Terdapat pelbagai cara untuk memperolehi wang bagi meneruskan hidup, sama ada bekerja keras, dilahirkan kaya atau sekadar bernasib baik. Namun, ada juga yang suka memilih jalan pintas dengan mengambil hak orang lain tanpa kerelaan.

Itulah jalan yang dipilih oleh orang yang melakukan rompakan yang terhebat dalam sejarah. Ada antara mereka yang terlepas, ada yang ditangkap dan ada juga yang hanya kaya untuk sementara waktu sahaja. Kami ingin kongsikan kepada anda beberapa rompakan terhebat yang pernah terjadi:

BESARKAN TEKS     A-  A+

10. Rompakan Muzium Isabella Gardner

  muzium isabella gardner

Rompakan yang merupakan salah satu daripada kecurian hasil seni terbesar ini juga merupakan salah satu kes popular yang belum selesai. Kejadian itu berlaku di Muzium Isabella Gardner di Boston pada 18 Mac 1990. Dua lelaki berpakaian seragam polis datang dan memperdaya pengawal keselamatan yang bertugas dan kemudian mengikat mereka sebelum melarikan beberapa hasil seni bernilai jutaan dolar.

Salah satu hasil seni terkenal yang dicuri ialah hasil lukisan Rembrandt iaitu “Storm on the Sea of Galilee” dan juga potret dirinya sendiri. Hasil seni itu masih belum ditemui dan pihak muzium masih menawarkan ganjaran sebanyak $5 juta bagi sesiapa yang mempunyai maklumat sehingga ia berjaya dijumpai semula. Jumlah hasil seni yang disonglap itu dianggarkan berjumlah $500 juta.

9. Pencuri Permata Graff

permata graff

Kisah ini membuktikan bagaimana sesuatu perancangan yang rapi juga boleh menjadi gagal. Sekumpulan lelaki yang merompak kedai permata Graff pada bulan Ogos 2009 telah membuat banyak persiapan dan rancangan rapi untuk melepaskan diri termasuklah mengupah tukang mekap profesional untuk memakai wajah prostetik.

Mereka memberikan alasan ia untuk sebuah rakaman video muzik. Setelah itu dengan bersahaja mereka masuk ke dalam kedai sambil mengacukan senjata api kepada pekerja dan membawa lari 43 barangan kemas bernilai lebih RM214 juta. Mereka juga merancang bertukar-tukar kenderaan untuk melarikan diri agar sukar dikesan polis. Namun demikian, satu kesalahan kecil telah menyebabkan rancangan mereka terus menemui kegagalan.

Ini terjadi apabila seorang daripada ahli kumpulan itu tertinggal telefon bimbit di dalam salah sebuah kenderaan menyebabkan semuanya dapat dijejaki dan diberkas. Ketua kumpulan itu, Aman Kassaye, dijatuhkan hukuman penjara 23 tahun manakala 3 rakan subahatnya dijatuhkan hukuman 16 tahun penjara setiap seorang. Walaupun begitu, sehingga kini barang kemas yang dicuri itu masih belum ditemui.

8. Rompakan Kasino Stardust

  kasino stardust 78

Sememangnya diketahui ramai bahawa kasino di Las Vegas adalah antara tempat yang paling sukar untuk dirompak. Akan tetapi, ada juga beberapa pihak yang begitu berani mencuba dan ada antara mereka yang berjaya termasuklah Bill Brennan, seorang lelaki biasa yang tidak disyaki oleh sesiapapun mampu melakukannya.

Dia merupakan seorang pekerja di kasino Stardust dan pada September 1992 semasa sedang bertugas, dia seperti biasa keluar untuk makan ketika waktu rehat. Namun, dia tidak lagi kembali bekerja selepas tamat waktu rehat. Pihak kasino kemudian menyedari kehilangan sejumlah cip dan wang bernilai lebih $500,000.

