 33 tahun ini dianugerahkan Anugerah Ikon Media Sosial 2017 yang disampaikan Perdana Menteri.

"Sebenarnya, saya tidak menjangka akan menerima pengiktirafan ini dan tetap hadir walaupun sibuk," katanya lagi.

Di kesempatan itu, Zizan melahirkan rasa teruja kerana mendapat penghargaan untuk bertemu Najib.

"Terharu anugerah ini disampaikan sendiri Perdana Menteri,” beritahunya.

Aktor itu menjelaskan tindakannya melentokkan kepala di bahu Najib dibuat atas rasa penghargaan dan tidak mempunyai sebarang niat untuk bergurau.

"Bagi saya tindakan itu tidak salah kerana ia sebagai tanda kasih sayang dan menghargai anugerah yang diberikan. Malah, beliau turut melentokkan balik kepalanya," dedahnya.

Foto yang menjadi tular itu turut dimuat naik Najib di akaun Instagramnya.

najib razak muat naik foto zizan di instagram 2

Kredit foto: Instagram Datuk Seri Najib Razak

"Abang Long Fadil jumpa #DaBoss manja-manja lentok kepala pula," tulis Perdana Menteri menerusi kapsyen.

Zizan yang diikuti 4.4 juta pengikut di laman sosial itu memberitahu dia menggunakan medium tersebut untuk mewar-warkan aktiviti seninya.

"Saya tidak menyalah guna media sosial. Walaupun dikecam netizen, saya tidak cepat melatah sebaliknya menganggap ia dugaan kecil anak seni,” jelasnya.

Sumber berita: Harian Metro




Hakcipta iluminasi.com (2017)