Hampir setiap hari kita menggunakan pelbagai jenis botol dalam kehidupan seharian seperti botol air, botol kicap, botol minyak dan sebagainya. Botol-botol ini pula diperbuat daripada pelbagai jenis bahan seperti plastik, kaca, aluminium atau keluli tahan karat.

Lazimnya, di kedai dan pasar raya, terdapat dua pilihan bagi mereka yang gemar membeli air minuman sama ada dalam bentuk tin aluminium atau botol plastik. Bagi yang memilih tin aluminium, ia tidak menjadi masalah besar kerana sudah tentu pengguna akan terus membuang atau mengitar semula tin sesudah habis diminum.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun, tahukah anda, kira-kira 1 juta botol minuman plastik dibeli di seluruh dunia dalam setiap minit? Situasi ini menyebabkan berlakunya lambakan sisa buangan yang selalunya berakhir di tapak pelupusan sampah. Oleh hal yang demikian, ramai pengguna memilih untuk membeli air di dalam botol plastik dan menganggap ia menjimatkan kerana boleh digunakan semula sekali gus 'membantu' menyelamatkan alam sekitar.

Walau bagaimanapun, botol-botol minuman ini sebenarnya direka untuk sekali kegunaan sahaja. Persoalannya, adakah ini bermakna botol minuman plastik ini tidak selamat untuk diguna semula?

Apakah bahan yang terkandung dalam botol plastik?

Sesebuah botol plastik diperbuat daripada bahan-bahan yang berbeza tetapi kebanyakan botol minuman 'sekali guna' ini diperbuat daripada polietilena tereftalat (PET). PET merupakan sejenis plastik yang jernih, ringan dan biasa digunakan dalam industri pembungkusan makanan dan minuman.

Bahan ini telah diluluskan di Amerika, Kesatuan Eropah dan majoriti negara di dunia sebagai selamat untuk kegunaan penyimpanan makanan.

Benarkah botol plastik boleh menyebabkan kebocoran toksin dan barah?

Banyak berita dalam talian dan media sosial yang mendakwa penggunaan semula botol plastik boleh mengakibatkan kanser yang berpunca daripada kebocoran bahan kimia yang dirembeskan apabila botol terdedah kepada panas atau setelah botol digunakan berulang kali.

minum air dahaga

Salah satu bahan kimia yang dibimbangi orang ramai adalah BPA atau bisfenol A. BPA boleh mengganggu sistem endokrin yang berpotensi menyebabkan masalah sistem pembiakan dan metabolisme. Walau bagaimanapun, BPA tidak digunakan dalam pembuatan botol PET tetapi boleh dijumpai dalam plastik jenis lain yang lebih tegar seperti polikarbonat.

Walaupun begitu, terdapat satu kajian yang mendapati nilai kepekatan BPA dalam botol minuman PET sebenarnya adalah sangat rendah iaitu 5 ng/L manakala dua lagi kajian pula tidak menemui bahan ini, maka penemuan tidak dapat disimpulkan.

Sementara itu, terdapat sejenis bahan kimia lain iaitu antimoni yang digunakan sebagai pemangkin untuk menghasilkan plastik PET. Bahan ini tidaklah menjadi karsinogen apabila memasuki tubuh tetapi ia boleh menyebabkan gejala seperti muntah dan cirit-birit.

Pada tahun 2008, satu kajian menguji tahap larut lesap antimoni dalam botol minuman komersial. Keputusan penyelidikan itu mendapati yang antimoni sememangnya boleh larut lesap secara beransur-ansur dalam suatu tempoh yang lama, namun nilai larut lesap itu adalah jauh lebih rendah daripada nilai ambang bahaya.

Nilai kepekatan di mana antimoni mula menjadi ancaman adalah sekitar 6 ppb (bahagian per bilion). Kajian tersebut mendapati kepekatan antimoni bermula pada takat 0.195 ppb dan meningkat kepada 0.226 ppb selepas tiga bulan pada suhu 22 darjah Celsius.

Antimoni bukanlah satu-satunya bahan kimia yang telah dikaji dalam proses penghasilan air minuman yang dibotolkan, malah pelbagai jenis bahan kimia lain daripada pemplastik hingga logam turut dikaji.