Ini merupakan rompakan kasino terbesar sekali dalam sejarah. Ia agak mengagumkan walaupun hanya ‘semudah’ itu. Ada khabar angin mengatakan Bill telah menghilangkan diri dengan wang itu ada juga yang mengatakan dia mati dibunuh salah seorang pengawal keselamatan kasino itu yang juga rakan subahatnya.

7. Rompakan Banco Central

banco central 387

Pemegang Rekod Dunia Guinness dalam rompakan terbesar ialah pada tahun 2005 oleh sekumpulan perompak di Brazil. Mereka berjaya membawa lari wang tunai berjumlah R$164.755 juta (RM180 juta) dalam bentuk not 50 Real yang keseluruhannya seberat 3.5 tan.

Mereka menggunakan cara klasik untuk menjalankan rompakan ini dengan mengorek terowong di bawah tanah sejauh 78 meter untuk sampai ke bilik kebal bank.

Apa yang berlaku selepas kejadian itu lebih menggemparkan. Seorang suspek rompakan iaitu Luis Fernando Ribeiro dijumpai mati dua bulan kemudian. Beberapa suspek lagi diculik dan hilang tanpa jejak, sebahagiannya dilakukan oleh anggota polis (polis di Brazil terkenal dengan caranya yang ganas dan melampaui undang-undang).

Akhirnya, hanya R$9 juta sahaja yang berjaya ditemui semula namun desas-desus mengatakan itu adalah alasan yang direka pihak polis yang mungkin terlibat mengambil wang selebihnya.

6. Rompakan Pameran Damiani

damiani

Pada tahun 2008, satu bilik pameran barangan kemas di Milan telah dipecah masuk. Pencuri telah membina sebuah terowong bawah tanah untuk menembus masuk ke dalam kawasan pameran. Namun mereka telah tersalah langkah dalam membuat percaturan.

Perompak-perompak yang menyamar sebagai polis palsu telah memilih malam Anugerah Oscar untuk melakukan rompakan kerana beranggapan pemilik lokasi akan berada di Los Angeles untuk menghadiri majlis itu. Walau bagaimanapun, mereka tidak menjangka bahawa sebahagian besar barangan kemas yang bernilai di situ juga dibawa bersama untuk diragakan oleh para selebriti Hollywood. Salah satunya adalah gelang tangan bertahtakan 1,865 butir berlian yang dipakai oleh Tilda Swinton.

Walaupun tidak banyak barang yang tinggal untuk dirompak, mereka masih berjaya melarikan sejumlah barang kemas bernilai USD 30 juta (RM118 juta). Namun ‘kejayaan’ itu hanya untuk seketika kerana mereka berjaya ditangkap pada bulan Disember dalam tahun yang sama.

5. Rompakan Securitas Depot

securitas depot

Rompakan ini pula merupakan rompakan wang paling banyak dalam sejarah Britain. Sebanyak £53,116,76 (RM284.5 juta) telah dicuri dari depot Securitas pada Februari 2006. Pegawai depot itu telah diculik semasa dalam perjalanan ke tempat kerjanya dan ditempatkan bersama ahli keluarganya yang juga diculik sebelum dibawa ke depot. Di sana, mereka diikat bersama 14 kakitangan depot yang lain.

Selepas kejadian itu, lima lelaki telah disabitkan kesalahan atas tuduhan merompak. Mereka adalah Stuart Royle, Jetmir Bucpapa, Roger Coutts, Lea Rusha dan Emir Hysenaj. Seorang lagi suspek Kayenide ‘Kane’ Patterson masih lagi bebas, kemungkinan besar bersama-sama wang rompakan.

4. Rompakan The Great Brink

the great brink

Ini merupakan salah satu lagi kejadian rompakan yang berlaku di Boston dan dianggap “jenayah abad ini” walaupun kesemua penjenayah terlibat berjaya ditahan FBI. Para perompak telah berlatih dan merancang rompakan itu selama dua tahun sambil menunggu peluang keemasan yang tepat untuk memulakan operasi.

