Kredit foto: Instagram Irfan Haris

Penyanyi remaja, Irfan Haris menyusul dengan single terbaru berjudul 'Hilang' selepas meraih perhatian besar menerusi dua single popular terdahulu, 'Redha’ dan ‘Pesan’.

Pertaruhan kali ini lebih bermakna buat adik kepada penyanyi Amira Othman itu kerana merupakan karya ciptaannya sendiri bersama abang beliau, Haikal Iskandar.

Dedah Irfan, lagu yang telah dilancarkan secara rasmi pada 9 Februari itu merupakan ilham spontan ketika dirinya dan Haikal sedang duduk bermain piano.

“Saya sangat teruja dengan kemunculan single terbaru ini kerana ia adalah kolaborasi saya dengan abang sendiri.

“Idea menulis lirik dan menggubah melodinya berlaku secara spontan sekitar Jun tahun lalu ketika kami duduk bermain piano.

“Haikal tiba-tiba mendapat melodi dan dari situ kami kembangkannya selain liriknya juga secara spontan.

“Ia proses yang menyeronokkan disamping memberi kepuasan berbeza kerana ia adalah lagu ciptaan saya dan abang!,” ujarnya.

Irfan berkata, lirik 'Hilang' ditulis berdasarkan kisah pengalamannya, justeru tidak sukar untuk menjiwai lagu itu ketika sesi rakaman.

“Lagu ini memang ada kena mengena dengan saya. Biasalah zaman remaja banyak ‘cinta monyet’ dan saya gunakan pengalaman itu untuk dijadikan sebuah lirik dan lagu.

“Ia masih mengekalkan genre balada seperti mana dua single terdahulu saya namun ‘Hilang’ istimewa kerana ia datang dari saya sendiri untuk semua peminat,” katanya.

Dalam masa sama, penyanyi berusia 17 tahun ini akui gementar menunggu respon peminat terhadap karya sulungnya itu, begitupun yakin akan sambutan baik yang bakal diterima.

Menurut Irfan, 'Hilang' akan menjadi titik permulaan kepada perkembangan kerjayanya dalam bidang penulisan dan gubahan lagu.

Dalam pada itu, muzik video single itu telahpun disiapkan di mana proses penggambarannya berlangsung dua minggu lalu.

Arahan pengarah Izuan Mokhtar, para peminat boleh menonton muzik video lagu ini di laman Youtube. Ia dimuatnaik secara serentak dengan pelancaran single.

Diterbit dan diedarkan oleh Seventeen Eleven Music Sdn Bhd, 'Hilang' juga boleh didapati menerusi platform Spotify, iTunes, Apple Music, Joox, Kkbox dan Deezer.

Sumber berita: Sinar Harian




Hakcipta iluminasi.com (2017)