festival manggahan filipina mango guimaras

Di negara kita, setiap kali tibanya musim mangga berbuah - jutaan peminat buah mangga akan mula mencari mangga Harumanis, hasil keluaran negeri Perlis yang cukup terkenal. 

Buah mangga Harumanis mempunyai rasa dan aroma yang unik dan sedap, membuatkan pasaran buah tersebut cukup luas, menyumbang kepada harganya yang tinggi dalam pasaran disebabkan hanya berbuah sekali setahun. Usaha untuk memperkembangkan kawasan tanamannya setakat ini masih berdepan bermacam masalah.

Selain Malaysia dan mangga Harumanis, jiran kita Filipina juga terkenal dengan versi mangga mereka yang dikenali sebagai mangga Guimaras.

Industri pertanian menjadi salah satu cabang utama ekonomi negara mereka, memaksa kerajaan Filipina 'melindungi' pasaran mangga Guimaras dengan pengenalan bermacam jenis kawalan undnag-undang.

Mangga Guimaras - mangga termanis dunia?

mango guimaras best in the world

Pertanian menjadi salah satu agenda utama dalam sektor ekonomi Filipina, diletakkan sebagai salah satu cabang fokus rancangan pembangunan Filipina 2017-2022.

Visi kerajaan mereka mahu meningkatkan penglibatan usahawan kategori pertanian, perladangan dan perikanan dalam gerak kerja ekonomi dengan menjadikan sektor tersebut sebagai daya penarik utama pelancongan, debfab beras, pisang dan mangga khasnya dijadikan fokus utama.

Wilayah Kepulauan Guimaras yang terletak di bahagian tengah Filipina, sangat terkenal sebagai kawasan penanaman utama buah mangga dengan lebih 80,000 pokok telah pun diiktiraf mencapai standard daripada jumlah 275,000 pokok kesemuanya - mengeluarkan hasil buah mangga Guimaras yang cukup terkenal dengan kemanisannya.

Hasil buah di Guimaras sebanyak 80% dieksport untuk pasaran luar sebagai sumber ekonomi penduduk setempat, daripada jumlah keseluruhan lebih 11,500 tan. Selebihnya pula dinikmati penduduk setempat berikutan bekalan yang mencukupi mampu menampung permintaan penduduk, pada harga yang sangat berpatutan.

Ada pihak mendakwa pada tahun 1995, Guinness Book of Record telah mengiktiraf mangga keluaran Filipina sebagai yang termanis dalam dunia namun carian di laman web rasmi pengendali rekod tersebut, tidak lagi menemui rekodnya.

Akta melindungi kepentingan hasil tanaman kebangsaan

institut penyelidikan mangga jordan guimaras filipina nmrdc

National Mango Research and Development Center atau NMRDC ditubuhkan oleh kerajaan Filipina bagi membantu usahawan mangga melindungi serta memperkembangkan hasil tanaman mereka.

Dalam memastikan hasil mangga setiap tahun terus konsisten dari segi kualiti dan kuantitinya, kerajaan Filipina sejak tahun 1993 semasa pemerintahan Presiden Fidel Ramos, telah mewartakan undang-undang khas bagi melindungi kawasan tersebut.

Keseluruhan Kepulauan Guimaras diisytiharkan sebagai Zon Kuarantin Khas, di mana orang luar tidak akan dibenarkan sama sekali membawa masuk buah atau biji benih mangga dari luar ke dalam zon tersebut.

Selain itu usaha besar-besaran bagi membasmi dua serangga utama buah mangga dari jenis mango pulp weevil dan mango seed weevil menjadi tanggungjawab penuh kerajaan. Undang-undang yang dikenali sebagai Proklamasi No. 314 ini diperkenalkan bagi memastikan serangga musuh utama buah mangga serta baka mangga yang ditanam di situ terus terpelihara.

Semua buah-buahan yang dibawa masuk ke kepulauan itu perlu menjalani pemeriksaan terlebih dahulu oleh pihak berkuasa, disediakan dana khas setiap tahun dalam belanjawan kerajaan dalam menjamin status zon perlindunagn di zon tersebut tidak terjejas.

Budaya meraikan mangga masyarakat Filipina

festival manggahan filipina

Masih ingat bagaimana kami katakan setiap kali tiba musim mangga, setiap lapisan masyarakat Filipina mampu menikmati hasil tanaman mereka - berbeza dengan kita yang terpaksa melopong melihat tingginya harga Harumanis dalam pasaran?

Setiap tahun di Guimaras, akan diadakan perayaan selama 2 minggu lamanya bagi meraikan hasil yang mereka terima tahun tersebut, dikenali dengan nama Festival Mangga atau 'Manggahan Festival.'

Tradisi yang dimulakan sejak tahun 1993 di Guimaras, diperkenalkan oleh (bekas) Gabenor mereka Emily Lopez bagi meraikan pengisytiharan kawasan tersebut sebagai sebuah wilayah turut sama mula menjadi festival meriah bagi meraikan musim mangga.

'Manggahan Festival' dimulakan dengan perlumbaan motorsikal 'Jelajah Guimaras' sejauh 111 kilometer sebagai aksi pembuka selain festival muzik, tarian, jualan dan pameran dibuat sebagai pengisi majlis.

Bagi mereka yang betul-betul nak makan mangga pula, ada penganjur yang membuka penyertaan acara makan bufet buah mangga tempatan dengan kadar bayaran sebanyak 100 peso atau RM8.63 seorang.

Setiap orang akan diberikan masa 30 minit di mana dia boleh makan sebanyak mana pun mangga yang dia mahu.

Marilah kita sama-sama doakan agar projek tanaman Harumanis di Perlis dapat diperkembangkan, sehingga mampu mendatangkan pulangan menguntungkan kepada pengusahanya dan dalam masa yang sama, mampu dinikmati segenap lapisan masyarakat kita.

Sekiranya kita dapat membudayakan Harumanis dalam siri festival masyarakat kita, tak susah untuk membayangkan kita mempunyai tradisi setahun sekali beramai-ramai berkunjung ke Perlis untuk menikmati bufet Harumanis.

Penulis sanggup meredah perjalanan itu kalau harganya RM10 satu kepala. Jual mahal kepada orang luar, berilah makan murah-murah kepada orang tempatan.



Hakcipta iluminasi.com (2017)