Apabila membeli minuman susu di pasaran, seringkali kita akan perasan tulisan di kotak susu tersebut menyatakan ianya telah dipasteur. Apakah itu pasteur? Apakah fungsi dan kelebihannya?

Pada masa kini, hampir kesemua air minuman yang dijual biasanya akan dipasteur untuk menghalang pertumbuhan bakteria di dalam cecair tersebut, seterusnya mengelakkan sebarang penyakit yang disebabkan oleh mikroorganisma ini. Ciri-ciri susu yang organik dan kaya dengan nutrien, ianya sangat mudah tercemar dengan kewujudan bakteria ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kini, hanya susu yang sudah dipasteur sahaja disahkan selamat oleh FDA untuk diminum. FDA atau Federal Drug Administration adalah agensi kerajaan dibawah  Jabatan Kesihatan Manusia dan Perkhidmatan Manusia Amerika Syarikat. Walaupun dengan kemajuan teknologi yang wujud pada masa kini, adalah mustahil untuk memastikan susu yang dijual steril sepenuhnya memandangkan ianya akan melalui pelbagai proses daripada ladang ternakan sehinggalah ke kilang pembungkusan.

Selama berabad lamanya, pelbagai penyakit telah disebabkan oleh susu yang tercemar. Penyakit-penyakit seperti tuberkolosis, salmonella dan demam kepialu yang berpunca daripada susu yang tercemar ini telah membunuh ratusan ribu manusia setiap tahun pada abad ke 20. Walau bagaimanapun, dengan penggunaan proses pempasteuran yang sudah diperluas, jumlah kematian akibat susu yang tercemar ini berjaya dikurangkan dengan drastik sekali.

Sejarah penciptaan proses pasteur

louis pasteur 175

Pada pertengahan abad ke 19, seorang saintis dari Perancis bernama Louis Pasteur telah membuat kajian untuk mengetahui punca wain dan arak menjadi masam ketika proses penapaian. Hasil kajiannya mendapati rasa masam tersebut adalah disebabkan oleh kewujudan mikroorganisma dan kuman yang menukar alkohol kepada asid asetik.

Kehadiran mikroorganisma ini menyebabkan wain dan arak mudah rosak dan berasa masam seperti cuka. Atas rasa tanggungjawabnya untuk memastikan wain dan arak lebih tahan lama, beliau melakukan beberapa siri ujian termasuklah proses pemanasan secara beransur-ansur dan diikuti oleh proses penyejukan drastik cecair sehingalah kuman dan mikroorganisma ini dapat dibunuh.

Maka lahirlah proses pasteur, diambil sempena namanya. Bagaimanakah beliau mendapat idea untuk melakukan proses pasteur ini?

proses pempasteuran

Pada tahun 1854, beliau memulakan kerjaya sebagai professor di University of Lille dan Dean bagi Fakulti Sains. Disinilah beliau telah memulakan kajiannya untuk mengetahui penyebab kerosakan minuman alkohol yang menyebabkannya berasa masam. Pada tahun 1856, beliau telah diberikan tugasan untuk mencari penyebab yang menyebabkan minuman beetroot beralkohol rosak.

Hasil penyelidikannya, beliau dapati bukan sahaja yis, tetapi satu mikroorganisma yang bernama Acetobacter aceti merupakan penyebabkan kerosakan minuman ini dengan menukar alkohol kepada asid asetik. Berdasarkan beberapa siri eksperimen bersistematik yang dijalankannya, beliau menyimpulkan bahawa proses penapaian ini bukanlah disebabkan oleh tindak balas sponton enzim (antara hipotesis terawal) tetapi disebabkan oleh kewujudan mikroorganisma ini.

Pada tahun 1862, beliau telah berjaya menyiapkan prosedur pertamanya yang lengkap dengan proses pendidihan dan penyejukan arak dan wain untuk membunuh bakteria ini. Selama beberapa tahun, beliau telah melakukan penambahbaikan terhadap proses ciptaannya ini sebelum memfailkan paten untuknya pada tahun 1865.

Pasteur berjaya menyelamatkan wain dan arak daripada menjadi masam dan mengekalkan rasa asalnya dengan memanaskannya pada suhu 50 - 60 darjah Celcius. Proses pempasteuran ini telah diguna pakai secara meluas dalan industri wain dan arak tidak lama kemudian sebelum diaplikasikan pula dalam industri susu beberapa tahun kemudian.

Walau bagaimanapun, para sejarawan berpendapat bahawa sebelum proses pasteur ini wujud, beberapa proses yang mirip dengannya telah wujud semenjak ke 11 di China. Selain itu, terdapat dokumentasi sejarah yang mengatakan orang Jepun juga pernah melakukan proses pasteur ini bagi memasarkan kicap mereka Eropah. Mereka akan memanaskannya di dalam periuk besi, memasukkannya ke dalam botol dan menutupnya dengan kemas untuk mengelakkan sebarang pencemaran bakteria dari luar.

Kredit:

  1. FDA
  2. U.S. National Library of Medicine
  3. UNC Biology



Hakcipta iluminasi.com (2017)