Kesemua kajian yang dijalankan mendapati memang wujud beberapa bahan kimia yang larut lesap dalam minuman seperti antimoni namun tiada bukti sehingga ke hari ini yang menunjukkan bahan-bahan kimia tersebut menjadi risiko kepada kesihatan manusia.

Adakah selamat jika kita tinggal botol minuman di bawah panas matahari?

Wujud kebimbangan di mana tindak balas bahan-bahan kimia yang boleh larut lesap itu mampu berlaku dengan lebih pantas pada suhu lebih tinggi. Sebagai contoh, apabila ditinggalkan di dalam kenderaan sewaktu tengah hari yang terik.

botol plastik di bawah terik matahari

Kajian sama yang dijalankan pada tahun 2008 itu mendapati kadar antimoni meningkat apabila suhu meningkat. Apabila botol dibiarkan dalam suhu 60°C, ia mengambil masa selama 176 hari untuk melepasi nilai ambang 6 ppb manakala pada suhu 80°C pula, masa yang diambil hanyalah 1.3 hari.

Suhu-suhu ini sesungguhnya adalah amat tinggi. Jadi, sudah tentu isu ini hanya akan timbul sekiranya anda tinggal di tempat yang beriklim sangat panas dan anda mempunyai tabiat kerap meninggalkan botol di bawah panas matahari.

Bagaimana pula dengan mikroplastik?

Mikroplastik adalah cebisan-cebisan plastik yang sangat halus. Ia boleh dijumpai di mana-mana sahaja termasuklah dalam air minuman. Bahkan, satu kajian mendapati 93% air daripada botol minuman yang baharu saja dibuka sebenarnya sudahpun 'tercemar' dengan sedikit kandungan mikroplastik.

mikroplastik jfif

Per­tubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah lama meneliti potensi bahaya mikroplastik namun berdasarkan data terkini, mereka dapat menyimpulkan yang mikroplastik tidak menimbulkan ancaman besar kepada kesihatan manusia secara umum.

Apa yang lebih menarik, Dr. Umar Abdulmutalib, seorang pakar dalam bidang Mikrobiologi dari University of Surrey menyatakan botol yang baru dikilangkan mungkin mempunyai kandungan mikroplastik yang lebih tinggi berbanding botol yang telah diguna semula.

Dr. Marek Cuhra dari Institut Penyelidikan Marin di Norway juga turut berkongsi pendapat yang sama iaitu meminum air menggunakan botol lama yang telah dicuci bersih sebenarnya lebih selamat berbanding dengan penggunaan botol baru. Pasukan penyelidikannya mendapati botol yang dibasuh akan meningkatkan kualiti air yang terkandung di dalamnya.

Adakah terdapat risiko lain?

Walaupun sains membuktikan bahawa bahan kimia dalam botol plastik yang diguna semula adalah tidak berbahaya, namun perlu diingat bahawa risiko yang membahayakan individu masih wujud iaitu melalui kontaminasi.

Botol-botol plastik ini tidak dihasilkan untuk mempunyai ketahanan dalam jangka masa yang panjang. Menurut Dr. Jill Bartolotta, struktur dinding botol plastik yang nipis boleh menyebabkan ia terdedah kepada retakan dan kerosakan. Kesan retak pada struktur ini boleh menjadi tempat pembiakan bakteria.

Pencemaran amat mudah terjadi apabila bahagian dalam botol berada dalam keadaan lembap. Bakteria boleh membiak dengan sangat cepat melalui air dalam botol plastik. Satu kajian mendapati koloni bakteria dalam air bersuhu 37°C meningkat daripada 1 koloni/ml menjadi 38,000 koloni/ml dalam masa hanya 48 jam.

Kesimpulannya, majoriti pakar mengesahkan air minuman yang diisi ke dalam botol guna semula adalah selamat diminum. Banyak kajian mengenai bahan kimia larut lesap dan mikroplastik telah dijalankan selama ini. Keputusan kajian-kajian tersebut mendapati ia hanya terjadi pada tahap yang sangat rendah dan tidak akan mendatangkan ancaman kesihatan kepada pengguna melainkan botol-botol itu telah didedahkan dengan suhu tinggi.

Walau bagaimanapun, kontaminasi bakteria masih boleh mengundang bahaya. Oleh itu, sekiranya anda ingin menggunakan semula botol plastik minuman, kerap cuci dan bersihkan botol dengan sabun dan air suam. Duit jimat, anda pun selamat.




Hakcipta iluminasi.com (2017)