Oleh pada 29 Jan 2018 kategori

Sumber foto: Kosmo Online

"Saya mungkin akan menyewa kedai lain selepas ini kerana masih trauma dengan kejadian yang berlaku," ujar peniaga dalam talian yang cedera ditembak Jumaat lalu. 

Menerusi kejadian samun pukul 11.30 malam itu, Mohd Irfan Abdullah (26 tahun) ditembak oleh beberapa penjenayah di kedai kepunyaannya sendiri di Banggol Kulim, Rantau Panjang.

Disebabkan insiden berkenaan, mangsa mengalami kerugian RM230,000 setelah kehilangan barang kemas berjumlah RM150,000 dan wang tunai RM80,000.

Mangsa difahamkan acapkali memperlihatkan wang tunai dan barang kemasnya di akaun Facebook.

mohd irfan abdullah peniaga online ditembak

Sumber foto: Kosmo Online

"Apa yang berlaku masih terbayang dalam fikiran saya. Saya tidak menyangka kehadiran tiga lelaki bertopeng yang mengaku sebagai pelanggan rupanya mempunyai niat tertentu.

"Kami bercakap selama 10 minit sebelum perompak itu mengugut supaya saya menyerahkan barangan berharga, termasuk wang tunai.

"Mereka kemudiannya mengambil barang kemas dan wang tunai sebelum melepaskan satu das tembakan yang terkena di kaki saya," jelasnya sewaktu ditemui di Kota Bharu semalam.

Tambah Mohd Irfan, beliau segera menghubungi kakaknya bagi mendapatkan pertolongan biarpun penuh kesakitan serta berlumuran darah.

Menurut Mohd Irfan yang sedang menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), dia kini stabil selepas menjalani pembedahan memasukkan besi pada bahagian betis kanannya sekitar pukul 11 pagi kelmarin.

Jelasnya, dia mahu merehatkan seketika perniagaannya supaya betul-betul sembuh daripada kesan tembakan itu.

“Selepas sembuh, saya akan kembali meneruskan perniagaan kerana ia me­rupakan punca pendapatan saya," katanya.

Sumber berita: BH Online & Kosmo Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)