iluminasi sensitiviti masyarakat

Saya sebenarnya rasa bertuah juga sempat lahir dalam zaman di mana tidak wujud siaran televisyen berbayar. Waktu tu, semua orang tengok benda yang sama. Wayang pun jarang-jarang pergi tengok kerana panggung wayang pada waktu itu tidaklah mesra keluarga sepertimana panggung wayang sekarang.

Dulu waktu sekolah menengah saya boleh tonton filem dalam wayang sambil merokok. Hahahah.

Semenjak munculnya tv berbayar dengan pioneernya Mega TV (kalau anda tertanya apa dia Mega TV ni, harap minta orang lain jelaskan) dan kemudian munculnya Astro yang menguasai pasaran siaran berbayar, pelanggan mula rasa hak mereka sebagai pelanggan syarikat televisyen swasta perlu dipelihara.

iluminasi sensitiviti masyarakat2

Dah mula bayar bulan-bulan, takkanlah kerajaan masih ada kuasa juga nak potong siaran? Bermula dari wujudnya siaran televisyen swasta ini, mentaliti masyarakat kita berubah. Boleh nampak lama kelamaan orang ramai khasnya orang Melayu semakin toleran dan terbuka menerima pengaruh barat yang disiarkan dalam televisyen kerana kerajaan mula melonggarkan sekatan-sekatan.

Adegan cium dah tak ditapis. Adegan simulasi seks dah jadi bahan jenaka komedi Melayu. Adegan rogol dalam drama dan filem juga mula menjalar tanpa tapisan walaupun dipaparkan dengan kaedah yang tidaklah berterus terang apa yang sedang berlaku.

Ramai juga kawan-kawan saya yang mempersoalkan hak kerajaan untuk menapis sesuatu yang kita dah bayar. "Rosak drama dan filem kalau dipotong," kata mereka.

iluminasi sensitiviti masyarakat3

Filem terakhir saya tengok di wayang, Captain America - Civil War. Lamanya tak tengok wayang. Dalam filem tu ada adegan Captain America cium cucu saudara kepada teman wanitanya yang dikenali pada zaman 1940-an. Jangan minta saya jelaskan bagaimana ia boleh berlaku ya?

Saya ketika itu menonton seorang diri sementara ibu bapa berbangsa Melayu di sebelah saya dengan anak-anak menonton bersama, macam tak ada apa pula bila adegan itu ditayangkan. Mungkin anak-anaknya yang terbiasa menonton adegan seperti itu.

Saya lahir pada generasi yang adegan cium masih lagi pantang larang. Anak kami pula sudah lahir atau bakal lahir pada zaman cium mulut adalah tindakan normal untuk menunjukkan kasih sayang secara terbuka dalam media mereka dan fikirkanlah, bagaimana pula anak kepada anak mereka nanti? Mungkin bertambah teruk kalau dibiarkan saja apa yang dah merebak pada kita sekarang.

Kita dah semakin kurang sensitif terhadap sesuatu kerana kita tengok orang barat tidak sensitif. Model masyarakat kita yang sangat majmuk dan sangat berpegang kepada agama tak kiralah apa saja agamanya, dipaksikan kepada model barat yang sensitivitinya sudah agak songsang dan tidak sesuai diaplikasi pada kita.

Mengapakah seolah ada ramai di antara kita yang rasa semakin kita menyerupai barat, semakin cerdik dan moden kita ini?

iluminasi sensitiviti masyarakat4

Wabak ini semakin membarah dalam masyarakat kita sehinggakan ketika kontroversi adegan gay dalam filem Beauty and The Beast tempohari, punyalah banyak reaksi orang Melayu yang saya kenal dan saya tidak mahu sebutkan yang mentertawakan bantahan ke atas filem tersebut.

Reaksi seperti "kami sekeluarga on the way to watch Beauty and The Beast. Hopefully anak kami tak jadi gay esok. (sarcasm)" atau "saya dah tengok filem tu. Saya tak ada pun rasa saya nak meliwat orang" adalah perkara-perkara yang menunjukkan ramai di kalangan kita yang sensitivitinya sudah menipis benar.

Untuk orang-orang seperti ini yang sudah hilang sensitivitinya, jika saya adalah penjaja budaya barat, apa yang saya akan buat adalah saya akan terus suakan hiburan-hiburan yang mengandungi kontroversi supaya mereka ini semakin lama semakin lali. Pastikan kontroversi itu mampu membelah masyarakat.

Wujudkan perpecahan pada masyarakat. Pastikan orang-orang yang sudah hilang sensitiviti ini merasakan diri mereka 'ahead of the curve' atau lebih pandai berbanding orang lain. Bawa agenda yang menunjukkan sesiapa yang membantah agenda saya, adalah orang yang ketinggalan dari segi akal, pendidikan dan juga kemampuan berfikir.

Itulah yang berlaku kan?

iluminasi sensitiviti masyarakat5

Golongan yang sensitif dikata mindanya tak berkembang sementara yang tak punya rasa sensitif dipuji dan dipuja sebagai seorang yang mempunyai minda yang mampu mencerminkan keterbukaan, kepada semua perkara.

Kita dibiarkan berperang sesama kita.

Sampaikan ada yang tak sedar, apa yang dia perjuangkan adalah hak untuk sebuah filem Hollywood ditayangkan di Malaysia tanpa potongan, sekatan dan campur tangan kerajaan. Dia mahu. Dia nak. Dia bangkit melawan. Untungnya, bukanlah pada dia. Seronok 2 jam, kesan buruknya bergenerasi merasa. Yang menyukarkan keadaan, kini industri hiburan Korea dan India pun dah turut sama. Jiran kita di Indonesia dan Singapura pun dah memulakannya. Harap kita tak mula menghalalkan adegan cium dalam filem dan drama negara kita.

Lama kelamaan, generasi ke generasi, insan yang lahir jadilah semakin terbuka menerima segala macam benda kerana sudah biasa terbuka minda. Lahirlah insan yang sensitifnya hanya pada subjek tertentu, tak mampu beza baik dan buruk, tak lagi mahu hiburan berbentuk bersih dan akan cepat melatah apabila kerajaan memperkenalkan sekatan ke atas apa yang dia rasakan "hak dia."

Sehinggalah satu hari nanti, tanpa dia sedar sekatan agama Islam yang dianuti juga, hilang sikit demi sikit ditelan agenda barat, melalui penjajaan karya mereka.


tags : , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)