Kita sudah sedia maklum akan pencemaran plastik akibat penggunaan plastik yang terlampau banyak dalam kehidupan seharian. Hidupan laut adalah antara yang terkesan akibat pencemaran plastik, ada yang mati akibat tercekik plastik setelah menyangka ianya makanan.
Plastik bukanlah bahan yang mudah biodegrasi dengan mudah, menjadikan tugas melupuskannya begitu sukar. Maka, tidak hairanlah banyak kerajaan seluruh negara yang mula mengambil langkah drastik antaranya mengecaj plastik bungkusan (dengan harapan pembeli membawa beg yang boleh diguna banyak kali) dan mengurangkan penggunaan straw minuman di restoran.
BESARKAN TEKS A- A+
Tahukah anda, selain plastik kita juga menghadapi masalah pencemaran miikroplastik?
Definisi mikroplastik
Sebarang kepingan plastik yang berukuran kurang dari 5 milimeter dianggap sebagai mikroplastik. Mikroplastik boleh berasal dari beberapa sumber, termasuk manik-manik kecil yang terdapat dalam sabun dan losyen yang biasanya dijual di pasaran.
Mikroplastik juga merangkumi serat mikro yang "terhakis" dari pakaian sintetik seperti bulu, akrilik dan poliester dalam setiap cucian. Mikroplastik sekunder adalah kepingan barang plastik yang lebih kecil yang terhasil dari mainan, perabot dan bahan-bahan plastik lain.
Pencemaran mikroplastik ada di mana-mana. Dari berus gigi dan gelas minum anda hingga bungkusan makanan anda dan sarung telefon pintar anda anda, mikroplastik boleh terhasil.
Sejak kita mula menghasilkan plastik secara besar-besaran pada tahun 1940-an, sekitar 8.3 bilion tan plastik telah dihasilkan dan seperti anggara yang dibuat pada tahun 2015, 6.3 bilion tan iaitu hampir 80% telah dihantar ke tempat pembuangan sampah. Sebanyak 20,000 botol minuman plastik dibeli setiap saat dengan kurang dari separuh botol yang dikumpulkan untuk sebarang jenis kitar semula.
Menurut pihak National Oceanic and Atmospheric Administration di Amerika Syarikat, botol plastik memerlukan 450 tahun untuk biodegradasi. Jumlah masa yang sama juga diperlukan untuk lampin sintetik untuk biodegradasi. Jika purata umur manusia adalah 65, maka kita memerlukan 7 generasi lamanya sebelum plastik benar-benar terurai sepenuhnya!
Itu bermaksud hampir setiap botol air yang pernah dihasilkan atau digunakan masih berkeliaran di muka bumi ini. Dan dianggarkan 8 juta metrik tan plastik (jumlah ini seberat 90 kapal pengangkut pesawat) masuk ke laut setiap tahun. Maka tidak hairanlah hidupan laut yang paling terkesan dengan pencemaran ini.
Dimanakah sisa mikroplastik boleh ditemui?
Sisa mikkroplastik boleh ditemui di hampir semua tempat. Berdasarkan kajian, ianya telah ditemui di pesisir pantai Sepanyol, di sungai Yangtze di China, di Great Australian Bight, Mariana Trench (kawasan paling dalam di dunia) dan di tasik dan sungai di seluruh UK.
Menurut pihak US Geological Survey di Amerika Syarikat, mikroplastik dijumpai pada 12% ikan air tawar di Amerika Syarikat. Sisa mikroplastik juga dijumpai pada kadar 112,000 zarah untuk setiap batu persegi air di Great Lakes dan 1,285 zarah untuk setiap kaki persegi enapan sungai.
Satu kajian di UK terhadap saluran pencernaan 50 haiwan laut dari sepuluh spesies yang berbeza telah menemui mikroplastik di setiap satu daripadanya. Walau bagaimanapun, kuantitinya dalam jumlah yang cukup rendah sehinggakan para penyelidik tersebut beranggapan zarah-zarah tersebut mungkin tidak tinggal lama di usus dan akan dikeluarkan bersama najis haiwan tersebut.
Malah, kajian yang dilakukan terhadap kawasan-kawasan yang jauh daripada penempatan manusia tetap menemu kewujudan sisa mikroplastik ini. Para saintis baru-baru ini mengkaji kawasan pergunungan terpencil Pyrenees yang dikongsi antara Perancis dan Sepanyol, terletak lebih daripada 75 batu dari bandar utama terdekat dan lebih dari 4 batu ke kampung terdekat.