Akhirnya, tepat jam 6.55 petang pada 17 Januari 1950, para perompak telah masuk ke dalam bangunan Brink menggunakan kunci pendua, mengikat kakitangan yang ada dan membawa lari wang tunai USD1.2 juta(RM4.57 juta) serta USD 1.55 juta(RM6.13 juta) dalam bentuk cek. Pihak FBI menghabiskan masa enam tahun untuk menjejaki dan menangkap setiap perompak yang terlibat dan seorang daripadanya terlepas kerana telah meninggal dunia manakala lapan yang lain dipenjarakan seumur hidup.

3. Rompakan Berlian Antwerp

berlian antwerp  

Rompakan ini berlaku di Antwerp, Belgium pada Februari 2003 dan diketuai oleh Leonardo Notarbartolo. Mereka berjaya mencuri barangan kemas bernilai USD 100 juta (RM395.5 juta) menjadikannya sebagai rompakan berlian yang terbesar.

Notarbartolo telah merancang jenayah ini dengan terperinci dan menyewa sebuah pejabat di dalam bangunan yang sama dengan kedai berlian itu selama hampir dua tahun. Ini bagi mendapatkan kepercayaan dan akses mudah untuk masuk dan keluar dari bangunan tersebut. Namun, semua rancangan licik itu hancur lebur apabila dia tertinggal separuh sandwic yang dimakan ketika melakukan rompakan dan polis berjaya menjejakinya berdasarkan keputusan ujian DNA.

Notarbartolo dikenakan hukuman penjara setimpal. Walau bagaimanapun dia dibebaskan lebih awal dengan parol dan mendakwa ada pihak lain yang menyuruhnya melakukan rompakan tersebut.

2. Rompakan penerbangan Lufthansa

lufthansa 653

Kebanyakan rompakan di dalam senarai ini telah menjadi inspirasi untuk dijadikan filem, namun filem terbesar dan paling popular ialah “Goodfellas” arahan Martin Scorsese. Ia berdasarkan kisah sebenar rompakan penerbangan Lufthansa pada tahun 1978. Sasaran mereka adalah peti besi mengandungi wang dolar Amerika yang terdapat di lapangan terbang JFK yang dibawa pulang dari Jerman Barat.

Rompakan ini dirancang oleh Jimmy Burke, seorang yang mempunyai kaitan dengan keluarga jenayah Lucchese. Burke dan rakan subahatnya melakukan rompakan ini dengan begitu lancar sekali dan berjaya membawa lari USD 6 juta (RM23.7 juta). Jumlah ini adalah tiga kali ganda lebih banyak daripada apa yang Burke sasarkan.

Seperti rompakan lain yang gagal, satu kesalahan kecil dilakukan apabila Parnell “Stacks” Edwards tidak membuang van yang mereka gunakan selepas rompakan sebaliknya meninggalkan van tersebut di kawasan larangan parkir. FBI tahu Edwards bersangkut-paut dengan Burke dan mula mengintip Burke namun Edwards dibunuh terlebih dahulu sebelum dia sempat memberikan keterangan.

Keadilan akhirnya terjawab apabila Burke disabitkan dengan kesalahan membunuh Richard Eaton pada tahun 1985 dan meninggal dunia pada tahun 1996 akibat barah paru-paru. Wang rompakan tidak ditemui sehingga kini.

1. Rompakan The Great Train

the great train

Ramai yang mengatakan rompakan ini adalah yang terkenal sekali dalam sejarah. Ia adalah rompakan kereta api yang berlaku pada tahun 1963 di Buckinghamshire, England.

15 orang perompak telah terlibat termasuk Ronnie Biggs yang terkenal dan membawa lari wang berjumlah £2.6 juta iaitu bersamaan dengan £46 juta (RM246.2 juta) wang zaman kini.

Mereka memberi isyarat untuk kereta api itu berhenti secara mengejut sebelum masuk ke dalam gerabak dan meminta wang daripada pengawal. Seperti kesudahan kisah-kisah rompakan lain, mereka akhirnya berjaya diberkas pihak berkuasa dan dijatuhkan hukuman setimpal.

“Manusia hanya mampu merancang. Allah penentu segalanya.”




Hakcipta iluminasi.com (2017)