Oleh pada 19 Aug 2017 kategori

iluminasi melayu

"Ustaz, apa masalah kita sebagai orang Melayu? Mengapa kita tak boleh bersatu?" tanya seorang pelajar.

Ustaz Zaki mengurut dagunya. 

"Saya minta awak semua yang menyokong kerajaan, duduk di sebelah kanan saya dan yang menyokong pembangkang di sebelah kiri saya," kata Ustaz Zaki. "Angkat kerusi kamu dan duduk ikut pandangan awak."

Pelajar-pelajarnya segan-segan mahu bangun tapi kemudian apabila seorang dah mula, mereka semua pun mulalah membahagikan diri mereka. Kedengaran jeritan boo atau gelak ketawa tatkala mereka membahagikan diri mereka.

"Saya neutral Ustaz macam mana?" tanya beberapa orang pelajar. 

"Awak duduk tengah," kata Ustaz Zaki. 

"Woi. Geng tak ada pendirian tu, atas pagar," jerit kedua-dua pihak. 

Ustaz Zaki tersenyum saja. "Baik, sekarang ini saya mahu awak berdua bincangkan satu topik, topiknya adalah 'patutkah arak dan judi dihalang di Malaysia yang berbilang kaum dan agama."

"Oooh...mencabar tu Ustaz, kami pencadang atau pembangkang?" tanya mereka semua.

"Tidak ada pembangkang atau pencadang, masing-masing boleh keluar hujah, saya beri kamu 10 minit. Siapkan hujah kamu, kemudian bentang. Yang neutral pun boleh pilih mana-mana atau nak berkecuali," terang Ustaz Zaki.

iluminasi melayu2

Mereka pun berbincang sesama mereka bagi mencapai satu kata sepakat tak kiralah penyokong kerajaan, pembangkang mahupun atas pagar.

Selesai 10 minit, Ustaz Zaki pun bertanya," baik, kumpulan kerajaan, awak mula dulu."

"Maaf Ustaz, kami tak dapat capai kata sepakat, ada antara kami yang merasakan kita sepatutnya boleh benarkan penjualan arak dan perniagaan judi selagi kawalan dikenakan oleh pihak kerajaan," kata salah seorang dari kumpulan itu. 

"Bagaimana dengan kumpulan kamu?" tanya Ustaz Zaki.

"Kami berpendapat yang dalam mengekalkan prinsip keharmonian negara kita, kita sepatutnya membenarkan penjualan arak dan judi asalkan tidak melibatkan orang Islam," jawab wakil dari kumpulan pro pembangkang.

"Adakah kamu menyokong atau membangkang?" tanya Ustaz Zaki.

"Kami menyokong bersyarat Ustaz," jaqab mereka.

"Awak dari kumpulan kerajaan, sebenarnya menyokong atau membangkang?" tanya Ustaz Zaki.

"Tengah-tengah Ustaz," jawab mereka.

"Tak boleh tengah-tengah, awak kerajaan awak kena buat keputusan," balas Ustaz Zaki.

"Kalau macam tu, kami membantah Ustaz, kerana kami undi tadi, lebih ramai yang bantah," jawab mereka.

Sengih saja Ustaz Zaki.

"Kamu pula bagaimana?" tanya Ustaz Zaki sambil memandang kumpulan atas pagar.

"Kami lebih condong ke arah pandangan pembangkang Ustaz. Kami rasakan hak untuk bukan Islam sepatutnya tidak diganggu, ini pada kami akan lebih menjaga hubungan antara kaum," kata mereka.

"Baik," kata Ustaz Zaki. "Jelaskan pada saya tentang arak dan judi berdasarkan apa yang kamu faham."

"Tidak baik Ustaz."

"Membazir Ustaz."

"Arak adalah ibu segala maksiat."

"Judi ini mampu memusnahkan hidup seseorang sekelip mata."

"Risiko memandu lepas minum arak bahaya Ustaz."

Ada banyak lagi pandangan-pandangan negatif yang muncul dari mulut semua pelajar dan Ustaz Zaki catitkan satu persatu di papan putih.

"Banyaknya kesan buruk!" kata mereka.

"Benar. Jadi mengapa, bila diperdebatkan tentang arak dan judi tadi, lebih ramai yang bersetuju tidak dihalang penjualan atau aktivitinya di Malaysia?" tanya Ustaz Zaki. "Ada sesiapa boleh jelaskan?"

Mereka semua diam sambil memandang satu sama lain. Selang setengah minit, barulah seorang mengangkat tangan.

"Kerana kita membincangkan arak dan judi dari pandangan bukan Muslim?" jawab dia.

"Betul," kata Ustaz Zaki. "Kenapa itu berlaku? Adakah pandangan anda sebagai seorang Muslim tidak penting? Kita berbincang tentang arak dan judi. Sesiapa yang rasional, tak kiralah agama apa pun dia, pun sedar keburukannya."

Mereka mengangguk.

"Adakah anda merasakan pandangan anda sendiri tak relevan?" tanya Ustaz Zaki.

Mereka menggelengkan kepala.

"Mengapa? Kita semua setuju tentang perihal keburukan arak dan judi, tapi kita tak mampu bersatu dalam hal melarang berleluasanya arak dan judi. Apa sebabnya?" soal Ustaz Zaki.

"Kami tak tahu kenapa Ustaz. Mungkin kerana kami mahu mengamalkan toleransi antara kaum," jawab mereka.

"Benar. Tetapi mana yang salah dan yang betul perlu kita pegang, kan?" kata Ustaz Zaki. 

iluminasi melayu3

"Habis, apa yang kami patut buat Ustaz? Apa yang Ustaz akan buat jika Ustaz berada dalam situasi itu?" soal pelajar-pelajarnya.

"Percayalah yang pandangan kita itu relevan dan biarkanlah mereka yang memperjuangkan apa yang mereka nak. Kenapa kita atas dasar toleransi, nak juga turut serta berjuang untuk sesuatu yang kita tak setujui?" tanya Ustaz Zaki.

Mengangguk pelajarnya.

"Sekali kita sokong sesuatu yang kita sendiri tahu tidak baik pada kita, itu dah menjadikan pandangan kita sendiri tidak relevan, atas tindakan kita sendiri," terang Ustaz Zaki. 

"Itulah masalah kenapa orang Melayu tak bersatu. Masing-masing lebih gemar berfikir mementingkan orang lain sehinggakan akhirnya tak sedar, menjerat diri sendiri," kata Ustaz Zaki.

Sambung Ustaz Zaki, "tapi, dengan orang melayu lain, kita berani," 

"Bila pula tu Ustaz?" tanya pelajarnya tertanya-tanya.

Ustaz Zaki memandang pelajarnya. 

"Tadi, masa saya suruh awak bahagi ikut kumpulan, saya nampak awak semua mengejek-negejek kumpulan satu lagi bila ada yang tak masuk kumpulan awak."

Diam pelajar-pelajarnya. 

"Faham tak sekarang, kenapa Melayu tak bersatu?"


tags : , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)