Kumpulan ini menemui 365 kepingan mikroplastik untuk setiap meter persegi tanah. Penemuan ini menunjukkan mikroplastik tidak perlu melalui jalan air semata-mata tetapi juga boleh tersebar melalui udara. Mikroplastik juga telah dijumpai di Artik berdasarkan kajian yang dibuat di sana.
Adakah sisa mikroplastik wujud dalam badan kita?
Mungkin tidak menghairankan bahawa mikroplastik terdapat di dalam air minuman kita. Dalam penyelidikan yang dilakukan oleh kumpulan Orb Media, mikroplastik dijumpai di 83% sampel air paip yang diuji di seluruh dunia.
Amerika Syarikat mempunyai kadar pencemaran tertinggi dimana daripada 94% sampel air, termasuk beberapa yang diambil dari bangunan Kongres di DC, mengandungi mikroplastik. Kadar tertinggi seterusnya direkodkan di Lubnan dan India. Kadar terendah pula diredkodkan di Jerman dan Perancis, namun nilai “rendah” itu masih pada kadar 72%.
Adakah anda merasa lebih selamat dengan meminum air yang dibotolkann dalam botol plastik? Terdapat bukti bahawa mikroplastik dijumpai dalam air botol dengan kadar dua kali lebih tinggi daripada air yang diminum langsung dari paip.
Tidak syak lagi bahawa kita banyak memakan mikroplastik. Sisa mikroplastik terdapat dalam bekalan makanan, bekalan air dan bahkan di dalam najis kita menurut analisis sampel najis dari sukarelawan di Eropah, Jepun dan Rusia.
Walaupun sampel kajian itu kecil (hanya lapan orang), para saintis menemui rata-rata 20 keping plastik dalam setiap 10 gram najis, bermaksud kita dapat mengeluarkan hampir 1000 keping mikroplastik setiap hari.
Adakah mikroplastik membahayakan kesihatan kita?
Adakah mikroplastik sebenarnya berbahaya? Para penyelidik masih belum bersepakat dalam hal ini, tetapi bukan kerana keputusan yang bertentangan. Ini kerana mereka belum membuat kajian yang cukup untuk menjawab "Ya" atau "Tidak" pada persoalan ini.
Para saintis mengesyaki bahawa, kerana saiznya yang kecil, mikroplastik seharusnya dapat memasuki aliran darah, sistem limfa dan juga hati kita. Mikroplastik yang terdapat di perairan Singapura didapati telah menjadi hos kepada bakteria toksik dan ia sudah tentulah bukan petanda yang baik.
Mikroplastik, sama seperti serat mikro dari pakaian kita, juga dapat menyerap bahan kimia berbahaya seperti bahan penahan api yang digunakan dalam sesetengah pakai contohnya baju coverall, tetapi melepaskannya kemudian contohnya setelah mereka tersekat di usus kita. Tetapi beberapa jenis mikroplastik mungkin lebih kurang berbahaya daripada yang lain dan perkara ini memerlukan kajian yang lebih mendalam.
Kajian terhadap burung menunjukkan bahawa pengambilan plastik mengganggu penyerapan zat besi, mengganggu fungsi hati dan bahkan membentuk semula bahagian usus kecil. Tanpa kajian yang lebih mendalam, kita belum tahu adakah kesan yang sama akan berlaku pada sistem pencernaan kita.
Apa yang boleh kita lakukan mengenai mikroplastik?
Sebagai individu, kita boleh mengurangkan penggunaan plastik sekali-pakai dan plastik pakai buang sebanyak yang kita boleh. Kita juga boleh secara sukarela mengambil sampah plastik yang lebih besar di sekeliling kita dan membuangnya ke tong sampah, mengelakkannya terhakis menjadi kepingan yang lebih kecil dan berakhir sebagai mikroplastik di udara, air dan makanan kita.
Pada tahun 2015, Presiden Obama menandatangani Microbead-Free Waters Act of 2015 yang tidak lagi membenarkan penggunaan manik mikroplastik dalam barang penjagaan diri seperti kosmetik dan ubat gigi di Amerika Syarikat.
Walau bagaimanapun, larangan ini tidak menghalang mikroplastik yang terdapat di tempat atau produk lain seperti krim pelindung matahari, tisu pembersih dan banyak lagi. Namun, usaha sedemikian adalah langkah pertama untuk memerangi masalah mikroplastik.
Kredit: